Makan pedas berapi ketika berbuka atau sahur memang best, tapi ada bahayanya yang ramai tak tahu. Ini penjelasan doktor
Makan pedas berapi ketika berbuka atau sahur memang best, tapi ada bahayanya yang ramai tak tahu. Ini penjelasan doktor
SELEPAS berbelas jam menahan lapar dan dahaga, sesetengah daripada kita akan makan dan minum sepuas-puasnya.
Meskipun menyedari tindakan itu boleh mengganggu tubuh badan, ramai yang tidak peduli.
Itu satu hal. Kepada peminat makan pedas, mereka biasanya akan mencari makanan berupa sambal penyet, sambal belacan, asam pedas atau segala sajian yang boleh meningkatkan adrenalin.
Mudah kata, kulinari seumpama itu sudah sebati dan sukar dipisahkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, dari segi perubatan, adakah pilihan makanan berasaskan cili boleh memberi dampak buruk kepada kesihatan atau tiada masalah sebenarnya?
Ada yang berpendapat tidak salah memandangkan cili atau cabai mengandungi banyak nutrisi seperti serat, vitamin C, vitamin A, mineral dan antioksidan termasuk capsaicin yang menyebabkan rasa pedas.
Untuk meleraikan dua pandangan berbeza itu, SinarPlus mewawancara Pakar Pemakanan, Pantai Hospital Sungai Petani, Kedah, Norhayati Samsuddin (gambar) untuk mendapatkan kepastian.
Hasil temu bual menyimpulkan bahawa menikmati makanan pedas terus ketika berbuka puasa atau bersahur amat tidak digalakkan.
Ujar Norhayati, pendekatan itu boleh mencetuskan rasa pedih di dalam perut dan berkemungkinan seseorang mudah terdedah kepada cirit-birit.
Mengukuhkan kenyataan beliau, Pengarah Jabatan Pemakanan Klinikal, Dubai Health Authority, Dr Wafa Ayes berkata, saluran pencernaan manusia ketika berpuasa sangat sensitif dengan sajian pedas mendesing.
Pun demikian, ujarnya, situasi tersebut berbeza dengan setiap individu kerana tahap ‘kepekaan‘ pencernaan seseorang tidak sama.
BACA JUGA: Rahsia masak asam pedas power, sedap & kuah pekat, Cef Wan kongsi tip daripada arwah nenek
BACA JUGA: Manis, pedas dan rangup! Popia sira sedap dibuat kudap wajib dicuba
Tak perlu berhenti
Mengulas lanjut, Norhayati berkata, pencinta makan pedas juga besar kemungkinan berdepan masalah iritasi di dalam perut yang boleh mengakibatkan kekejangan dan tindak balas asid.
Dr Wafa dan laman perubatan antarabangsa, SehatQ serta Gulf News menyenaraikan dampak negatif yang perlu diwaspadai. Antaranya:
i) Wujud pembentukan gas, pedih ulu hati dan sakit perut
Lapisan perut manusia akan menjadi sensitif selepas seharian berpuasa. Keadaan itu boleh menyebabkan pembentukan gas dan pedih ulu hati.
Selain itu, kepedasan akan membuatkan mana-mana individu berasa seolah-olah perut terbakar dan mula memulas.
ii) Cepat rasa haus
Lidah akan terasa panas dan kenaikan suhu berlaku, sekali gus menyaksikan seseorang akan cepat berpeluh.
Apabil kadar air dalam tubuh berkurangan, rasa haus secara berterusan akan mudah dirasai.
iii) Gastrik dan ulser di dalam perut
Selain disebabkan jangkitan kuman, makan makanan pedas juga boleh mengakibatkan penyakit itu.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, kandungan capsaicin yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan iritasi pada dinding perut. Apabila perut kosong, dinding (perut) boleh menipis akibat asid (perut) sehingga timbul keradangan.
Dari semasa ke semasa, luka akan terbentuk (pada dinding perut) dan menyebabkan ulser peptik.
Gejala ulser gastrik juga boleh menjadi lebih teruk jika seseorang berterusan makan pedas ketika bersahur atau berbuka.
iv) Kekerapan buang air besar
Capsaicin dalam cili dapat mengaktifkan reseptor tubuh yang menyebabkan makanan bergerak ke usus besar lebih cepat.
Keadaan itu yang menjadi faktor seseorang kerap membuang air besar. Apabila dehidrasi berlaku, ia secara tidak langsung akan melemahkan anggota tubuh badan.
Dalam pada itu, SinarPlus merujuk satu penulisan akademik dari Indonesia yang membincangkan secara terperinci sama ada menikmati sajian pedas perlu dihentikan secara total ketika berbuka dan bersahur atau sebaliknya.
Semua sedia maklum bahawa penduduk di republik berkenaan memang sinonim dengan makanan seperti itu.
Mengulas mengenainya, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Indonesia, Prof Dr Dr Ari Fahrial Syam berkata, cadangan untuk mengurangkan hidangan bercili terutama pada waktu sahur dialu-alukan, namun untuk tidak menyentuh langsung, bukan idea yang bagus.
“Saya setuju untuk kurangkan, tetapi tidak perlu berhenti sepenuhnya. Ini kerana rasa pedas cili boleh meningkatkan selera makan. Ia juga merangsang pergerakan usus dan analgesik yang meredakan sedikit sakit kepala.
Cili juga sebenarnya akan membantu seseorang membuang air besar yang kadangkala sukar ketika berpuasa gara-gara pergerakan terhad dan tak cukup air. Selain itu, kandungan cabai juga boleh berupaya meningkatkan metabolisme badan supaya proses pembakaran kalori menjadi lebih baik,“ katanya.
Pun demikian, nasihat Dr Ari Fahrial, setiap apa makanan yang dinikmati termasuk cili tidak boleh keterlaluan lebih-lebih kepada mereka yang mengalami masalah penghadaman dan pencernaan.
Pesakit buasir juga terangnya, perlu berhati-hati dengan makanan pedas kerana cili akan menyebabkan rasa pedih pada rektum dan boleh merangsang pendarahan.
Boleh sebabkan kanser?
Menjawab pertanyaan sama ada menu pedas boleh memicu kepada penyakit kanser seperti pengakuan yang dibuat oleh seorang warganet di media sosial, Norhayati memberi pandangannya.
Ujar beliau, setakat ini tiada bukti kukuh yang menyaksikan tabiat berkenaan boleh menyebabkan kanser.
“Hanya gastrik dan ulser yang selalunya terjadi,“ ulasnya.
Pandangan beliau selari dengan penulisan yang diterbitkan menerusi Medical News Today.
Ujar sumber antarabangsa itu, terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada perkembangan kanser perut.
Antaranya termasuk umur, jantina, faktor gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol.
“Walaupun pengambilan makanan pedas mungkin memainkan peranan dalam membangunkan kanser perut, ia bukanlah punca yang pasti,“ terang Medical News Today.
Dalam pada itu, Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Lim Wern Ying(gambar) menasihatkan agar semua orang makan makanan lain seperti nasi, ulam-ulaman, makanan jenis bakar dan bersup terlebih dulu.
“Sajian yang pedas boleh diambil, tapi biarlah secara sederhana dan perlu dalam kuantiti sedikit dulu,“ katanya.
Kepada satu soalan, Wern Ying berkata, dalam apa jua keadaan, bersahur adalah amat digalakkan untuk semua individu yang berpuasa.
“Jika tak makan sahur yang seimbang, kita pasti akan rasa lapar, haus, lemah tidak bertenaga dan juga kulit semakin kering gara-gara dehidrasi,“ ujarnya.
Berikut beberapa manfaat lain bersahur dari aspek perubatan:
Tidak mudah mengantuk: Tubuh yang lemah dan letih menyebabkan seseorang mahu melelapkan mata. Akhirnya, mendorong kita untuk tidur. Bersahur membolehkan kita mengelak hal tersebut.
Memberi tenaga: Seseorang memerlukan tenaga yang banyak pada waktu siang. Bila tidak bersahur, badan lesu dan fokus juga akan terganggu.
Mengurangkan rasa lapar yang melampau: Tidak boleh makan sepanjang hari, ditambah lagi tidak bersahur akan menyebabkan kelaparan dan kehausan melampau. Kondisi itu juga akan membuatkan seseorang berasa cepat marah.
Mengekalkan kestabilan tubuh: Puasa bukan tiket untuk menurunkan prestasi kerja. Apa yang penting, kita tahu bagaimana mengekalkan kesegaran tubuh dan minda sepanjang bulan Ramadan ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang