KETIKA masih menuntut di institusi pengajian tinggi, penulis mempunyai seorang rakan yang kuat berpeluh.

Walaupun cuaca tidaklah terlalu panas, peluh akan membasahi wajahnya dan sapu tangan termasuk segulung tisu sentiasa dibawa ke mana sahaja.

Pun demikian, penulis dan beberapa rakan lain menjadi hairan apabila tangannya juga kerap basah, meskipun tidak ada kerja berat yang dilakukan. Beliau sekadar menulis dan menaip pada papan kekunci komputer sahaja.

Disebabkan mahu menjaga hati dan tidak ingin menyisihkannya, kami lima sekawan tidaklah bertanya lanjut. Selepas masing-masing memasuki alam pekerjaan, barulah kami tahu rupa-rupanya beliau menderita penyakit hiperhidrosis atau istilah lebih mudah, peluh berlebihan.

Menurut laman web perubatan antarabangsa, healthline.com, dianggarkan seramai 15.3 juta daripada keseluruhan penduduk di Amerika Syarikat menderita dengan masalah kesihatan itu.

Daripada jumlah tersebut, 70 peratus individu berpeluh teruk di satu-satu bahagian badan. Pun demikian, separuh daripada pesakit tidak mahu berterus terang atau malu mengaku hal itu dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.

Sebenarnya, apakah punca seseorang boleh mengalami hiperhidrosis? Adakah ia ada kaitan dengan masalah genetik?

Bagi menjawab pelbagai pertanyaan mengenai topik yang ingin dikupas pada minggu ini, SinarPlus mendapatkan pandangan Pengamal Perubatan Am terkenal negara, Dr Zubaidi Ahmad.

Dr Zubaidi.

Terlebih dulu kata pegawai perubatan itu, hiperhidrosis adalah merujuk kepada seseorang yang menghasilkan peluh yang lebih banyak berbanding dengan individu normal. Hal berkenaan kata beliau, sememangnya boleh mengganggu aktiviti harian penderita.

“Hiperhidrosis boleh berlaku seawal peringkat usia kanak-kanak atau remaja. Bahagian anggota badan yang boleh mengalami masalah berpeluh yang banyak adalah seperti pada tapak tangan (hiperhidrosis palmar), tapak kaki (hiperhidrosis plantar), ketiak (hiperhidrosis axillary) dan muka.

“Memang benar, masalah tersebut boleh membawa kepada tekanan perasan, selain wujud perasaan malu untuk bersosial. Pada peringkat yang lebih rumit, ia boleh mengganggu prestasi kerja penderita lebih-lebih lagi jika lebihan peluh berlaku pada tapak tangan,“ beritahunya.

Tiada rawatan spesifik

Mengulas lanjut, Dr Zubaidi berkata, hiperhidrosis pada keseluruhan bahagian badan berlaku disebabkan oleh masalah saraf autonomi yang melibatkan saraf simpatetik.

“Saraf simpatetik merupakan saraf yang berperanan menyediakan badan seseorang supaya berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berlawan atau berlari.

“Jadi, ketika berada dalam situasi seperti tersebut, denyutan nadi akan semakin bertambah, gula dalam darah juga akan meningkat dan mental pula akan menjadi lebih fokus. Pada ketika ini, secara tidak langsung ia akan merangsang kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh,“ ujarnya.

Kongsi Dr Zubaidi lagi, masalah berpeluh juga boleh dipengaruhi dengan situasi lain seperti demam dan kerisauan atau penyakit kronik lain seperti kanser termasuk lemah jantung.

“Bukan itu sahaja, ia juga boleh tercetus disebabkan isu metabolik seperti hipertiroid, hipoglisemia atau gout, pengambilan ubat seperti propanolol, physostigmnine atau pilocarpine.

“Golongan gemar minum alkohol dan mengalami ketagihan yang kronik juga berpotensi mendapat hiperhidrosis,“ jelasnya.

Bagi kategori mereka yang mengalami peluh berlebihan pada bahagian tapak tangan dan tapak kaki, ia lazimnya berpunca daripada faktor keturunan atau genetik.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Kepada SinarPlus, Dr Zubaidi berkata, keadaan seseorang yang mengalami masalah berpeluh berlebihan akan menjadi semakin teruk apabila mereka berada dalam keadaan ketakutan ataupun ketika hendak ‘berlawan‘.

Adakah hiperhidrosis boleh dirawat? Menjawab persoalan itu, Dr Zubaidi berkata, tiada rawatan khusus untuk mengatasinya secara spesifik dan efektif.

“Namun, ia tidaklah sampai membawa kepada kematian. Bagaimanapun saya tidak nafikan, mereka yang mengalami masalah tersebut akan berasa bahawa kehidupan mereka menjadi terganggu.

Iklan

“Ini kerana berpeluh adalah keadaan yang memalukan, boleh mengotorkan pakaian, mengganggu hubungan sosial dan menjadikan komunikasi menjadi lebih sukar.

“Bagi kes yang kronik, ia mungkin akan menyebabkan penderita sulit untuk menulis, memegang stereng kereta atau berjabat tangan dengan orang lain,“ katanya.

Suntikan botoks

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Klinik Bazilah, Bangi, Selangor, Dr Shazni Mahirah Zulbakri yang dihubungi turut berkongsi pengetahuannya tentang hiperhidrosis.

Dr Shazni Mahirah.

Ujar Dr Shazni Mahirah, berpeluh memang satu keperluan kepada badan agar sistem tubuh tidak menjadi terlalu panas.

“Namun, apabila seseorang mengalami hiperhidrosis, ia adalah satu situasi mereka berpeluh di luar daripada keperluan fisiologinya,“ katanya.

Menjawab persoalan adakah terdapat amalan tertentu atau pemakanan tertentu untuk mengurangkan dilema kesihatan itu, berikut jawapan beliau: “Pesakit dinasihati supaya menghindarkan diri daripada mengambil makanan atau minuman yang diketahui boleh menyebabkan peluh berlebihan seperti alkohol, makanan pedas dan kafein.“

Iklan

Ketika diwawancara, pegawai perubatan itu turut membicarakan tentang pendekatan atau rawatan yang sesuai untuk penghidap hiperhidrosis.

“Dari sudut perubatan, ia bergantung kepada punca terjadinya hiperhidrosis. Sebagai contoh, jika ia berlaku disebabkan kelenjar peluh terlampau aktif, terdapat beberapa rawatan yang boleh dipraktikkan.

“Saya akui, sesetengah kaedah (rawatan) ini mungkin tidak boleh merawat simptom itu 100 peratus, tetapi boleh membuatkan kualiti hidup pesakit lebih baik,“ katanya.

Berikut antara kaedah yang boleh digunakan oleh penghidap hiperhidrosis seperti yang disenaraikan oleh Dr Shazni Mahirah:

  1. Ubat sapuan: Lazimnya, ubat sapuan yang mengandungi aluminium klorida heksahidrat selalu digunakan.
  2. Lontophoresis: Rawatan ini menggunakan air yang mempunyai arus elektrik yang rendah dengan melibatkan bahagian kulit yang mempunyai masalah peluh berlebihan. Ia (rawatan) mengambil masa selama 30 minit pada setiap hari.
  3. Suntikan botoks: Suntikan botoks mengandungi bahan yang dinamakan sebagai toksin botulinum yang berfungsi sebagai perencat kepada kelenjar peluh dalam menghasilkan peluh.
  4. Pembedahan: Oleh kerana masalah berpeluh adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan fungsi saraf simpatetik, pesakit boleh mendapatkan rawatan pembedahan untuk membuang sebahagian saraf tersebut.

Dari segi amalan harian, Dr Shazni Mahirah mengingatkan pesakit agar kerap mencuci tangan dan membersihkan diri bagi mengelakkan masalah badan berbau ataupun masalah penyakit kulit.

Artikel berkaitan: ‘Ada yang mencebik bibir, lap tangan selepas bersalam dengan saya’ -Luahan penghidap hiperhidrosis

“Pada masa sama, jika mempunyai tanda-tanda hiperhidrosis, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan pengesahan diagnosis penyakit tersebut.

“Berdasarkan pada penilaian, doktor akan menentukan sama ada pesakit memerlukan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti penyebabnya,“ pesannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!