MENAFIKAN susu sebagai sumber terbaik untuk perkembangan anak-anak sejak lahir sememangnya tidak wajar.

Menurut portal MyHealth, susu merupakan sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada si kecil pada peringkat awal pertumbuhan dan harus diamalkan sepanjang usia.

Justeru, sempena Hari Susu Sedunia yang disambut baru-baru ini, SinarPlus akan mengupas secara terperinci kepentingan susu kepada bayi dan kanak-kanak dengan mewawancara Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi, Sunway Specialist Centre Damansara, Dr Tengku Putri Zainab Tengku Ab Malek.

Senada dengan semua doktor di dunia ini, Dr Tengku Putri Zainab berkata, susu memainkan peranan yang besar dalam tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Ia mengandungi protein yang berfungsi untuk membina, mengekal dan membaiki tisu di dalam badan. Setiap hari, si kecil berumur setahun dan ke atas amat digalakkan untuk mengambil dua hingga tiga hidangan protein, katanya.

Selain itu, minuman berkenaan juga kaya dengan nutrien dan mengandungi pelbagai vitamin dan mineral termasuk kalsium dan vitamin D.

Kalsium ujar beliau, diperlukan untuk pembentukan tulang dan juga gigi.

“Pengambilan kalsium daripada susu adalah penting untuk mengelakkan daripada osteoporosis (tulang rapuh) apabila si kecil dewasa kelak dan vitamin D penting untuk badan menyerap kalsium itu,“ katanya sambil menambah, susu juga mengandungi mineral lain seperti fosforus, vitamin A, D, B12, riboflavin dan niacin.

Cecair yang hidup

Kepada satu soalan, Dr Tengku Putri Zainab berkata, susu ibu mengandungi kandungan zat yang ideal dan mencukupi bagi seorang bayi.

Ujarnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan agar bayi diberi susu ibu secara eksklusif pada enam bulan pertama dan diteruskan bersama makanan pelengkap pada umur enam bulan hingga berusia dua tahun dan seterusnya.

“Walaupun dengan teknologi terkini, syarikat susu formula tidak dapat mengeluarkan susu yang dapat menandingi kandungan susu ibu yang kompleks,“ katanya.

Beritahu pakar itu lagi, susu ibu bagaikan satu cecair yang hidup. “Ia boleh berubah mengikut keadaan semasa bayi.
Apabila bayi tidak sihat, badan ibu akan menjana lebih banyak antibodi dan sel darah putih yang akan ke susu ibu agar dapat membantu bayi melawan jangkitan itu. Susu formula tidak dapat bertindak sebegitu rupa,“ jelasnya.

Dr Tengku Putri Zainab kemudian memperincikan komponen-komponen yang berfaedah yang terdapat dalam susu ibu. Antaranya seperti:

i) Antibodi yang melindungi jangkitan penyakit. Sel darah putih yang membantu untuk melawan jangkitan. Hormon untuk mengawal selera bayi.

ii) Bakteria baik yang melindungi sistem percernaan bayi. Prebiotik iaitu oligosaccharide yang menyokong kesihatan usus.

iii) Asid lemak yang membantu dalam pembentukan otak, saraf dan mata.

iv) Enzim untuk menyokong sistem pencernaan dan imuniti.

Susu ibu juga kata pakar tersebut, mengurangkan risiko jangkitan telinga tengah dan paru-paru, cirit-birit termasuk sindrom bayi meninggal secara mengejut.

Meskipun susu formula untuk kanak-kanak mengandungi vitamin A dan D, zat besi, zink, DHA dan prebiotik seperti galakto-oiligosakarida dan frukto-oligosakarida, terdapat perbezaan ketara.

“Pun demikian, dari segi persamaan, kedua-duanya dapat memberi sumber tenaga, hidrasi dan juga nutrisi pada bayi. Namun, apa yang boleh dikatakan, dengan pelbagai jenis formulasi susu tepung yang dipasarkan, ia tidak akan dapat menandingi kebaikan susu ibu,“ katanya sambil menambah, bayi yang lahir hingga umur enam bulan cuma perlu diberi susu, tanpa air putih.

Baca juga Lebih senang, natural dan bayi pun tak merengek. Inovasi botol susu Royal Philips memang terbaik

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Tengku Putri Zainab menerangkan, walaupun susu merupakan sumber nutrisi yang baik, ia tidak boleh diambil secara berlebihan.

“Mengapa? Pertama, sekiranya diminum terlalu banyak, kanak-kanak boleh kenyang susu dan tidak mahu makan makanan yang lain yang mengandungi nutrisi penting berbeza dengan susu.
“Kedua, ia berupaya mencetuskan anemia disebabkan kurang zat besi kerana kanak-kanak perlukan zat besi daripada makanan lain,“ jelasnya.

Pada masa sama, masalah sembelit juga boleh terjadi kerana susu tidak mengandungi serat. Jelas pakar tersebut lagi, susu tenusu ataupun susu segar boleh diberi kepada si cilik selepas umur satu tahun.

“Jika diberi awal, risiko pendarahan pada usus boleh berlaku. Susu tenusu atau susu segar juga mempunyai kandungan protein dan mineral yang tinggi yang tidak boleh ditampung oleh buah pinggang bayi,“ kongsinya.

Implikasi

Menjawab pertanyaan tentang alternatif minuman yang boleh diberikan kepada bayi sekiranya seseorang ibu tidak dapat memberi susu kepada si anak lantaran kekangan penyakit seperti Polycystic ovarian syndrome, tekanan darah tinggi ataupun pendarahan yang banyak, demikian reaksi beliau.

“Pilihan lain mungkin memberi susu dari badan penderma. Boleh jadi daripada adik beradik, ipar ataupun sahabat rapat yang bersetuju untuk menjadi ibu susuan kepada bayi itu.

“Sekiranya tiada susu penderma, maka bolehlah menggunakan susu formula yang bersesuaian dengan umur bayi itu. Pun begitu, penyusuan susu ibu perlulah diteruskan apabila ibu sudah bersedia. Setiap titis susu ibu itu amat berharga.”

Dalam pada itu, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Klinik Pakar Kanak-Kanak Dr Anne, Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr Anne Yeoh berkata, berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, susu penuh lemak dapat mengurangkan kebarangkalian obesiti kanak-kanak, berbanding dengan susu skim.

Mengenai kanak-kanak yang enggan menikmati susu langsung, walaupun tidak mempunyai sebarang alergi, Dr Anne mengesyorkan agar ibu bapa memujuk si kecil mencuba susu berperisa strawberi, coklat dan lain-lain.

Selain itu, cuba tambahkan produk tenusu seperti keju atau produk susu lain ke dalam masakan harian, cadang beliau.
Pakar itu turut mengingatkan kepada ibu bapa atau penjaga bahawa bayi sesekali tidak boleh diberi minum susu lembu atau susu kambing yang tidak diproses kerana kandungan garam yang berlebihan dan mungkin mengandungi kuman.

“Bayi hanya boleh diberi susu ibu ataupun susu formula yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun, produk tenusu seperti yogurt boleh diberikan kepada bayi yang berumur enam bulan ke atas sahaja,“ katanya.

Iklan

Adakah bayi atau kanak-kanak yang tidak mendapat susu yang mencukupi boleh memberi kesan kepada perkembangan minda mereka seperti kurang bijak dalam pembelajaran?

Menjawab pertanyaan itu, SinarPlus kembali mendapatkan Dr Tengku Putri Zainab.

Terang beliau, kajian menunjukkan jika kanak-kanak tidak mengambil makanan yang tertentu dengan mencukupi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu dan produk tenusu termasuk kekurangan nutrien seperti vitamin A, B6, B12, C, asid folik, zat besi, zink dan kalsium, golongan itu akan lebih cenderung memiliki prestasi yang kurang memuaskan di sekolah.

“Kekurangan nutrien juga telah menunjukkan kanak-kanak ini cenderung untuk tidak ke sekolah dan juga lewat masuk ke kelas.

“Apabila mereka tidak mengambil sarapan pagi dengan susu contohnya, kanak-kanak ini akan lapar dan ia akan mengurangkan prestasi kognitif seperti daya tumpuan, daya ingatan, memproses paparan visual yang kompleks dan penyelesaian masalah,“ akhirinya.

Susu ibu dapat beri impak positif pada kelakuan anak

TERDAPAT banyak andaian yang timbul di sebalik penggunaan susu formula dalam kalangan bayi. Antara cakap-cakap nakal yang sering kedengaran adalah si kecil bakal mempunyai perangai yang agar agresif dan anak jika tidak diberi susu ibu.

Tidak mahu andaian itu terus menjadi pendebatan, SinarPlus mengajukan pertanyaan tersebut kepada Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi, Sunway Specialist Centre Damansara, Dr Tengku Putri Zainab Tengku Ab Malek.

Terlebih dahulu, jelas pakar itu, terdapat beberapa kajian kecil yang menunjukkan kanak-kanak yang diberi susu ibu selama lebih daripada tiga bulan didapati mempunyai kurang risiko untuk masalah tingkah laku ketika kecil, waima pada zaman remaja.

Iklan

“Hipotesisnya adalah kita tahu bahawa penyusuan ibu dapat menggalakkan jalinan kasih sayang di antara ibu dan anak dengan rembesan hormon kasih sayang dan ini secara tak langsung membantu dalam perkembangan emosi dan psikologi si cilik.

“Ibu juga kurang berasa stres dan murung apabila memberi susunya. Dengan memberi susu dalam jangka masa yang lama, ia dapat menguatkan lagi jalinan kasih sayang dengan anak, sekali gus dapat memberi impak yang positif pada kelakuan anaknya,“ katanya.

Menurut beliau, susu ibu juga mengandungi komposisi yang penting seperti asid lemak yang berperanan dalam perkembangan mental, psikomotor dan fungsi otak serta saraf tunjang kanak-kanak yang mungkin memberi peranan dalam mengurangkan kebarangkalian masalah perangai mereka

“Pun begitu, agak sukar juga untuk kita buat kesimpulan yang susu formula itu akan memberi impak yang negatif pada kelakuan kanak-kanak kerana ada pelbagai faktor lain yang memainkan peranan dalam perkembangan emosi kanak-kanak.

“Contohnya adalah seperti interaksi si kecil dengan ibu bapa, persekitaran dengan keluarga, kesihatan badan dan juga mental ibu selepas bersalin,“ katanya.

SinarPlus turut mendapatkan seorang ibu, Nurul Intan Ahmad Mahmood, 27, yang berpengalaman menyusukan sendiri susunya dan susu formula kepada tiga zuriatnya.

Ujar Nurul Intan, dua orang anaknya yang kini berusia tiga dan lima tahun sudah minum susu formula sepenuhnya.

Sementara, si bongsu yang berusia tiga bulan diberi susu badan.

“Pada kebiasaannya, mereka akan minum satu hingga tiga botol sekali. Bagi bayi yang baru lahir, selang sejam hingga dua jam sekali,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.