Memang unik, lagi sedap. Wanita ini guna kulit tembikai untuk ganti sayur dalam masakan. 

A
A
A

RAMAI yang tidak tahu bahawa kulit tembikai boleh dijadikan sajian dalam masakan.

Manakan tidak, kebanyakan daripada kita hanya menikmati isinya yang merah menyala atau berwarna kuning.

Namun, terdapat sesetengah daripada kita sejak sekian lama menjadikan kulit tembikai sebagai pengganti kepada sayur-sayuran lain dalam masakan.

Kedengaran sedikit pelik, tetapi itulah kenyataannya.

Baca ni Resipi cucur ikan bilis viral rangup di luar lembut di dalam. Wanita ni kongsi tip jika nak hasilnya bulat-bulat comel!

Ketika dihubungi, seorang tukang masak, Siti Aminah Khalid berkata, beliau tidak terkejut sekiranya ramai orang yang tiada pengetahuan mengenainya.

"Pada asalnya, saya juga tak pernah tahu perihal kulit tembikai boleh dimakan atau dimasak,” akui wanita berusia 34 tahun itu.

Namun, segalanya berubah apabila beliau melangkah ke alam perkahwinan.

Resipi turun-temurun yang dikenali sebagai sayur lemak kulit tembikai telah diwariskan kepada Siti Aminah oleh ibu mertua tersayang, Rahmah Saamah.

Ya, seperti diperkatakan tadi, wanita itu sedikit skeptikal, namun selepas merasa sendiri keenakan masakan berkenaan, beliau terus jatuh cinta.

"Kalau diikutkan, sudah tujuh tahun saya jadikan kulit tembikai sebagai salah satu menu masakan harian. Cubalah, anda pasti suka dan selepas ini kita tidak membazir lagi kalau beli buah tembikai," katanya.

Beritahu Siti Aminah, sebelum memasak kulinari berkenaan, beliau akan merebus terlebih dahulu kulit tembikai untuk menghilangkan bau.

"Setelah matang, saya buangkan air rebusan, kemudian masak seperti biasa.

"Untuk membuatkan sayur lemak kulit tembikai lebih menarik, saya lebih suka tambahkan isi ikan rebus dan sayur sampingan lain seperti bayam brazil, lobak merah dan kangkung. Jika mahu rasa yang lebih lemak dan aroma lebih memikat, boleh masukkan lebih banyak isi ikan,” jelasnya.

Kepada SinarPlus, anak kelahiran Kelantan itu memberitahu, tidak semua kulit tembikai sesuai untuk dimasak. Ia perlu dipilih mengikut teknik yang betul.

Seelok-eloknya, pesan ibu kepada lima orang anak itu, beli buah yang tangkainya masih lagi segar dan tidak kering. Ia merupakan petanda bahawa tembikai baru dipetik.

Baca ni Resipi Kari Ayam Hijau Goa tapi tak guna rempah kari. Macam mana tu? Kena cuba, memang sedap!

“Bukan apa, kalau guna kulit yang sudah lama, ia lebih keras dan rasanya kurang manis dan kadangkala terasa pahit,” katanya.

Pada masa sama, Siti Aminah juga tidak menggalakkan orang ramai menggunakan kulit tembikai yang tidak segar.

Ini kerana rasa, tekstur dan tempoh memasak di atas dapur akan mengambil masa lebih lama untuk empuk sepenuhnya.

SAYUR LEMAK KULIT TEMBIKAI

Bahan-bahan

Kulit tembikai

Bayam brazil (opsyen)

Seekor isi ikan rebus

1 biji bawang merah dihiris halus

Secubit lada hitam

1 kotak kecil santan

Garam

Cara penyediaan:

Buang kulit bahagian luar tembikai, kemudian potong kecil-kecil dan cuci.

Panaskan air rebusan, masukkan kulit tembikai yang telah dibasuh dan rebus sehingga empuk.

Setelah empuk, tos dan buangkan air rebusan.

Seterusnya, masukkan air ke dalam periuk. Kemudian masukkan bawang dan lada hitam yang telah ditumbuk ke dalam periuk tadi.

Masukkan pula santan, kulit tembikai, bayam brazil, isi ikan rebus dan garam. Kemudian, masak sehingga mendidih.

Baca lagi Tip lembut dan empukkan daging dengan cepat guna ais batu, minyak masak. Kena cuba!

Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca