Penuh dengan kisah mistik, Pulau Jerejak terus menjadi 'kegilaan' dan pelancong lokal, antarabangsa
PADA suatu ketika dulu, tiada siapa pun yang berani bertandang ke Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Mendengarkan nama lokasi tersebut sahaja sudah bikin merinding.
Ini kerana destinasi itu merupakan penempatan tahanan perang, selain menjadi lokasi pengasingan bagi pesakit kusta dan tuberculosis.
Namun, itu semua kisah silam yang sudah terpateri dalam sejarah. Kini, Pulau Jerejak telah menjadi singgahan percutian yang semakin diminati ramai.
Bukan sahaja kerana puncak setinggi 211 meter dari paras laut menjadi tumpuan para pencinta alam untuk ditawan, tetapi elemen misteri dan kesan peninggalan sejarah yang menarik untuk diterokai.
Antaranya, penjara berusia 92 tahun yang terkenal dengan jolokan Alcatraz of Malaysia.
Menurut salah seorang pelancong yang pernah mengunjungi ke kepulauan tanpa penghuni itu, Shirley Idris, penjelajahan di kawasan pulau seluas 156.8 hektar memakan masa hampir lapan jam.
“Penat lelah kami berbaloi apabila dapat melihat bangunan dan tapak pelabuhan lama, selain berjaya sampai ke puncak,” ujarnya yang mengikuti trip yang dianjurkan oleh Jerejak Trekkers.
Baca juga Cuti-cuti di Selangor pun best! Ini menarik di Pulau Carey
Berkongsi lebih lanjut mengenai aktiviti yang semakin popular tersebut, Pengasas Jerejak Trekkers, Hazriharun Abdullah berkata, beliau tidak sangka, rupa-rupanya ramai yang berminat untuk meneroka tempat-tempat misteri penuh sejarah yang ada di Pulau Pinang seperti di Pulau Jerejak yang menyimpan 1,001 cerita.
Pesara guru yang mesra disapa Cikgu Hazri berkata, trek laluan lereng bukit sepanjang 10 kilometer yang bakal ditempuh oleh pelancong biasanya akan melalui bahagian timur pulau yang mempunyai struktur penjara, kuarters, kem kuarantin, kubur lama, kubu perang, selain empangan (Green Bank) yang masih utuh berdiri.
“Perjalanan akan bermula pukul 8.30 pagi untuk melihat kawasan tumpuan. Kemudian, pengunjung dibawa merentasi dua bukit sebelum sampai ke puncak.
“Kalau diikutkan, pendakian mengambil masa lebih kurang sejam, namun bergantung kepada ketahanan pendaki memandangkan cuaca ketika waktu tengah hari agak panas,” ujarnya yang turut dibantu jurupandu berpengalaman di Pulau Jerejak, Ishak Hassan dan Noor Hayati Abdullah.
Baca juga Ini amalan doa masuk hutan, wanita suka ‘hiking’, berkhemah, berkelah wajib tahu
Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau tersebut pada tahun 1980-an tidak menolak wujudnya kisah mistik yang masih menjadi bualan ramai lebih-lebih lagi ketika lokasi tersebut dibuka kepada umum pada tahun 1993.
“Perkara paling penting, kita berada di tempat orang kena pandai jaga adab dan pantang larang,” kongsinya tanpa mengulas lanjut.
Namun, bagi Cikgu Hazri, pulau bersejarah berkenaan wajar dipelihara dengan sebaiknya sebagai tapak warisan negara.
Baca juga 7 lokasi awesome khas buat ‘kaki hiking’, orang Johor sendiri belum tentu tahu!
“Kalau diikutkan, terdapat lebih kurang 40 bangunan, tetapi kini tinggal tiga buah sahaja yang masih kukuh. Bagi saya, kesemua khazanah lama perlu diambil peduli oleh semua pihak.
“Sayang sungguh semua itu dibiarkan. Pulau ini jarang dikunjungi selepas resort yang ada ditutup. Kalau dahulu, ramai yang datang ambil gambar sebab banyak lokasi instagrammable yang cantik-cantik,” katanya.
INFO Pulau Jerejak
Alamat: Pulau Jerejak, Pulau Pinang
Pakej harga: Bermula RM35 (termasuk tambang bot pergi dan balik serta sarapan pagi)
Aktiviti: Jelajah hutan, terokai kesan bangunan lama seperti penjara, kem kuarantin, kuarters hospital, empangan Green Bank dan mendaki puncak Pulau Jerejak.
Facebook: Jerejaktrekkers
#rekreasipilihan
Menjejak pulau misteri yang memiliki kesan peninggalan sejarah kini telah menjadi trend dalam kalangan pelancong, terutama mereka yang sukakan kisah eksentrik.
Pulau Jerejak, Pulau Pinang diberitakan sentiasa penuh dengan pelancong yang bertali arus hadir ke kepulauan yang tiada seorang pun penduduk tetap.
Selain itu, terdapat beberapa destinasi lain yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah boleh dilawati oleh anda yang sukakan konsep sebegitu dalam percutian. Berikut huraiannya:
Pulau Bidong
Alamat: Pulau Bidong, Terengganu
Tarikan: Pusat Penempatan Orang Hayut Vietnam pada tahun 1978 dan artifak kapal karam
Pakej harga: Bermula RM180
Aktiviti: Menjelajah hutan dan menawan puncak setinggi 293 meter, snorkel dan skuba
Facebook: Bidong Heritage
Instagram: @bidong_bay
Pulau Songsong
Alamat: Yan, Kedah
Tarikan: Kesan peninggalan sejarah ketika rampasan semula Kedah daripada penjajahan Siam
Pakej harga: Bermula RM65 hingga RM95
Aktiviti: Snorkel, berkhemah dan jelajah pulau
Facebook: Bakau Hijau Sungai Merbok
Pulau Pangkor
Alamat: Teluk Segadas, Pulau Pangkor, Perak
Tarikan: Kota Belanda dan batu bersurat
Pakej harga: Bermula RM240 (pakej tiga hari dua malam)
Aktiviti: Jelajah hutan, sukan tali tinggi (abseiling) dan snorkel
Facebook: Fazli Hishamuddin
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang