Penyakit kusta masih wujud di Malaysia, lambat dapatkan rawatan boleh sebabkan kecacatan kekal

A
A
A

Penyakit kusta masih wujud di Malaysia, lambat dapatkan rawatan boleh sebabkan kecacatan kekal.

KUSTA atau penyakit hansen merupakan salah satu penyakit klasik di dunia. Kewujudannya dikesan sejak tahun 1866 di Semenanjung Kalaupapa, Pulau Molokai, Hawaii, Amerika Syarikat (AS). Ia kemudian merebak ke seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Mereka yang kerap dijangkiti terdiri daripada golongan muda berumur di antara 10 hingga 20 tahun. Lelaki direkodkan lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan.

Kusta sering diklasifikasikan sebagai menjijikkan, berbahaya dan dapat menular dengan cepat sehingga pesakitnya dikatakan hanya menunggu kematian.

Bayangkan, sejak era sebelum Masihi lagi, telah wujud diskriminasi terhadap penghidap kusta. Mereka dipulaukan dan ditempatkan ke satu lokasi yang jauh daripada manusia lain.

Di negara ini, sedikit masa dulu, pesakit diletakkan di kawasan terpencil jauh dari hospital utama seperti di Setapak, Kuala Lumpur; Tampoi, Johor dan Pulau Jerejak, Pulau Pinang.

Bermula pada tahun 1926, Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh, Selangor telah membuka episod baharu bagi kelompok tersebut. Premis itu merupakan sebuah penempatan terancang yang dilengkapi pelbagai fasiliti.

Meski sudah berada pada era milenial, penyakit kuno berkenaan masih ada. Berdasarkan data World Health Organization (WHO), setakat tahun 2020, sebanyak 127,558 kes dilaporkan berlaku di seluruh benua.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,629 kes melibatkan kanak-kanak dengan kadar pengesanan kes baharu mencecah 4.4 juta dalam setiap populasi golongan itu, kata WHO.

Statistik di Malaysia pula menunjukkan, pada tahun 2009 sebanyak 187 kes dilaporkan, 2010 (194 kes), 2011 (216 kes), 2012 (317 kes) dan 2013 (306 kes).

Berdasarkan pencapaian dalam tempoh lima tahun, Malaysia melaporkan antara 198 hingga 213 kes baharu dengan kadar insiden di antara 0.57 hingga 0.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Bagi membincangkan secara terperinci penyakit zaman silam itu yang telah menjadi endemik di Malaysia, SinarPlus menghubungi Pakar Dermatologi, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad Kamal.

Beritahu Dr Wan Shameen, kusta terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria jenis Mycobacterium leprae.

“Bakteria yang telah memasuki tubuh akan menyerang (bahagian tubuh) seperti kulit, saraf dan organ seperti lapisan dalam mata dan hidung. Apa yang menakutkan, jika penyakit ini tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan seseorang mengalami kecacatan kekal,“ katanya.

Mengenai tindakan isolasi yang dilakukan bagi negara yang pernah diserang kusta, pendekatan tersebut kata pakar tersebut adalah wajar.

Pada zaman dulu, tiada kajian terperinci yang dilakukan dan tiada ubatan khusus dicipta. Sehubungan itu, untuk mengelak penularan berlaku, cara berkenaan perlu dilaksanakan.

BACA LAGI: Penyakit berjangkit kronik antara tertua di dunia, KKM kongsi fakta mengenai penyakit kusta

BACA LAGI: Kajian Covid-19: Mampu jejas kesuburan lelaki

Tidak berjangkit?

Mengulas lanjut, Dr Wan Shameen berkata, beliau ingin memperbetulkan beberapa persepsi yang kurang tepat mengenai kusta.

“Pandangan yang mengatakan bahawa kusta boleh menjangkiti seseorang melalui sentuhan adalah kurang tepat. Begitu juga kalau kita melawat pesakit kusta dalam tempoh singkat, kita tak akan dijangkiti serta-merta. Penyakit ini sebenarnya memerlukan masa yang lama (untuk menjangkiti) orang, mungkin berbulan-bulan atau bertahun-tahun," jelasnya.

Menurut MyHealth, tempoh mendapat jangkitan adalah terlalu lama iaitu di antara satu hingga 40 tahun.

Bagaimanapun, Healthline dalam penulisannya berkata, kusta boleh merebak melalui sentuhan dengan rembesan mukosa individu yang telah dijangkiti sama ada ketika bersin atau batuk.

Tambah laman perubatan yang berpangkalan di AS itu, individu yang berhubungan rapat dengan pesakit kusta dan tidak dirawat untuk jangka masa lama juga mempunyai peratusan tinggi untuk memperoleh penyakit berkenaan.

WHO pula menjelaskan, bakteria jenis Mycobacterium leprae biasanya membiak dengan sangat perlahan dan menyebabkan tempoh jangkitan (dengan kemunculan gejala pertama) yang memakan masa selama lima tahun.

Menyentuh soal simptom kepada penyakit tersebut, Dr Wan Shameen berkata, ia bergantung kepada kekuatan sistem imuniti tubuh badan seseorang.

“Sekiranya individu itu mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah, mereka mungkin mengalami gejala yang teruk. Secara umumnya, pesakit berhadapan dengan tanda-tanda seperti tompokan pada kulit, tangan dan kaki lemah dan luka sukar untuk pulih.

“Tompokan yang berlaku bukanlah sekadar tompokan, tetapi deria rasa di kawasan berkenaan telah disfungsi. Biasanya mereka tidak dapat rasa dengan baik apabila disentuh,“ jelasnya.

Ujar Dr Wan Shameen, melihat kepada tanda-tanda yang dialami pesakit sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang menghidap kusta. Sebaliknya terdapat beberapa kaedah yang diguna pakai untuk proses diagnosis, antaranya:

-Ujian calitan kulit: Biasanya doktor lakukan calitan kulit pada bahagian tubuh badan tertentu seperti telinga.

-Ujian biopsi kulit: Menerusi kaedah ini, sekeping kecil kulit dikeluarkan dan menghantar ke makmal untuk ujian pemeriksaan.

-Ujian biopsi saraf: Ujian ini hanya dilakukan jika ujian pertama dan kedua tidak begitu jelas. Caranya adalah dengan mengambil sedikit saraf dan menghantar ke makmal untuk pemeriksaan.

Dalam pada itu, terdapat metodologi lain dikongsikan oleh Healthline iaitu:

-Ujian kulit lepromin: Ia bertujuan untuk menentukan bentuk penyakit kusta dengan menyuntik sejumlah kecil bakteria kusta yang telah dinyahaktifkan ke dalam kulit. Ia biasanya dilakukan atas lengan. Sekiranya seseorang ada kusta, hasil positif dapat dilihat di tapak suntikan.

Multidrug Therapy

SinarPlus kemudian mewawancara Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali berkenaan kaedah perawatan yang boleh diberikan kepada pesakit.

Membuka gelanggang bicara, Dr Mohamad Suaidi berkata, keupayaan teknologi perubatan moden telah banyak membantu merawat pelbagai penyakit termasuk kusta.

“Mengenai isu kesihatan ini, jika dikenal pasti pada peringkat awal dan dirawat dengan segera, ia mampu sembuh sepenuhnya sekali gus dapat mengelak kecacatan kekal kepada pesakit.

“Untuk merawatnya, seperti ditetapkan oleh WHO, rawatan standard yang dipraktikkan secara global mengesyorkan Multidrug Therapy (MDT). MDT merangkumi 3 jenis ubat iaitu dapsone, rifampicin dan clofazimine,“ ujarnya.

Kombinasi ubat-ubatan itu turut diberikan mengikut tahap klinikal penyakit yang dihidapi pesakit.

“Secara amnya, apabila MDT diberikan, golongan itu tidak lagi boleh menjangkiti orang lain dalam tempoh 72 jam. Bagaimanapun, setelah tamat durasi masa itu, pesakit perlu dipantau setiap tahun untuk tempoh lima hingga 15 tahun.

“Walaupun kusta bukan lagi penyakit dominan yang sering berlaku di Malaysia, tetapi negara kita masih mencatatkan jumlah kes yang kecil, jadi langkah pencegahan dan berjaga-jaga tetap perlu diambil“, katanya.

Dr Mohamad Suaidi kemudian berkongsi beberapa pendekatan yang boleh diambil bagi mengelak penularan kusta. Antaranya seperti:

Lakukan diagnosis awal dan rawatan sempurna bagi seseorang yang dijangkiti supaya dapat mengawal penyakit.

Mengelak melakukan hubungan fizikal yang begitu rapat dengan mereka yang tidak dirawat.

Bagi individu yang mempunyai hubungan dengan pesakit kusta, mereka dikehendaki menjalani ujian pengesanan kusta.

Langkah terakhir adalah dengan melakukan pemeriksaan tahunan ke atas saudara-mara sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun daripada terdedahnya kepada pesakit kusta.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

 

#kesresponden

Ahli keluarga, rakan terdekat wajib beri sokongan, bukan memulaukan pesakit

SITUASI pesakit kusta dikecam lantaran kecacatan yang dialami mereka ibarat sudah menjadi barah dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya, masih ramai yang memiliki stigma buruk. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan.

Golongan berkenaan sering berasa geli-geleman tatkala melihat pesakit yang kudung atau jari membengkok, hilang kaki, otot tapak tangan mengecut atau kulit yang menggerutu.

Natijahnya, kelompok berkenaan disisihkan sehingga menimbulkan tekanan kepada mereka. Tidak cukup dengan kekurangan pada diri, mereka pula dihimpit pula dengan emosi yang mencengkam.

Berbicara mengenainya, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Psikologi, CPC International, Dr Noor Aishah Rosli.

Dr Noor Aishah mengakui hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh penghidap kusta.

“Seperti yang kita tahu, penyakit ini boleh menyebabkan keadaan fizikal seseorang berubah secara total seperti masalah kulit yang kronik, jari kudung dan sebagainya.

“Kesan daripada itu pesakit akan mengalami kemurungan, keresahan, takut bersosial dan malu dengan keadaan fizikal. Apabila kesemua ini berlaku, ia menyebabkan mereka hilang keyakinan diri,” jelasnya.

Sehubungan itu, bagi mengelak penghidap mengalami depresi melampau, keluarga dan individu-individu terdekat perlu memberi sokongan padu.

“Dalam konteks ini, sokongan yang dimaksudkan bukan sahaja dengan memberi semangat, tetapi merangkumi aspek menyediakan rawatan, tempat tinggal, makanan dan tetap melakukan hubungan sosial dengan mereka.

“Sekiranya keluarga mempamerkan sikap ambil peduli terhadap pesakit walaupun kondisi tubuh tidak seperti dahulu, mereka tidak rasa bersendirian dan terpinggir. Tindakan murni itu dapat mengurangkan kemurungan yang dialami,” katanya.

Dr Noor Aishah menambah, dalam mendepani apa juga keadaan yang dihadapi, pesakit seharusnya berbalik kepada pegangan agama.

“Bagi pesakit Muslim, anda tidak seharusnya menyalahkan diri dengan apa yang berlaku. Sebaliknya terima qada dan qadar yang telah ditentukan oleh ALLAH dengan hati yang terbuka,” tuturnya.

Kepada satu soalan, Dr Noor Aishah berkata, orang ramai tidak seharusnya ragu dengan rawatan yang diberikan oleh pihak hospital.

“Dalam mengawal penyakit berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia sangat efisien dan pesakit sudah tentu menerima rawatan daripada doktor dan jururawat yang terlatih,” ungkapnya.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Foto 123rf

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca