PERCUTIAN empat  hari tiga malam di Surabaya, wanita kongsi trip yang hanya memerlukan kos hanya RM1,990 seorang.

Bak kata pepatah ‘Jauh perjalanan luas pemandangan.’ Apabila kita merantau jauh maka lagi banyak perkara yang kita tahu. Bukan sahaja berpeluang menimba ilmu, meluaskan pengetahuan serta meningkatkan kemahiran, kita juga dapat mempelajari adat dan budaya masyarakat di destinasi yang dikunjungi.

Bercuti ke tempat-tempat yang mempunyai persekitaran yang tenang dan jauh dari kawasan bandar yang sesak mampu merehatkan jiwa dan minda. Dalam masa yang sama juga kita berpeluang menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa yang menakjubkan.

Baca juga: Percutian bajet untuk 7 destinasi luar negara, pemuda ini kongsi tip menarik

Baru-baru ini Wan Hanita Wan Drani yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh berpeluang menjejakkan kaki ke Surabaya, Indonesia. Rombongan seramai 20 orang itu turut disertai pentadbir sekolah selain rakan-rakan setugas yang lain. Catatan perjalanan empat  hari tiga malam di Surabaya yang dikonsikan Wan Hanita  adalah seperti berikut:

1. Hari pertama, pukul 11 pagi kami seramai 20 orang yang terdiri daripada golongan wanita pelbagai peringkat umur sampai di lapangan terbang Surabaya setelah 2 jam 30 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kami terus ke Malang dan solat zuhur dan asar di Masjid Hidayaturrahman Brawijaya, Malang. Seterusnya, kami ke Kampung Tridi. Landskapnya sangat cantik dan bangunannya penuh warna-warni.

Baca juga: Gadis kongsi pengalaman naik ‘sleeper train’ ke Kelantan, seronok jalan-jalan sambil cari makan

2. Hari kedua, kami menginap di KL Hotel Grande. Keesokan paginya setelah daftar keluar hotel kami terus ke ladang epal. Kagum dikelilingi buah epal. Kami boleh memetik sendiri dan terus makan epal tersebut. Selepas itu kami terus ke air terjun Coban Rondo.

Selesai bergambar dan bila hujan mula mencurah-curah, kami terus ke Muzium Angkut. Pelbagai jenis kenderaan antik dipamerkan di sini. Kami juga disajikan dengan suasana enam negara. Menjejak kaki di muzium ini seolah-olah telah menjelajah ke Eropah.

Baca juga: 11 tahun menetap di Norway, wanita cerita pengalaman saksikan aurora di depan mata

3. Hari ketiga, seawal 2.30 pagi kami bersiap-siap untuk ke Gunung Bromo. Hampir pukul tiga pagi baru dapat bergerak menaiki jip dan berhenti menunaikan solat subuh di Masjid Al-Hidayah.

Hampir pukul 4.00 pagi kami menyambung perjalanan. Sampai di lokasi, kami berjalan dalam 100 meter mendaki tanah yang sedikit berbukit dalam keadaan masih gelap. Seketika setelah tiba di lokasi, matahari mula memunculkan diri. Masya ALLAH, cantiknya.

Ketibaan pada pagi Isnin membolehkan kami bergambar sepuas-puasnya di sini kerana tiada pengunjung lain. Selepas itu kami ke lokasi seterusnya ke Bukit Teletubbies. Setelah puas bergambar dan merakam aksi dalam video, kami menuju ke Pasir Berbisik. Bergambar dengan jip yang berlatarbelakangkan gunung.

Baca juga: 6 tempat menarik di Madinah mesti dikunjungi, boleh jalan kaki sambil santai-santai

Destinasi ketiga ialah Gunung Bromo. Untuk melihat kawah Gunung Bromo, perlu mendaki lebih kurang 200 anak tangga. Pukul 11.00 pagi, kami bergerak semula ke Surabaya. Kami sempat dibawa membeli-belah di kedai yang menjual makanan tempatan Indonesia dan kedai batik Indonesia.

4. Hari keempat, kami ke makam Sunan Ampel iaitu salah satu daripada Wali Songo. Kemudian, kami melihat keunikan Masjid Sunan Ampel. Sebelum ke lapangan terbang kami membeli-belah di kawasan sekitar masjid tersebut. Di kawasan tersebut terdapat kedai kek lapis kukus yang berbagai jenis, sangat sesuai dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang.

Iklan

Baca juga: Taman tema air gergasi atas kapal mewah lonjakkan adrenalin. Genting Dream juga sediakan makanan halal

5. Kos untuk percutian ini secara total berjumlah RM1990.00 untuk seorang. Kos merangkumi tiket penerbangan, tiga tempat penginapan, bas yang digunakan sebagai pengangkutan utama sepanjang percutian, kenderaan jip, tiket untuk masuk ke beberapa tempat seperti Muzium Angkut dan perbelanjaan makan minum.

Tip bermusafir:

1.Pakai pakaian yang sesuai untuk solat. Sarung lengan dan stokin bersih perlu dibawa bersama.

2.Sentiasa berjalan dalam kumpulan supaya tidak sesat dan ahli kumpulan lain sentiasa tahu keberadaan kita.

3.Pilih pakaian yang kurang kedut supaya tidak perlu membawa seterika yang akan memberatkan beg.

Iklan

4.Sentiasa berlapang dada dengan situasi yang tidak diduga.

5.Buat penyelidikan awal untuk mendapatkan gambaran keadaan di sesuatu tempat.

Baca juga: Cuti sekolah, jangan terperuk di rumah. Bawalah anak berjalan, biar mereka rasai momen itu

Sumber: Nita Drani 

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi