SEDAR tidak sedar, sudah sebelas hari kita menerima kedatangan bulan Ramadan.

Di samping menunaikan tuntutan agama, ibadah berpuasa juga memberi pelbagai manfaat dari segi penjagaan kesihatan.

Jadi, tidak hairanlah jika sesetengah individu pengambil peluang untuk mengawal pengambilan kalori makanan bagi menurunkan berat badan.

Namun, bagi individu yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis pula, ibadah berpuasa turut dibenarkan selagi tidak memudaratkan kesihatan mereka.

Memperincikan lanjut mengenai topik itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Pemakanan, Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah, Nur Zakira Imana Mohd Fadzil.

NUR ZAKIRA IMANA.

Katanya, individu yang mempunyai penyakit seperti dinyatakan perlu menjaga dan mengawal pemakanan harian dan ubat-ubatan.

Jika tidak, risiko-risiko berikut akan terjadi:

i) Hipoglisemia (kekurangan paras gula dalam darah).
ii) Hiperglisemia (paras gula dalam darah yang tinggi).
iii) Dehidrasi berlaku kerana kehilangan banyak air dalam badan yang boleh memudaratkan kesihatan pesakit.

Oleh itu, pesan Nur Zakira, pesakit yang berpuasa perlulah mendisiplinkan diri dalam mengamalkan rutin bersahur (sebelum berpuasa), berbuka ringan (ketika masuk waktu berbuka), berbuka sederhana (malam selepas selsai solat maghrib), makan menu ringan sebelum tidur dan mengambil ubat mengikut dos dan masa yang ditetapkan.

Berikut beberapa tip untuk pesakit hipertensi dan kencing manis agar kekal bertenaga dan sihat sepanjang berpuasa:

1. Ambil ubat mengikut dos dan masa yang bersesuaian seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Kebanyakan doktor membenarkan pesakit hipertensi atau diabetes berpuasa jika keadaan pesakit terkawal dengan pemantauan diri.

Namun begitu, pesakit mestilah terlebih dahulu berbincang dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai pengambilan ubat atau insulin mengikut dos dan masa yang bersesuaian dengan waktu berpuasa.

Selain itu, bagi penghidap diabetes, bacaan glukosa darah dari rumah mestilah dilakukan secara berkala iaitu sebelum berbuka puasa, 2 hingga 3 jam selepas berbuka puasa dan semasa bersahur sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu.

Begitu juga dengan pesakit hipertensi, pemantauan tekanan darah secara kerap amatlah digalakkan terutama sekali bila bergelaja seperti sakit kepala yang teruk dan sakit tengkuk.

Jika keadaan tidak mengizinkan untuk meneruskan puasa, pesakit mestilah bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan.

2. Jangan tinggalkan sahur dan pastikan makan hidangan lengkap.

Selain itu, pesakit juga disarankan agar bersahur selewat-lewatnya setengah jam sebelum waktu Imsak.

Pesakit digalakkan untuk mengambil satu hidangan yang lengkap dan seimbang yang mengandungi sumber karbohidrat kompleks seperti nasi, pasta, bihun, roti atau biskut.

Sumber protein pula seperti ayam, ikan, telur, daging atau susu, manakala sumber serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

3. Kenali makanan yang tinggi garam.

Pada masa sama, elakkan makanan yang tinggi garam seperti ikan masin, telur masin, makan terproses seperti nuget dan sosej serta makanan bertin atau mengandungi sos bagi mengawal tekanan darah dan mengelakkan dehidrasi semasa berpuasa.

Pesakit hipertensi mestilah membiasakan dengan hidangan yang kurang rasa garam dan boleh menggantikan dengan perasa semula jadi seperti limau nipis, lemon, halia, bawang putih dan sebagainya untuk menyedapkan rasa makanan.

4. Kawal pengambilan karbohidrat semasa berbuka.

Pengambilan karbohidrat yang berlebihan akan menaikkan bacaan glukosa darah secara tidak terkawal.

Perlu diketahui bahawa, karbohidrat kompleks adalah bijirin seperti nasi, bihun, pasta, sayuran berkanji dan produk berasaskan tepung.

Manakala, karbohidrat ringkas pulaseperti minuman dan makanan manis.

Oleh itu, semasa berbuka puasa, mulakan dengan dua biji kurma dan segelas air kosong untuk mendapatkan tenaga segera.

Kemudian, selepas solat magrib boleh mengambil hidangan yang seimbang berpandukan Konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu isikan suku pertama pinggan dengan bijirin, suku kedua dengan sumber protein seperti ayam, ikan atau kekacang serta penuhi separuh pinggan dengan sayur-sayuran.

Selain itu, pesakit juga disarankan mula dengan minum air kosong, sepotong buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum makan nasi dan hidangan protein.

Iklan

Jadi, pilihlah makanan yang kurang kandungan gula, garam dan kurang lemak seperti kaedah masakan bakar, kukus sup atau panggang.

5. Awasi pengambilan gula ringkas.

Pesakit kencing manis tidak digalakkan mengambil sebarang makanan atau minuman manis semasa berbuka kerana bimbang pengambilan karbohidrat kompleks sudah berlebihan.

Namun, anda masih dibenarkan mengambil salah satu sama ada sebiji kuih-kuih manis atau satu cawan kecil minuman bergula semasa berbuka jika teringin.

6. Ambil snek yang sihat waktu minum malam (selepas tarawih).

Salad, buah-buahan dan karbohidrat yang tinggi serat seperti roti mil penuh, oat, kekacang, sandwich, ubi keledek atau jagung rebus adalah antara snek sihat yang disarankan untuk moreh.

Namun, ingat, ia perlu diambil dalam kuantiti yang dibenarkan.

7. Bekalkan air yang cukup semasa berpuasa

Pengambilan air yang cukup amat penting untuk mengelakkan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Iklan

Sebaiknya, minum air kosong dan susu sahaja.

Kita disarankan mengambil air antara 6 hingga 8 gelas sehari dari waktu bangun bersahur sehingga sebelum tidur.

Artikel berkiatan: Bagaimana mahu pasti kita minum 8 gelas sehari semasa Ramadan? Ini caranya

Pada bulan puasa ini, jumlah air yang perlu diambil tetap sama, tetapi masa pengambilan sahaja yang berubah.

8. Digalakkan bertarawih.

Tarawih adalah salah satu senaman yang digalakkan semasa bulan puasa.

Ia melibatkan pergerakan tubuh badan yang teratur dan berulangan yang sangat bagus untuk menurunkan tekanan darah dan mengawal bacaan glukosa darah bagi pesakit hipertensi dan kencing manis.

Oleh yang demikian, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan sempurna dan selamat jika pesakit mematuhi syarat dan panduan berpuasa.

“Apa-apapun, cara pengambilan makanan dan ubat seperti mengikut dos dan waktu yang dijadualkan oleh doktor semasa berpuasa adalah sangat penting,” pesannya.