Precious Of Malaysia sasar 1,000 orang bertanjak sempena Hari Tanjak Malaysia
TANJAK merupakan aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.
Justeru, bagi menjaga, mengembangkan dan melestarikan ia sebagai warisan budaya Melayu yang perlu dibanggakan, FM Group bakal menganjurkan Hari Tanjak Malaysia menerusi program Precious Of Malaysia.
Program yang bakal berlangsung pada 10 Ogos ini bertujuan untuk melihat budaya memakai tanjak terus dikekalkan generasi pelapis dalam masyarakat hari ini.
Menurut penganjur program, Farel Mikhail, walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik, namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus hidup dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.
“Apabila pakai tanjak, ini sekali gus mendorong mereka mengambil tahu asal usul atau sejarah di sebalik pemakaian tanjak itu.
“Anda tak perlu tunggu pakai baju Melayu baru nak kenakan tanjak, anak-anak muda boleh sahaja memadankan ia dengan pakaian seharian mereka seperti baju kasual atau berseluar jeans,” katanya.
Farel Mikhail juga melihat penganjuran Hari Tanjak Malaysia ini adalah kesinambungan daripada pelbagai pihak sebelum ini yang menganjurkan kempen pakai tanjak.
“Jika dilihat sebelum ini, ada saja pihak lain yang membawa kempen memakai tanjak.
“Misalnya kempen memakai tanjak yang digerakkan oleh sekumpulan individu yang mewarnai Hari Malaysia pada 16 September beberapa tahun lepas.
“Kempen yang dinamakan 'Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak' itu sebelum ini pernah tular dalam media sosial.
“Jadi, penganjuran Hari Tanjak Malaysia yang saya bawakan ini pula akan memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan.
“Untuk itu, saya mensasarkan 1,000 orang dari pelbagai bangsa untuk hadir memakai tanjak pada hari tersebut. Bersama-sama kita meneruskan warisan budaya kita di samping mengukuhkan tali silaturrahim
dan semangat perpaduan berbilang kaum dalam negara. Bagi saya, pemakaian tanjak yang merupakan budaya Melayu itu sebenarnya budaya Malaysia juga,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Precious Of Malaysia juga turut menganjurkan pertandingan rekaan fesyen sempena International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
Menurut pereka fesyen Farel Mikhail dan Jonathan yang juga penganjur, ICFW adalah platform untuk anak-anak muda berkarya terutamanya dalam menghasilkan busana tradisional atau kontemporari.
“Pertandingan ini lebih kepada memberi platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.
“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.
“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.
ICFW tahun ini akan menampilkan kelainan bagi menaikkan lagi martabat budaya kita.
“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari dalam dan luar negara.
“Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.
“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dari negara serantau,” tambahnya.
Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang