Ragam ibu mentua dan menantu bikin pecah kepala! 4 punca boleh rosakkan hubungan
SETIAP wanita yang telah mendirikan rumah tangga pasti memiliki pelbagai koleksi kisah menarik untuk dikongsikan tentang perihal hubungan bersama ibu mentua.
Sesetengah antara kita acap kali diusik dengan perkara itu terutama selepas meraikan perayaan mahupun acara tertentu bersama ahli keluarga besan.
Hal ini bukan sahaja menjadi topik hangat untuk dibualkan, malah kisah sebegini turut menjadi subjek utama di layar perak seperti filem antarabangsa Monster In Law mahupun karya tempatan, 7 Hari Mencintaiku 2, Rendang Untuk Mertua dan Seputeh Qaseh Ramadan.
Sesetengah beranggapan perkara ini satu hal yang remeh, tetapi hubungan kekeluargaan perlu dijaga kerana tanggungjawab anak untuk menjaga ibu bapa tidak mengira sama ada kandung, mentua ataupun angkat.
Namun, terdapat beberapa hal yang kadangkala boleh mencetuskan salah faham sehingga menyebabkan keluarga bercerai-berai.
Sejujurnya Sinarplus tidaklah menuding kepada mana-mana pihak, tetapi berikut ini merupakan situasi yang dapat mencetuskan perbalahan antara ibu mentua dan menantu:
1. Terlalu inginkan kesempurnaan
Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun, apabila ibu mentua mementingkan kesempunaan dengan cara mengikut segala kehendak dan keinginan, perkara sebegini boleh menjejaskan hubungan menantu bersama pasangan.
Apabila menantu melakukan kesalahan atau tidak mahir dalam sesuatu perkara, ibu mentua seharusnya tidak terlalu memperbesarkan perkara tersebut.
Sebaiknya diberikan teguran dengan cara yang baik dan bukannya sindirin terutama di hadapan ahli keluarga lain.
2. Gemar mencampuri urusan
Bagai pepatah tiada laut yang tidak berombak, begitu juga hubungan suami isteri.
Memang benar tanggungjawab anak kepada ibu bapa tidak pernah berakhir biarpun sudah mendirikan rumah tangga. Namun, ini tidak bermakna ibu bapa perlu mencampuri urusan rumah tangga anak terutama melibatkan hal yang remeh.
Kadangkala ibu bapa beranggapan urusan menjaga rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menjaga anak merupakan tanggungjawab isteri sedangkan perkahwinan itu melibatkan dua pihak iaitu antara suami dan isteri.
Oleh itu, berilah peluang kepada anakuntuk menentukan hala tuju rumah tangga mereka sehinggalah hal tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada keluarga.
3. Memandang rendah
Pada peringkat awal mendirikan rumah tangga, setiap pasangan pasti berasa kekok untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran alam perkahwinan.
Oleh itu mereka memerlukan masa untuk saling memahami dan mempelajari sesuatu perkara. Sesekali kesilapan pasti berlaku manakala menantu pula jangan mudah terasa hati sekiranya ditegur oleh ibu mentua.
Bagaimanapun ibu mentua pula tidak perlu menggunakan kata-kata yang boleh menyakitkan hati apatah lagi sengaja memburukkan menantu kepada orang lain.
Sebaiknya, jaga hubungan meskipun sesama keluarga besan bagi menjamin keharmonian rumah tangga.
4. Serba-serbi bijak
Perbezaan persekitaran zaman dahulu dengan sekarang jelas berbeza begitu juga dengan tahap pemikiran dan pandangan.
Sesekali ibu mentua dan menantu perlu saling bertolak ansur dalam memberikan pandangan mahupun tunjuk ajar. Situasi perbalahan seperti perbezaan cara penyediaan sesuatu hidangan dan cara didikan anak-anak antara hal yang mampu merenggangkan hubungan.
Bagai kata pepatah, lain padang lain belalang. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu saling bertolak ansur terutama bagi mereka yang berkahwin dengan berlainan bangsa mahupun negeri berbeza.
Kesimpulannya, nama juga sudah keluarga dan janganlah jadi seperti air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan. Sama-samalah kita renungkan...
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang