'Sesatkan diri' di pagar berselirat PD Maze, Port Dickson. Jom uji adrenalin dan kecekapan di sini

A
A
A

PORT Dickson, Negeri Sembilan menjadi antara destinasi liburan kegemaran ramai untuk percutian singkat pada hujung minggu.

Bukan sahaja memiliki kelebihan pantai, bukit atau gunung yang cantik, malah daerah dengan keluasan 572.4 kilometer persegi itu rupa-rupanya memiliki tarikan terbaharu iaitu PD Maze.

Meskipun baru dibuka, PD Maze yang merupakan pagar sesat terbesar di Malaysia pantas menggamit pengunjung lokal dan luar negara.

Menurut pengusaha PD Maze, Chong Shao Pin, beliau teruja apabila inisiatifnya mendatangkan hasil sejak premis itu memulakan operasi pada 31 Ogos tahun lalu.

pagar sesat PD Maze

Berkongsi kisah idea pagar sesat berkenaan, Shao Ping memberitahu, percutian bersama famili ke Thailand pada tahun 2019 telah mencetuskan minatnya untuk melakukan sesuatu di luar kotak.

“Ketika bercuti, isteri membawa saya dan anak ke tempat pagar sesat. Saya rasa ia sesuatu yang menyeronokkan. Lagi satu, saya terpukau dengan reka bentuk pagar berselirat yang boleh bikin satu badan berpeluh untuk mencari jalan keluar.

pagar sesat PD Maze

“Bermula detik itu, saya terfikir mahu membawa idea sama memandangkan di Malaysia, belum banyak lagi tempat rekreasi sebegitu rupa diwujudkan," cerita usahawan yang juga seorang jurutera elektrik yang berusia 41 tahun itu dengan nada teruja.

Selepas membuat perancangan rapi, Shao Ping membuka lokasi liburan santai di satu tapak yang disewa sebesar 0.8 hektar dan berhampiran dengan sebuah taman rekreasi ekstrem .

pagar sesat PD Maze

Percaya atau tidak, PD Maze yang dibina dengan keluasan 4,000 meter persegi pada jarak sepanjang 1,300 meter itu berjaya direalisasikan dengan binaan pokok pagar spesies eugenia setinggi 2 meter.

Setiap 20 jalan mati dengan 14 daripadanya sudah dihiasi dengan arca unik buatan tangan.

Shao Ping juga sedang dalam usaha menambah beberapa karya seni mengagumkan dari semasa ke semasa.

Baca juga Impian berbulan madu di resort mewah tepi pantai, ini 5 lokasi popular pilihan pengantin baharu

Beliau antara lain memilih wajah selebriti, binaan besi, rumah tiga dimensi dan cermin ilusi optik.

pagar sesat PD Maze

"Kesemuanya mengambil masa untuk disiapkan satu persatu. Setiap reka bentuk saya pelajari hanya melalui media sosial.

“Saya memang suka membuat arca seni. Saya puas hati apabila semua karya yang dibuat dapat dipamerkan dan menjadi tumpuan ramai untuk bergambar. Memang seronok apabila semua suka dengan keunikan yang saya bawakan," katanya.

Baca juga Pilihan pengembaraan masa kini, persinggahan destinasi percutian dengan tren, lokomotif diesel lebih mengujakan

Mengulas lanjut, Shao Pin berkata, tahap kesukaran pagar sesat di premisnya hanya mencapai skala tujuh persepuluh. Pun demikian, ia bergantung kepada kecekapan seseorang.

pagar sesat PD Maze

"Paling cepat, mereka boleh selesaikan dalam tempoh 15 minit, namun ramai juga yang tersesat lama,” katanya sambil tergelak besar.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan cuba memperbanyakkan lagi tarikan dengan pemasangan lampu LED pada waktu malam dengan hiasan arca.

Baca juga 5 lokasi liburan si kecil, destinasi nombor 4 memang berbaloi untuk cungkil kreativiti

“Sekarang ini, sambutan memang di luar jangkauan dan ramai minta saya lanjutkan operasi premis sehingga malam. Oleh itu, saya dalam persiapan untuk menambah lampu jenis solar dan mencantikkan lagi landskap hiasan.

pagar sesat PD Maze

“Kepada orang ramai yang masih belum tahu mengenai lokasi rekreasi mesra kanak-kanak ini, jemputlah datang untuk merasai pengalaman sesat di pagar yang mengelirukan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

#JomJalan

Di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat termasuk di Australia, pagar sesat dijadikan salah satu daya tarikan pelancongan.

Namun, di negara ini, konsep seumpama itu tidak banyak. Jika ada pun, skala keluasannya begitu kecil.

Kemunculan PD Maze baru-baru ini amat dialu-alukan. Hasil carian kami, terdapat tiga lokasi lain yang mempunyai pagar sesat yang turut mengujakan untuk diterokai:

pagar sesat PD Maze

TT5 Maze Park

Alamat: KM 9, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak

Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang

Harga tiket: RM13 (kanak-kanak) dan RM18 (dewasa)

Facebook: TT5 Perak

pagar sesat PD Maze

Water Maze Forest City

Alamat: Pulau Satu, Gelang Patah, Johor Bahru

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang ( Jumaat hingga Ahad)

Harga tiket: RM10

Facebook: Forest City

Instagram: @ForestCityCGPV

pagar sesat PD Maze

Maze Garden Shangri-La KL

Alamat: 11, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

Waktu operasi: 24 jam

Harga tiket: Bergantung kepada pakej

Facebook: Shangri-La Kuala Lumpur

Instagram: @shangrilaKL

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca