BERDASARKAN statistik The National Lupus of America, 1.5 juta penduduk negara itu dan kira-kira lima juta penduduk di seluruh dunia menghidap penyakit lupus.

Sebanyak 90 peratus lupus atau dikenali sebagai Sistemic Lupus Eritematosus (SLE) menyerang kebanyakan wanita dalam usia kehamilan iaitu antara umur 15 hingga 44 tahun.

Salah satu penyanyi terkenal Indonesia, Isyana Sarasvati antara individu yang baru saja didiagnos dengan autoimun SLE.

Beliau masih menjalani rawatan berterusan sehingga pada saat ini.

Bagaimanapun, kaum Adam, kanak-kanak dan remaja juga boleh mendapatnya.

The National Lupus of America menambah, hingga 10 hingga 15 peratus penghidap SLE boleh mengalami komplikasi sehingga menyebabkan kematian.

“Bagaimanapun, disebabkan diagnosis dan pengurusan penyakit yang semakin baik, kebanyakan pesakit akan terus menjalani kehidupan seperti biasa dengan jangka hayat lebih yang lama,“ kata sumber itu.

Di Malaysia, Persatuan SLE Malaysia menganggarkan lebih 10,000 pesakit dikesan menghidap masalah kesihatan tersebut sejak 30 tahun lalu. Pun begitu, angka sebenar dijangkakan mungkin lebih ramai lagi.

Dr Rashidi Saidin

Untuk mendapatkan kepastian lanjut, SinarPlus menemui Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Avisena Specialist Hospital, Dr Rashidi Saidin.

Ujar Dr Rashidi, SLE merupakan penyakit kronik autoimun yang menyaksikan antibodi pesakit bertindak balas dengan tisu badan sendiri.

“Untuk keadaan tubuh normal, antibodi adalah salah satu sistem pertahanan badan bagi melawan penyakit. Bagaimanapun, imuniti badan pesakit lupus menjadi bercelaru dan menyerang tisu sendiri,“ ujarnya sambil memberitahu, SLE boleh menjejaskan sistem tubuh seperti kulit, mata, hati, otak dan organ-organ lain di dalam badan.

Dalam pada itu, Centers For Disease Control and Prevention memaklumkan, terdapat beberapa jenis lain penyakit lupus selain SLE. Antaranya:

i. Cutaneous lupus: Lupus jenis ini menjejaskan kulit dan menyebabkan ruam pada badan. Ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh, namun lazimnya muncul pada kulit yang terdedah kepada cahaya matahari.
ii. Drug-induced lupus: Lupus yang disebabkan pengambilan ubat-ubatan. Gejala biasanya berlaku tiga hingga enam bulan selepas seseorang memulakan rawatan dan hilang sebaik sahaja ubat dihentikan.
iii. Neonatal lupus: Lupus dalam kalangan bayi berlaku apabila si kecil memperoleh auto antibodi daripada ibu yang menghidap SLE. Masalah kulit, hati dan darah yang dialami akan hilang dalam masa enam bulan. Pun demikian, jantungnya mungkin memerlukan proses implan perentak jantung (pacemaker).

Hormon estrogen
Dr Rashidi kemudian menyenaraikan beberapa petanda awal yang ditunjukkan pesakit lupus. Antaranya:

i. Tanda merah pada pipi.
ii. Demam yang berpanjangan.
iii. Jangkitan kuman atau penyakit tertentu yang sukar sembuh dengan rawatan biasa.
iv. Protein dalam air kencing yang menunjukkan gangguan sistem buah pinggang.
v. Bilangan sel darah putih dan merah yang rendah.

Seperti yang diperkatakan tadi, lupus boleh menyerang mana-mana organ. Sebagai contoh, lupus nephritis yang menganggu buah pinggang.

Jelas Dr Rashidi, kelewatan menerima rawatan boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang sehingga memaksa pesakit menjalani dialisis atau transplan.

SLE yang menyerang jantung pula boleh mengakibatkan pesakit mengalami lemah jantung dan berdepan risiko maut.

Persoalan mengapa SLE lebih banyak tertumpu kepada wanita, pakar itu memberi komentar berdasarkan pengetahuannya.

Ujar beliau, secara umumnya hal itu tidak dapat dipastikan.

“Selain daripada kemungkinan faktor genetik, salah satunya adalah hormon estrogen wanita yang boleh memberi rangsangan kepada SLE,“ katanya.

Bagi wanita hamil yang menghidap SLE, Dr Rashidi berkata, golongan itu perlu mendapat pengawasan rapi oleh pakar daripada pelbagai disiplin perubatan.

“Janin dianggap bendasing yang boleh merangsang imuniti SLE dan kemungkinan wanita hamil mengalami keguguran boleh berlaku. Ubat yang diberikan untuk mengawal antibodi tubuh juga boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan dan mengancam nyawa ibu.

“Jika ditakdirkan bayi selamat dilahirkan, si kecil ini mungkin boleh mewarisi genetik ibunya,“ ujar beliau lagi.

Baca juga: Wanita lebih mudah mendapat penyakit autoimun, ketahui sebab, jenis penyakit

Sukar dikesan

Menurut Lupus Foundation of America, penyakit kritikal itu menjadi sukar untuk didiagnos disebabkan gejalanya mirip dengan penyakit lain.

Sekitar 50 peratus penderita betul-betul disahkan menghidapnya selepas lebih empat tahun mendapatkan perawatan dengan berjumpa pelbagai pakar.

Kenyataan itu selari dengan pengalaman Dr Rashidi. Ujar beliau, lupus memang sukar untuk dikesan dan pesakit sering kali mengalami kesilapan diagnosis.

Natijahnya, proses rawatan menjadi bertambah sulit lebih-lebih lagi apabila seseorang sudah mendapat jangkitan kuman.

Mengulas lanjut, Dr Rashidi berkata, SLE boleh berada pada tahap aktif, dapat dikawal dan boleh kembali aktif.

Sekiranya sel aktif tanpa kawalan, ia boleh meragut nyawa penghidapnya.
Menyentuh tentang rawatan, pakar tersebut berkata, perkembangan teknologi baharu telah membantu rawatan SLE yang lebih khusus dan kurang toksik.

Iklan

“Jika dahulu, rawatan menggunakan ubat-ubatan immunosuppressant diperlukan untuk meredakan SLE yang sedang aktif atau meradang.

“Kini, dengan adanya kaedah rawatan biologik iaitu rawatan menggunakan antibodi, contohnya anti-CD20, dos ubat pesakit sudah boleh dikurangkan,“ beritahunya.

Kata beliau, ubat yang diambil pesakit pastinya ada kesan sampingan. Pengambilan steroid misalnya, boleh menyebabkan muka bengkak, berjerawat, tumbuh banyak rambut atau bulu roma dan tulang reput.

Bagaimanapun, kata Dr Rashidi, penyakit itu sendiri akan memberikan impak yang lebih buruk.

Dr Anim Md Shah

Kawal kuantiti makanan

Dalam pada itu, bagi mengetahui tentang kualiti hidup pesakit SLE, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Anim Md Shah.

Ujar Dr Anim, kebanyakan pesakit SLE di negara ini tergolong dalam kumpulan yang boleh menjalani kehidupan normal.

Hanya segelintir pesakit yang berdepan dengan masalah untuk melakukan aktiviti harian.

“Tidak dinafikan ada pesakit SLE yang tidak tahan panas, mempunyai kulit yang sensitif, tidak boleh melakukan kerja berat, cepat mengah dan mengalami kekurangan darah.

“Memang ada pesakit SLE dalam kalangan pelajar yang tidak dapat hadir ke kuliah atau terpaksa tangguhkan sementara pengajian apabila mereka perlu berulang-alik di hospital.

Begitu juga pekerja yang terpaksa ambil cuti sakit atau terpaksa berhenti kerja kerana perlu pemantauan doktor untuk tempoh yang panjang,“ ujarnya.

Namun demikian, majoriti pesakit berada dalam keadaan baik dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas menjalani rawatan.

Mereka rata-ratanya hadir memenuhi janji temu dengan doktor secara berkala sahaja.

Iklan

Menyentuh soal diet, Dr Anim menyarankan pesakit agar mengamalkan pemakanan sihat dan mengawal porsi dalam diet harian.

“Ubat yang diambil boleh menambah nafsu makan dan pada masa sama mengundang risiko kencing manis dan darah tinggi kepada pesakit.

“Memang tiada diet istimewa, tetapi mereka kena makan makanan yang kurang gula dan garam supaya berat badan tidak naik mendadak dan menambahkan risiko darah tinggi serta kencing manis,“ tambah pakar tersebut.

Baca juga: Hidap masalah autoimun sejak kecil, Elizabeth Tan dedah rahsia

Baca juga: Awas jika bahagian leher, bawah ketiak atau pangkal paha bengkak. Itu antara petanda awal kanser limfoma

Dari segi kesihatan mental, Dr Anim berkata, sokongan keluarga adalah penting untuk pesakit mengurangkan tekanan.

“Pesakit SLE biasanya akan disarankan untuk berjumpa dengan pakar psikologi atau pakar psikiatri jika mereka memerlukan sokongan kesihatan mental tambahan,“ ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang