SEMPENA HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA

PADA setiap tahun, di Malaysia sekurang-kurangnya 15 peratus atau hampir 3,000 penduduk didiagnos mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik dan memerlukan rawatan dialisis.

Antara risiko berlakunya kegagalan buah pinggang adalah disebabkan oleh pertambahan umur. Masalah obesiti, hipertensi, merokok dan genetik turut menyumbang kepada statistik berkenaan.

Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Dr Lily Mushahar dari Hospital Tuanku Ja‘afar, Negeri Sembilan berkata, hampir 65 ke 70 peratus pesakit buah pinggang pada asalnya mempunyai masalah kencing manis.

Dr Lily Mushahar.

“Punca utama rakyat Malaysia berhadapan masalah kegagalan buah pinggang adalah mereka mempunyai sejarah penyakit diabetes selain masalah darah tinggi, batu karang dan atau Sistemetik Lupus Eritematosus.

“Biasanya mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas dan mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit yang sama,“ katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Laman Web www.MYBuahPinggang.com oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.

Ujar Dr Lily, terlalu ramai dalam kalangan masyarakat yang sentiasa beranggapan mereka kekal sihat, meskipun sudah bertahun-tahun tidak melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Jangan salah faham, jika mereka tidak berhadapan apa-apa masalah kesihatan bererti mereka sihat. Ini kerana setiap orang di antara kita, mempunyai risiko yang sama. Penyakit buah pinggang boleh menyerang badan dalam diam dan situasi itu dikenali sebagai pembunuh senyap,“ tambah Dr Lily.

Justeru, pakar itu berkata, memadai bagi seseorang membuat pemeriksaan kesihatan sekali dalam setahun agar dapat mengetahui kondisi kesihatan tubuh badan masing-masing.

Sanggah mitos

Senada dengan Dr Lily ialah Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Universiti Putra Malaysia, Dr Nor Fadhlina Zakaria.

Dr Nor Fadhlina.

Katanya, pemeriksaan pengesanan kesihatan sangat penting agar tahap kesihatan diri sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Sebenarnya, saringan berkenaan sangat mudah. Ia melibatkan tiga parameter yang diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing.

“Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang,“ katanya.

Dr Nor Fadhlina menambah, penyakit berkenaan yang semakin meningkat saban tahun juga dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Justeru, berikut disenaraikan beberapa amalan yang mencegah masalah buah pinggang. Antaranya:

Iklan
  1. Amalkan gaya hidup yang sihat.
  2. Berhenti tabiat merokok segera.
  3. Makan ubat mengikut nasihat yang disarankan oleh doktor.
  4. Kekalkan berat badan seimbang.
  5. Lakukan aktiviti bersenam sekurangnya-kurangnya 120 minit dalam seminggu.

Menjawab satu soalan lain, kata Dr Nor Fadhlina, terdapat pelbagai mitos pengambilan ubat-ubatan yang dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Artikel berkaitan: Penghidap penyakit 3 serangkai berisiko diserang sakit buah pinggang kronik

“Ingin saya tegaskan di sini, sebenarnya, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan ubat-ubatan yang dibekalkan akhirnya akan merosakkan buah pinggang.

“Ini kerana segala ubat-ubatan yang diedarkan itu adalah datang daripada doktor yang bertauliah dan sangat diakui keberkesanannya,“ tegasnya.

Mengakui berkemungkinan pengambilan beberapa jenis ubat-ubatan akan memberi sedikit kesan kepada pesakit, Dr Nor Fadhlina berharap, pesakit tidak perlu khuatir kerana mereka akan sentiasa dipantau dengan rapi agar preskripsi ubat tidak mengganggu fungsi organ lain.

Iklan

Pun demikian, apa yang membimbangkan pakar perubatan itu apabila terdapat ramai yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit kronik berkenaan.

“Hal itu terjadi disebabkan pesakit tidak mempunyai gejala pada peringkat awal. Apabila sudah bergejala, pesakit selalunya sudah berada pada tahap yang serius,“ katanya.

Terdahulu, ketika merasmikan www.MYBuahPinggang.com, Dr Noor Hisham berharap, pautan itu dapat dijadikan pusat sehenti untuk orang awam dan pesakit mendapatkan maklumat sahih mengenai kesihatan buah pinggang.

“Saya juga difahamkan ia akan diperluaskan dalam jangka masa terdekat dengan merangkumi pelbagai aspek lain seperti pendidikan pesakit pradialisis dan pendidikan diabetes,“ ujarnya.

Dengan adanya web itu, kata beliau, tahap kesedaran rakyat Malaysia akan bertambah baik sekaligus dapat mengurangkan penyakit kegagalan fungsi buah pinggang di negara ini pada masa akan datang.