PERASAN atau tidak, ada di antara kita yang suka mengganggu perbualan atau kerap memotong percakapan apabila sedang bersembang?

Ya! Itu adalah salah satu ciri-ciri mereka yang mengalami masalah sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau attention deficit hyperactive disorder (ADHD) .

Namun demikian, jangan sesekali memberi kecaman kepada kelompok berkenaan kerana kadangkala ada di antara mereka yang tidak tahu mempunyai ADHD sehinggalah menjengah usia dewasa.

Public Health Malaysia menerusi entri Facebooknya berkata, ADHD adalah salah satu masalah sikap yang disebabkan oleh perkembangan neuro atau otak yang tidak normal.

Jom kenali ADHD ☺️.

Posted by Public Health Malaysia on Thursday, March 18, 2021

 

Dikatakan hampir 4.3 peratus pesakit yang menghidap penyakit itu di Malaysia yang mana lazimnya terjadi kepada mereka yang berusia lima ke 15 tahun.

Sebenarnya, terdapat tiga jenis keadaan ADHD iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan impulsif (menurut kata hati).

Menurut Barkley, pada tahun 1990, ADHD merupakan salah satu kecelaruan pemikiran yang paling umum dalam kalangan si kecil.

Lahey pada tahun 1997 pula menyifatkan ADHD adalah masalah kanak-kanak yang mempunyai kesukaran untuk menumpukan perhatian kerana kebolehannya yang terhad untuk memberi tumpuan dan sering menunjukkan tingkah laku tidak sabar.

“Gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan berlaku dengan begitu ketara pada sesetengah kanak-kanak terutamanya pada peringkat prasekolah dan juga murid-murid sekolah rendah.

“Gejala ini mengakibatkan kanak-kanak yang mengalaminya sukar mengawal tingkah laku mereka dalam memberi tumpuan yang sepenuhnya,” beritahu Lahey.

Berikut perincian tiga ciri-ciri utama seseorang mempunyai masalah ADHD:

i) Hiperaktif.

  • Apabila duduk sering menggeliat dan gelisah.
  • Kerap bangun untuk berjalan dan berlari.
  • Lari dan memanjat pada keadaan yang tidak sesuai.
  • Terdapat masalah jika melakukan kerja dalam keadaan senyap.
  • Banyak bercakap.

Iklan

ii) Tidak fokus.

  • Sukar fokus di dalam kelas atau semasa waktu bekerja.
  • Selalu menunda kerja, tidak siap kerja dan menukar-nukar kerja yang tidak siap.
  • Tidak teratur.
  • Kerap terlupa (mesyuarat, janji temu dan tertinggal barang.
  • Senang terganggu dengan bunyi yang mana orang lain tidak mempedulikannya.

iii) Impulsif.

  • Tidak sabar.
  • Sukar menahan daripada mula bercakap dan memberi reaksi.
  • Sukar ikut giliran.
  • Selalu memotong percakapan atau pertanyaan orang lain.

Pun demikian, pengetahuan ADHD dalam kalangan rakyat Malaysia sangat rendah.

Iklan

Oleh yang demikian, buat ibu bapa di luar sana yang melihat simptom-simptom awal pada anak anda, bawalah mereka berjumpa doktor.

Artikel berkaitan: Dituduh ambil barang terlarang, Yonnyboii akui hidap ADHD

Pastinya, dengan pengesanan awal, rawatan boleh dimulakan lebih cepat dan proses untuk ibu bapa mengenali anak masing-masing juga lebih mudah dilakukan.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.