MOOD setiap pengembara berbeza-beza. Sesetengahnya gemar memilih hotel lima bintang demi keselesaan. Ada yang lebih sempoi.Asalkan ada tempat tidur, sudah memadai bagi mereka.
Idea The Culvert Hotel Resort di Santubong, Sarawak yang menggabungkan kedua-dua elemen iaitu mewah dan simple nampaknya dapat memenuhi keinginan dua kelompok.
Hanya mempertaruhkan pembetung paip bersaiz gergasi yang diubah saiz menjadi sebuah kamar membuatkan sesiapa yang melihatnya akan terpesona. Lebih-lebih lagi lokasinya yang berhadapan Gunung Santubong dan keindahan Pantai Puteri Santubong.
Berdasarkan carian menerusi media sosial, graf pelancong yang memilih untuk bermalam di kamar-kamar unik seperti dalam pembetung paip atau kolong ini semakin mencanak naik terutama dalam kalangan backpackers.
Pengurus Operasi The Culvert Hotel Resort, Cynthia Bullek berkata, selain pakej alam semula jadi yang mendamaikan, pihaknya menyediakan 43 unit bilik di tanah seluas lebih 0.68 hektar.
“Kami juga mempunyai kolam renang, perpustakaan dan gimnasium yang berdepan dengan laut yang terbentang luas. Tambah menarik, trek mendaki terletak di hadapan bilik resort sahaja.
“Justeru, buat pendaki, selepas meneroka alam flora dan fauna di Gunung Santubong, mereka dipelawa berehat di sebuah bilik khas yang lengkap dengan bilik air sambil menikmati angin pantai,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Justeru, kepada pembaca SinarPlus yang mempunyai bajet lebih, apa kata terbang ke Sarawak untuk menginap di resort berkenaan.
Pesan Cynthia: “Jangan lupa tempah awal resort bagi elak pulang dengan hati yang kecewa.“
Artikal berkaitan: 5 Port hotel kapsul dan ‘kolong gergasi’ wajib terjah…
Selain The Culvert Hotel Resort di Sarawak yang mengimplemenkan pembetung paip atau kolong, tinjauan SinarPlus mendapati beberapa negeri seperti di Pahang, Sabah dan Kedah turut menggunakan metod sama.
Nampaknya, idea yang luar biasa dan unik menjadi magnet orang ramai untuk singgah ke satu-satu destinasi.
Selain elemen itu menjadi pertaruhan, mereka juga mengambil berat soal hidangan termasuk kemudahan ekstra yang ditawarkan.
Berikut SinarPlus senaraikan empat destinasi pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi aktiviti hujung minggu atau cuti persekolahan nanti:
Hotel Tubotel
- Alamat: Kuala Cenang, Pantai Cenang, Pulau Langkawi, Kedah
- Pakej: Bermula pada harga RM50
- Facebook: Tubotel Langkawi
- Instagram: @tubotel.langkawi
Hotel Time Capsule Retreat
- Alamat: EB 4 Belakang Sekolah Menengah Sungai Lembing, Kuantan, Pahang
- Pakej: Bermula pada harga RM118
- Facebook: Time Capsule Retreat
- Instagram: @timecapsuleretreat
Culvert View
- Alamat: Jalan Lobou-Lobou Satu, Kampung Lembah Permai Kundasang, Kota Kinabalu, Sabah
- Pakej: Bermula pada harga RM169
- Facebook: Culvert View
- Instagram: @culvertview
Go Deeper Tioman
- Alamat: Lot 487, Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang
- Pakej: Bermula pada harga RM299
- Facebook: Go Deeper Tioman
- Instagram: @Go.Deeper.Tioman