KANSER payudara merupakan antara kanser yang dianggap ‘pembunuh senyap’ dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya golongan wanita.

Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kes kanser payudara mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding penyakit kanser lain dalam kalangan wanita Malaysia.

Berdasarkan peratusan tersebut, ia bermakna anggaran insiden kanser payudara di Malaysia ialah 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita di negara ini.

Menurut Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Aqilah Othman, perangkaan menunjukkan jumlah penghidap kanser tersebut semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Malah, kanser tersebut tidak hanya melibatkan golongan dewasa tetapi turut dikesan pada individu yang muda.

“Punca sebenar barah itu terjadi tidak diketahui. Bagaimanapun, faktor luaran seperti diet pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat mungkin menjadi penyumbang kepada pertambahan statistik tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Doktor dan Anda yang membincangkan tajuk ‘Kanser Payudara, Jangan Ambil Mudah’ yang diadakan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Aqilah memberitahu, selain faktor gaya hidup, golongan wanita yang memilih menangguhkan kehamilan dan faktor ketidakstabilan hormon turut menyumbang kepada risiko sama.

Baca juga: Rawatan rekonstruktrif, implan silikon beri harapan baharu kepada pesakit kanser payudara. Pakar beri penjelasan

Baca juga: Sengat lebah didakwa boleh matikan sel kanser payudara dalam masa sejam

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Pada masa sama katanya, kanser payudara ini boleh diwarisi secara genetik iaitu turun-temurun sama ada daripada ayah atau ibu yang menghidap kanser.

Bagaimanapun, peratusannya adalah kecil iaitu sekitar lima peratus sahaja.

“Namun, adalah lebih baik sekiranya mereka yang mempunyai ahli keluarga penghidap kanser mengambil langkah waspada,” katanya.

Simptom dan ujian awal

Mengenai simptom kanser payudara, Dr Aqilah berkata, pesakit yang menghidap penyakit itu pada awalnya adalah sukar untuk dikesan.

Baca juga: PPUM bantu pesakit kanser payudara B40, elak pesakit tangguhkan proses pemulihan

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

“Untuk saiz barah yang baru tumbuh atau kecil, ia sukar dikesan sendiri terutamanya mereka yang bertubuh gempal.

“Disebabkan itu, golongan wanita digalakkan melakukan ujian saringan pengesanan kanser terutamanya mereka yang berusia lebih 40 tahun,” jelas beliau.

Pada masa sama, golongan wanita disarankan melakukan pemeriksaan sendiri payudara  atau PSP terutamanya selepas mandi.

Katanya, PSP boleh dilakukan dengan menggunakan jari dengan menekan bahagian payudara secara membulat sehingga ke bahagian ketiak.  

Kebarangkalian seseorang itu menghidap kanser payudara katanya adalah tinggi sekiranya terdapat tanda-tanda seperti bengkak atau benjolan pada buah dada, ketulan pada bahagian ketiak, kulit payudara merah dan lelehan dalam bentuk cairan atau darah keluar daripada bahagian puting payudara.

 Mengulas lanjut, Dr Aqilah berkata, setiap individu pasti mengetahui keadaan dirinya dan perlu segera dapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya menyedari terdapat sesuatu yang tidak normal pada tubuh mereka.

Katanya, ujian saringan Mamogram dan ultrasound dapat membantu mengesan sel kanser dan ujian biopsi pula dapat mengesahkan jenis barah yang dihidapi.

Baca juga: Sakit payudara ketika haid anda mungkin mempunyai kanser, ini 7 tanda setiap wanita wajib ambil tahu!

Iklan
SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK

Menyentuh soal perawatan, Dr Aqilah memberitahu, pilihan rawatan dikenalpasti berdasarkan saiz, tahap dan gred kanser yang dihidapi seseorang pesakit.

“Pembedahan adalah kaedah paling lazim dijalankan untuk membuang sel kanser. Jika kanser berulang, pesakit memerlukan rawatan susulan seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi bersasar,” katanya lagi.

Tambah beliau, pesakit kanser tidak terhalang untuk melakukan tugas harian seperti bekerja, bersenam atau berkebun.

Bagaimanapun, pesakit mungkin mengalami keletihan semasa menjalani rawatan susulan. Namun, mereka disarankan untuk bekerja mengikut kemampuan dan tidak mengehadkan aktiviti fizikal masing-masing.

Selain itu, kesan sampingan seperti loya dan muntah mungkin terjadi, namun seiring perkembangan teknologi, keadaan tersebut boleh dikurangkan.

Rawatan alternatif

Dalam pada itu, Dr Aqilah menyatakan, seorang itu tidak ada masalah sekiranya mahu menjalani kaedah rawatan tradisional sebagai usaha untuk sembuh daripada penyakit itu.

Namun, mereka perlu peka dengan perkembangan diri mereka sekiranya rawatan berkenaan tidak memberi sebarang kesan atau peningkatan risiko ke atas mereka.

Iklan

Kanser payudara juga mempunyai prognosis (ramalan penyembuhan penyakit) yang baik selepas rawatan manakala kadar kesembuhan adalah lebih tinggi jika dirawat pada peringkat awal.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK

Sebaliknya, pengesanan yang lambat dikhuatiri menyebabkan kanser merebak ke bahagian lain.

Malah katanya, tumor tersebut boleh kembali sekiranya sel kanser yang masih ada dalam badan kembali aktif.  

Selain itu, beliau turut menyatakan prosedur menyuntik payudara didapati tidak mempunyai perkaitan secara saintifik yang boleh mencetus kanser.  

“Namun, sesuatu bendasing yang dimasukkan ke dalam badan boleh menyebabkan keradangan. Sekiranya keradangan itu melibatkan tempoh jangka panjang, ia boleh merubah sel dan bertukar menjadi kanser,” tegasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!