MENURUT Boston Children‘s Hospital, Amerika Syarikat (AS), tumor otak jarang berlaku ke atas kanak-kanak. Berdasarkan nisbah, hanya terjadi ke atas lima daripada setiap 100,000 orang.

“Walaupun tumor otak kanak-kanak boleh menjadi benigna (bukan kanser) atau malignan (kanser), kedua-duanya boleh mengancam nyawa. Namun begitu, kanak-kanak mempunyai prognosis (ramalan tentang penyembuhan sesuatu penyakit) lebih baik daripada orang dewasa,“ kata sumber berkenaan.

Statistik menunjukkan kira-kira 2,200 kanak-kanak dan remaja di AS didiagnosis dengan tumor otak setiap tahun. Pun demikian, golongan itu masih bertahan sehingga dewasa.

“Cuma, mereka akan menghadapi cabaran dari segi fizikal, psikologi, sosial dan intelek,“ ujar Boston Children‘s Hospital.

kanser otak
SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Merujuk laporan American Society of Clinical Oncology, kanser otak merupakan jenis kedua tertinggi (26 peratus) yang dihidapi pesakit cilik. Kanser darah leukimia pula berada di ranking paling atas (28 peratus).

Di Malaysia, difahamkan terdapat kira-kira 3,000 hingga 5,000 untuk kes (melibatkan semua peringkat umur).

Justeru, sempena Hari Tumor Sedunia, SinarPlus membawa pembaca untuk mengenali lebih mendalam tentang penyakit berkenaan.

 

Untuk itu, kami mendapatkan Ketua Unit Neurosurgeri, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Azizi Abu Bakar.

Ketika ditemui, Dr Azizi berkata, punca si kecil menderita penyakit itu masih belum dapat dikenal pasti.

Namun, penyebabnya mungkin boleh dikaitkan dengan persekitaran, gaya hidup dan pemakanan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Bukan penyakit keturunan

Sebagai contoh, pendedahan kepada asap rokok bukan sahaja memberi kesan pada orang dewasa, tetapi juga pada bayi dan kanak-kanak.

Jelas beliau lagi, tiada juga bukti menunjukkan seorang ibu yang merokok boleh menyebabkan otak bayi menjadi kecil, cacat atau mendapat kanser. Pun begitu, semua itu bukan sesuatu yang mustahil.

“Ini kerana janin memperoleh manfaat daripada ibu. Sehubungan itu, tabiat pemakanan atau gaya hidup si ibu secara tidak langsung mempengaruhi anak di dalam kandungan,“ katanya.

Beritahu Dr Azizi lagi, ketumbuhan walaupun kecil semasa bayi dalam kandungan (tiga hingga lima bulan) sebenarnya sudah boleh dikesan melalui teknik ultrabunyi.

Baca juga: Bos perasan sikap pekerjanya berubah. Rupa-rupanya ia salah satu simptom kanser otak

Baca juga: Doktor dedah budak disahkan kanser otak selepas pengsan, mak ayah wajib peka 5 tanda ini

Selain itu, komplikasi seperti proses bersalin terlalu lama atau bayi yang dilahirkan dengan ukur lilit kepala besar juga boleh menjadi petanda kepada kanser otak.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, tiada keterangan nyata bahawa genetik penyumbang kepada tumor otak.

Dalam sesetengah kes, walaupun ibu bapa tiada kanser, si anak masih berisiko mengalaminya,“ katanya.

Secara asasnya, terdapat beberapa jenis tumor dalam kalangan kanak-kanak, kata Cleveland Clinic.

Ia terdiri daripada gliomas, embryonal tumors (seperti medulloblastoma dan medulloepithelioma), Pineal tumors, Craniopharyngiomas, Germ cell tumors, Choroid plexus tumors, schwannomas dan meningiomas.

Namun, kata Dr Azizi, gliomas dan medulloblastoma paling banyak dideritai.

Glioma adalah pertumbuhan sel yang bermula pada otak atau saraf tunjang. Sel dalam glioma kelihatan serupa dengan sel otak yang sihat, namun boleh tumbuh membentuk jisim sel yang dipanggil tumor.

Medulloblastoma pula adalah ketumbuhan yang menekan belakang otak atau bahagian yang dipanggil sebagai cerebellum. Ia boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami mata juling,“ terang beliau.

kanser otak
SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

Umumnya, ia terjadi ke atas kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun dan lelaki yang paling banyak direkodkan sebagai pesakit.

Menyentuh tentang gejala, kongsi Dr Azizi, ia disebabkan oleh tekanan yang meningkat akibat sekatan pengaliran bendalir di dalam otak.

“Akibatnya, kanak-kanak akan sakit kepala sampai peringkat ada yang mengetuk-ngetuk kepala mereka sendiri.

“Sakit yang dialami selalunya melibatkan keseluruhan kepala dengan tahap kesakitan tertinggi pada awal pagi dan akan beransur-ansur hilang secara berperingkat,“ katanya.

Seandainya, tumor berlaku di kawasan cerebellum yang berkaitan dengan keseimbangan tubuh, si kecil akan lemah dan cara berjalannya juga tidak stabil.

Berikut antara simptom-simptom lain yang menunjukkan petanda si kecil mungkin menghidap tumor otak:
i) Mual dan muntah.
ii) Pening ketika bergerak.
iii) Penglihatan akan menjadi kabur
iv) Sawan. Mungkin tak sedarkan diri
v) Mengantuk.

kanser otak
SUMBER Meruyert Gonullu daripada PEXELS.

Ganggu pembelajaran

Ditanya tentang rawatan, Dr Azizi berkata, pembedahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Proses itu bertujuan membuang sebanyak mana sel kanser yang wujud.

Begitu juga kaedah radioterapi dan kemoterapi atau kombinasi semua teknik yang dinyatakan.

Rawatan yang dirancang pula bergantung kepada umur kanak-kanak, saiz, kedudukan dan jenis kanser otak mereka.

Cancer Research UK menambah, pakar perlu melihat konteks lain seperti adakah tumor telah merebak di dalam otak atau saraf tunjang? Betapa cepatnya ia berkembang dan sejauhmana tahap kesihatan amnya?

Jikalau kanser semakin agresif, berulang dan tidak memberi respons kepada rawatan, pesakit berkemungkinan akan cacat. Kematian akan menjemput jika tidak dirawat dengan segera.

Bagaimana dengan kadar kesembuhan? Menjawab pertanyaan itu, Dr Azizi berkata, ia bersandarkan kepada gred dan jenis kanser yang menyerang.

“Selepas rawatan diberikan, penting untuk pesakit membuat pemeriksaan berkala iaitu setiap enam bulan untuk tempoh lima tahun bagi melihat jika ada gejala kanser berulang,“ tambah beliau sambil memberitahu, pesakit yang sudah berada pada tahap teruk, rawatan kebiasaannya tidak lagi diberikan.

Sebaliknya, doktor akan membantu dari segi memberi keselesaan kepada golongan tersebut.

Serentak dengan itu, SinarPlus turut mendapatkan Pakar Perunding Pediatrik Hematologi dan Onkologi, Sunway Medical Center, Dr Yap Tsiao Yi.

Dari sudut pandang Dr Tsiao Yi, kanak-kanak yang dirawat akibat kanser otak selalunya mengalami banyak perubahan termasuk perubahan dari segi fungsi intelek dan motor.
Keabnormalan itu sekali gus boleh mempengaruhi kelancaran pembelajaran mereka.

“Untuk kanak-kanak yang mengalami ketumbuhan jenis benigna, mereka dibenarkan menjalani persekolahan dan aktiviti harian seperti biasa.

Iklan

“Bagaimanapun, untuk kanser jenis malignan yang agresif dan membiak dengan sangat cepat, memerlukan rawatan yang lebih menyeluruh serta intensif,“ ujarnya.

kanser otak
SUMBER Pavel Danilyuk daripada PEXELS.

Sedih untuk diungkapkan, tetapi secara realitinya, mereka barangkali tidak boleh meneruskan sesi persekolahan sementara dalam proses perawatan.

“Ubat yang diambil pesakit akan merendahkan daya tahan badan dan membuatkan mereka tidak sesuai untuk ke sekolah. Justeru, pemantauan ibu bapa amatlah diperlukan.

“Seperkara, kerusi roda atau peralatan bantuan berjalan digalak untuk digunakan jika si kecil mengalami masalah motor yang mana dia tidak boleh berjalan dengan stabil dan mengalami masalah penglihatan,“ katanya yang mengingatkan agar kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser menghindarkan senaman berat, apatah lagi bermain di luar rumah tanpa pengawasan penjaga.

Nasihat itu sering diungkapkan kerana apabila seseorang terjatuh, kejelasan melihat akan terjejas dan boleh mengurangkan keseimbangan badan.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna anak itu tidak boleh bergerak. Mereka hendaklah mengikuti sesi fisioterapi untuk menguatkan semula badan dan mengelak otot daripada mengecut,“ ujarnya.

kanser otak
SUMBER Andrea Piacquadio daripada PEXELS.

Tambah beliau, ubat-ubatan yang dimakan boleh mengganggu kitaran badan. Sehubungan itu, penghidap disyorkan mengambil makanan seimbang yang dimasak sepenuhnya.

“Ia tiada kaitan dengan khasiat makanan, tetapi bagi mengelakkan golongan tersebut terkena jangkitan kuman dan kulat daripada makanan mentah,“ katanya.

Sebelum menutup perbualan, Dr Tsiao Yi ditanya sama ada stres boleh menyumbang kepada tumor otak.

Berikut jawapannya: “Tiada bukti kukuh bahawa tekanan boleh menyebabkan kanser lebih teruk. Tahap ketahanan seorang kanak-kanak terhadap stres adalah berbeza-beza. Nasihat saya, lihat tahap kemampuan anak anda dan bantu mereka menjalani aktiviti seharian dengan baik.“

#kesresponden
Muhammad Aiqal hidap kanser otak tahap 4 sejak berusia 3 tahun

LULUH hati Aini Suhana Ali, 40, apabila permata hatinya, Muhammad Aiqal Zafran Safwan yang masih berusia tiga tahun ketika itu menderita kanser otak.

Segalanya bermula apabila Muhammad Aiqal selalu mengadu sakit kepala.

“Setiap kali waktu malam, dia akan cakap ‘sakit kepala, sakit kepala’. Disebabkan umurnya masih kecil, saya macam tak percaya. Saya fikir, tak kanlah kecil-kecil lagi dah sakit kepala sebegitu teruk,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi menangani masalah tersebut, Aini Suhana membawa anak bongsu daripada empat beradik itu ke klinik.

Iklan

Ubat tahan sakit diberikan. Pun demikian, kesakitan tersebut akan berulang kembali apabila dos ubat berkurangan dalam badan.

Kemuncak kepada situasi buruk Muhammad Aiqal berlaku pada suatu malam yang tidak terduga. Pada saat itu, beliau sudah tidak dapat menahan diri.

kanser otak
SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

“Tanpa berlengah, saya dan suami terus membawanya ke unit kecemasan di sebuah hospital lebih kurang pukul 2.30 pagi. Anak saya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut kerana tekanan darahnya ketika itu terlalu tinggi.

“Diagnosis awal mendapati, terdapat cecair di dalam kepalanya. Susulan itu, satu pembedahan segera perlu dilakukan pada esoknya bagi memasukkan tiub yang menyambung ke salur kencing,“ imbau ibu kepada empat cahaya mata tersebut.

Cerita Aini Suhana lagi, prosedur seterusnya memberi jawapan yang sangat memeranjatkan mereka sekeluarga. Muhammad Aiqal disahkan menderita kanser otak tahap 4!

“Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan perasan saya ketika itu. Bayangkan, dia masih kecil. Namun, saya reda dengan ketentuan-NYA. Seperti yang disarankan oleh doktor, anak kesayangan saya diminta menjalani pembedahan membuang sel kanser medulloblastoma,“ ujarnya.

Masih belum mengenal apa itu dunia, Muhammad Aiqal merentas satu episod yang menyedihkan.

Beliau perlu menjalani 10 kali rawatan kimoterapi dan 30 kali radioterapi bagi membunuh sel kanser yang masih tersisa.

Pada masa sama, disebabkan beberapa siri pembedahan yang wajib diikuti, menyebabkan tempurung di bahagian belakang kepala si comel itu terpaksa dibuang.

“Alhamdulillah, setelah selesai semua proses rawatan tersebut, doktor mengesahkan anak saya telah sembuh,“ katanya yang juga Pengerusi Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Terengganu.

Kini, Muhammad Aiqal sudah berusia sembilan tahun. Kanak-kanak itu secara lahiriahnya boleh menjalani kehidupan rakan sebayanya, namun ujar Aini Suhana, pengawasan yang jitu perlu dilakukan.

“Sebagai seorang pesakit survival kanser, anak saya mengalami sedikit kelewatan dari segi pembelajaran. Hal itu sedari awal sudah dimaklumkan oleh pakar. Apa pun saya bersyukur dengan takdir yang sudah tersurat. Saya akan terus menjaganya dengan baik,“ katanya yang telah mengambil inisitif menubuhkan Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Terengganu selepas itu bagi membantu ibu bapa lain yang turut mempunyai anak penghidap kanser.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.