SEKIRANYA anda sudah berada dalam lingkungan usia lewat 20-an, sudah tiba masanya anda pertimbangkan untuk melakukan ujian saringan kesihatan.

SinarPlus percaya dalam usia sebegini sedang dalam kesibukan bekerja, belajar dan melakukan aktiviti rutin harian, kita cenderung terlupa untuk melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

Justeru, untuk memelihara kualiti kesihatan yang baik, apakah ujian saringan kesihatan yang boleh anda lakukan?

Menerusi perkongsian Hellodoktor, terdapat banyak ujian perubatan yang disyorkan untuk dilakukan pada usia awal 30-an.

Ujian saringan kesihatan ini biasanya merangkumi segalanya daripada tekanan darah sehingga pemeriksaan pergigian.

1. Pemeriksaan tekanan darah dan kolesterol

Kesihatan jantung amatlah penting dan usia 30-an adalah masa yang tepat untuk kita memastikan sistem kardiovaskular berada dalam keadaan baik.

Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan agar semua orang dewasa berusia lebih daripada 20 tahun memeriksa tekanan darah mereka setiap 2 tahun dan tahap kolesterol setiap 4 sehingga 6 tahun.

2. Pemeriksaan kulit

Ahli dermatologi mengesyorkan agar setiap orang menjalani pemeriksaan kanser kulit tahunan bermula pada usia 18 tahun.

Kebanyakan individu menunggu sehingga mereka berusia lebih tua untuk mendapatkan pemeriksaan kanser kulit, tetapi barah ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.

Ini kerana melanoma adalah barah kedua yang paling kerap didiagnosis dalam lingkungan usia 15 sehingga 19 tahun dan merupakan kanser yang paling kerap berlaku kepada pesakit berusia 25 sehingga 29 tahun.

Dengan melakukan diagnosis awal, ia mampu membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik dan bekas luka yang lebih mudah dihilangkan.

Artikel berkaitan: PKPB: Kawal tekanan darah tinggi di rumah, elak serangan sakit jantung, strok mendadak

3. Pemeriksaan HIV dan STI

Centers for Disease Control and Prevention mengesyorkan agar semua individu yang aktif secara seksual antara usia 13 sehingga 64 tahun harus diuji dengan ujian HIV sekurang-kurangnya sekali setahun tanpa mengira faktor risiko.

Bagi individu yang mempunyai aktiviti seksual berisiko lebih tinggi pula, mereka disyorkan untuk melakukan ujian setiap 3 sehingga 6 tahun.

Sekiranya anda aktif secara seksual dengan sering bertukar-tukar pasangan, dinasihatkan juga untuk melakukan ujian jangkitan kelamin seperti klamidia dan gonorhea setiap tahun, terutama bagi para wanita di bawah usia 25 tahun.

Jika dibiarkan, klamidia dan gonorhea yang tidak dirawat dapat merebak ke bahagian pelvis dan menjangkiti rahim, tiub fallopio, dan ovari, yang mampu menyebabkan kemandulan.

4. Pemeriksaan kanser kolorektal

Pemeriksaan kolorektal mampu menjadi pengalaman yang agak kurang menyelesakan bagi segelintir individu.

Walau bagaimanapun, kolonoskopi boleh menjadi ujian yang sangat penting untuk dilakukan oleh lelaki dan wanita kerana para doktor akan merujuk pemeriksaan ini sebagai pengesanan awal kanser usus.

Antara faktor risiko termasuk sejarah keluarga yang mempunyai kanser kolon, masalah kronik seperti sindrom iritasi usus (IBS), atau tabiat merokok.

5. Ujian pelvis (untuk wanita)

Bertemu pakar sakit puan adalah penting untuk kesihatan seseorang wanita, terutama pada usia remaja dan awal dewasa.

Untuk mengekalkan kehidupan yang sihat, amat penting bagi wanita berusia 21 tahun ke atas untuk menjalani ujian pelvis dan pap smear setiap 3 tahun untuk mengesan kehadiran kanser.

Tidak kira sejarah seksual, wanita berusia 21 tahun ke atas harus menjalani pap smear setiap 3 tahun. Ia membantu dalam mencari tanda-tanda kanser serviks.

Iklan

Di samping itu, para wanita turut harus melakukan pemeriksaan kanser payudara dengan menjalani pemeriksaan klinikal dan pemeriksaan mamogram.

Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap barah payudara, doktor akan memeriksa untuk mengetahui sama ada anda berisiko untuk menghidap jenis barah yang lebih berbahaya berkaitan dengan gen tertentu (BRCA1 atau BRCA 2).

6. Pemeriksaan mata

Walaupun anda masih muda dan tidak mempunyai faktor risiko penyakit mata, namun anda perlu menjalani pemeriksaan mata.

Persatuan Optometri Amerika mengesyorkan untuk melakukan pemeriksaan mata dan penglihatan yang komprehensif setiap 2 tahun sekali antara usia 18 dan 39 tahun.

Sekiranya anda belum pernah melakukannya, usia 30-an adalah masa yang tepat untuk membuat janji temu dengan pakar oftalmologi atau pakar mata.

Iklan

Mata juga boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan di bahagian lain badan anda.

Pemeriksaan ini juga mampu mengenal pasti masalah kesihatan lain yang tidak berkaitan dengan mata seperti diabetes, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, atau kanser.

7. Pembersihan gigi

Senyuman menawan dilengkapi dengan susunan gigi dan kesihatan mulut yang baik. Jadi, cara terbaik untuk mengekalkannya adalah melalui lawatan ke klinik gigi secara konsisten.

Persatuan Pergigian Amerika mengesyorkan agar orang dewasa menjalani ujian sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Tambahan itu, pemeriksaan gigi pada usia 30-an adalah sangat penting kerana doktor gigi akan dapat mengenal pasti sebarang kerosakan atau penyakit gusi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan mulut yang teruk pada kemudian hari.

Semakin meningkat usia kita, semakin banyak perhatian yang harus ditumpukan terhadap kesihatan.

Dengan melakukan ujian saringan kesihatan secara konsisten dan berkala, sebarang komplikasi kesihatan yang serius pasti akan dapat ditangani dengan lebih baik.

Mencegah lebih baik daripada mengubati, sudah tiba masanya kita menjadi lebih proaktif untuk mengambil cakna dan menjaga kesihatan demi kesejahteraan hidup pada masa hadapan.