SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA

PADA Oktober tahun lalu, dunia dikejutkan dengan kemangkatan putera Sultan Brunei, Pengiran Muda Haji Abdul Azim yang sememangnya dikenali sebagai individu yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan sentiasa membantu golongan memerlukan.

Pelbagai soalan bertebaran melalui media sosial terhadap punca kemangkatannya.

Namun, beberapa hari selepas itu, Pengiran Muda Abdul Mateen telah memuat naik status menerusi Instagram mendedahkan punca sebenar pemergiaan kekandanya yang disebabkan oleh penyakit vaskulitis sistemik yang berkaitan dengan masalah autoimun.

Bagi memperincikan lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Reumatik dan Sakit Kronik, Pusat Pakar Perubatan Sendi Urat dan Tulang, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad.

Dr Anwar.

Memberi definisi ringkas, vaskulitis adalah penyakit saluran darah yang akan mengganggu peranan (darah) membekalkan oksigen kepada semua organ tubuh badan.

Dr Anwar Samhari menjelaskan, terdapat banyak jenis vaskulitis dan kebanyakannya jarang berlaku dalam kalangan manusia.

Di Malaysia, ia hanya melibatkan kira-kira 0.5 peratus penghidap.

“Vaskulitis bertindak seakan-akan barah kerana ia mungkin hanya mempengaruhi satu organ atau melibatkan beberapa organ lain yang mana boleh menjadi akut atau kronik. Terdapat juga sesetengah kes yang mana penyakit vaskulitis bermula apabila seseorang menghidap kanser darah,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Implikasi luar biasa

Dr Anwar Samhari meneruskan penjelasannya. Ujar beliau, vaskulitis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Antaranya jangkitan kuman, ubat-ubatan, kanser, penyakit darah atau penyakit autoimun seperti sistemik lupus eritematosus.

“Apabila seseorang mendapat vaskulitis, sistem imun badan mereka akan bercelaru dan akhirnya boleh membawa kepada kematian jika tidak mendapat rawatan awal. Bagi sesetengah kes, puncanya masih tidak dapat dikesan sehingga kini,” katanya.

Secara asasnya, Dr Anwar Samhari berkata, vaskulitis boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:

i) Kecacatan besar pada pembuluh darah.

ii) Kecacatan sederhana pada pembuluh darah.

iii) Kecacatan kecil pada pembuluh darah.

“Biasanya, kecacatan besar pada pembuluh darah akan mudah menyerang kanak-kanak iaitu antara umur lima hingga 10 tahun.

“Sebaliknya, kecacatan sederhana pada pembuluh darah pula akan menyerang mereka yang lebih berusia iaitu antara 50 ke 60 tahun. Kecacatan kecil pula akan menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur,” katanya.

Apakah simptom-simptom kepada penyakit tersebut?

Beritahu Dr Anwar Samhari, ia mirip dengan kanser darah seperti limfoma atau leukemia iaitu seseorang akan hilang selera makan dan berat badan turun dengan sangat drastik.

“Perlu saya tegaskan, simptom-simptomnya sama antara kanser darah dan vaskulitis, tetapi penyakitnya tidak serupa,” ujarnya.

Lazimnya, untuk mendiagnosis vaskulitis, pakar terlebih dahulu akan bertanya mengenai sejarah perubatan pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Sekiranya disyaki vaskulitis, pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani beberapa ujian lanjut seperti:

i) Ujian darah dilakukan untuk mengenal pasti kemungkinan berlaku keradangan.

ii) Ujian air kencing dapat memberikan maklumat mengenai sama ada air kencing mengandungi sel darah merah atau terlalu tinggi protein.

iii) Ujian pengimejan seperti ultrasound, sinar-X, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), imbasan tomografi pelepasan positron (PET Scan) dan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dapat membantu doktor menentukan saluran darah atau organ mana yang terkena vaskulitis dan juga untuk menentukan tindak balas pesakit terhadap rawatan.

iv) Angiografi iaitu melibatkan prosedur supaya doktor dapat melihat keadaan dinding saluran darah.

v) Biopsi iaitu satu prosedur pakar akan mengambil sampel tisu dari bahagian tubuh yang dijangkiti untuk memeriksa tanda-tanda vaskulitis.

Memperincikan mengenai rawatan penyakit yang jarang dihidapi penduduk di dunia itu adalah, Dr Anwar Samhari memberitahu, ia biasanya bergantung kepada tahap penyakit dan organ-organ yang terlibat.

Artikel berkaitan: ‘Berat badan saya turun 10kg dalam jangka masa seminggu lebih saja’ 

“Rawatan diperlukan untuk mengurangkan keradangan dan mengawal sistem imun yang menyebabkan vaskulitis yang merangkumi pemberian kortikosteroid seperti prednison atau metilprednisolon.

“Pada masa sama, perlu diingatkan bahawa penggunaan jangka panjang ubat berkenaan boleh menyebabkan pesakit mendapat kesan sampingan lain seperti diabetes dan osteoporosis.

“Oleh yang demikian, pakar akan memberikan dos yang terkawal jika pesakit perlu mengambil kortikosteroid dalam jangka masa panjang,” terang Dr Anwar Samhari.

Selain kortikosteroid, terdapat juga ubat lain yang berfungsi untuk ‘menekan’ tindak balas sistem imun yang mencetuskan kerosakan pada saluran darah seperti siklofosfamid atau azatioprin.

Bukan itu sahaja, terapi biologi dengan rituximab juga boleh diberikan kepada individu yang menderita penyakit itu.

Kepada SinarPlus, pakar perubatan itu memberitahu, berdasarkan beberapa kes, vaskulitis boleh menyebabkan aneurisma atau keradangan pada saluran darah, selain dapat membuatkan arteri seseorang menjadi sempit sehingga menyekat aliran darah.

“Jika pesakit berdepan dengan dua keadaan itu, ia memerlukan pembedahan,” ujarnya.

Memang tidak dapat disangkal, mereka yang ditakdirkan menghidap vaskulitis sangat menderita sepanjang hayatnya.

“Selain berpotensi menyerang kerosakan organ utama seperti gangguan fungsi jantung dan otak, pesakit juga akan mengalami kebutaan dan kehilangan penglihatan akibat penyakit vaskulitis.

“Jika keadaan lebih serius, ia boleh mengancam nyawa akibat berlakunya keradangan paru-paru dan kegagalan buah pinggang,” katanya.

Pun demikian, Dr Anwar Samhari, hingga Februari tahun ini, Malaysia berjaya menawarkan rawatan yang berkesan bagi penyakit vaskulitis.

“Diharapkan, sedikit masa lagi iaitu antara satu atau dua dekad lagi, kita bakal menemui jalan penyelesaian kepada punca penyakit berkenaan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, terdapat satu kumpulan vaskulitis yang dikenali sebagai vaskulitis sistemik utama atau primary systemic vasculitis yang biasanya lebih serius dan boleh melibatkan pelbagai organ seperti kulit, buah pinggang, paru-paru, usus dan otak serta boleh menghasilkan pelbagai gejala bergantung kepada organ yang terlibat.

Dr Zubaidi.

Ujar Dr Zubaidi, masalah kulit pada kaki atau tangan lazimnya merupakan tanda pertama penyakit vaskulitis berlaku.

“Kulit akan naik ruam merah yang tidak akan hilang apabila ditekan atau ruam seperti lebam pada kulit. Kadangkala, kesakitannya dirasakan pada tahap optimum,” katanya.

Selain itu, sekiranya saluran darah bersaiz sederhana yang terlibat, keadaan itu akan menyebabkan ulser kulit atau ruam bengkak yang besar terjadi.

Berikut adalah beberapa gejala vaskulitis yang dikenal pasti berkaitan jika berlaku gangguan aliran darah ke seluruh tubuh badan:

i. Demam.

ii. Loya.

iii. Muntah.

Iklan

iv. Sakit sendi dan otot.

v. Kebas tangan atau kaki.

vi. Sesak nafas.

vii. Kencing berdarah.

viii. Sakit perut.

x) Najis berdarah.

Oleh itu, tegas Dr Zubaidi, jika seseorang sudah menunjukkan gejala awal penyakit berkenaan, segera dapatkan rawatan awal kerana pesakit yang didiagnos awal mampu sembuh sepenuhnya.

“Jangan ambil mudah, penyakit vaskulitis juga antara penyakit yang berbahaya kerana mampu mengganggu fungsi organ dalaman tubuh badan pesakit,” katanya.

ANEKDOT

PUNCA sebenar vaskulitis masih belum dapat dipastikan lagi secara terperinci, namuan ia mungkin berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya:

i) Jangkitan seperti hepatitis B dan hepatitis C.

ii) Keluarga yang mempunyai sejarah kanser darah.

iii) Penyakit sistem imun seperti rheumatoid arthritis, lupus dan scleroderma.

iv) Reaksi terhadap ubat-ubatan yang diambil.

Sumber: Public Health Malaysia

Iklan

JENIS-JENIS vaskulistis:

Menurut portal perubatan aladokter.com, terdapat jenis vaskulitis bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan menyeluruh.

Namun, terdapat vaskulitis yang mendatangkan implikasi yang mendatangkan dampak yang buruk kepada kesihatan yang berlangsung dalam jangka masa pendek atau panjang. Antaranya:

i) Giant cell arteritis: Sakit pada kepala, kulit kepala, rahang dan gangguan penglihatan sehingga boleh menyebabkan kebutaan akibat pembengkakan pembuluh darah arteri pada kepala.

ii) Arteritis takayasu: Sakit sendi, hilang nafsu makan, demam, tekanan darah tinggi, berpeluh pada malam hari, gangguan penglihatan, denyut nadi lemah dan sakit kepala.

iii) Cryoglobulinemia: Ruam, sakit sendi, berasa lemas, kebas dan kesemutan kerana terdapat protein yang tidak normal di dalam aliran darah.

iv) Granulomatosis wegener: Hidung tersumbat dan berdarah, infeksi sinus dan batuk darah.

v) Henoch-Schonlein purpura: Sakit perut, darah pada urin, sakit sendi, dan ruam pada punggung atau kaki bahagian bawah akibat pembengkakan pembuluh darah kapilari pada di kulit, sendi, usus dan ginjal.

vi) Penyakit Buerger: Sakit pada bahagian tangan dan kaki akibat peradangan dan bekuan darah pada pembuluh darah di kawasan tersebut.

vii) Penyakit Kawasaki: Demam, ruam dan ruam pada mata.

viii) Poliangiitis mikroskopik: Sakit perut, ruam, demam, sakit otot dan berat badan turun.

vii) Poliarteritis nodosa: Ruam, sakit pada otot dan sendi, lelah, sakit perut setelah makan, tekanan darah tinggi dan gangguan ginjal.

viii) Sindrom Behcet: Radang pada mata, ulser pada mulut dan kelamin serta luka  mirip jerawat pada kulit akibat peradangan pada pembuluh darah arteri dan vena.

ix) Sindrom Churg-Strauss: Sakit pada saraf, perubahan warna kulit, dan gejala seperti asma dan rinitis alergi. Kondisi tersebut jarang terjadi.

x) Vaskulitis hipersensitif: Bintik merah pada kulit, biasanya muncul pada anggota bahagian bawah.