Dihukum 10 tahun penjara, 3 sebatan, Da'i Syed & isteri mohon doa. 'Mata ini menangis, hati ini bersedih namun...'
BERITA pendakwah selebriti, Da'i Syed dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana menodai seorang wanita tular di laman sosial.
Menerusi Instagram isterinya, pengacara Hana Ismail, pasangan berkenaan sempat berkongsi luahan atas apa yang tersurat dan menitipkan syukur atas segala kurniaan kepada keluarga.
"Mata ini menangis dan hati ini bersedih namun kami hanya akan menuturkan apa yang diredai Tuhan kami.' (Muhammad SAW)
"Alhamdulillah untuk segala nikmat yang telah diberikan buat keluarga kecil kami," kongsinya.
Dalam hantaran Insta Story yang sama, mereka juga sempat meminta titipan doa daripada warga maya.
"Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, saya dengan rendah diri ingin memohon doa dan kebaikan daripada kalian.Jazakumullahu khairan.
"Salam sayang daripada Baba Nour, Umm Nour dan Lil Nour," kongsinya.
Da'i Syed akan menjalani hukuman berkenaan bermula hari ini.
Terdahulu, pendakwah yang dicungkil menerusi program realiti agama, Da'i Pendakwah Nusantara musim keempat pada 2016 itu dijatuhkan hukuman di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas Hakim Norazlin Othman mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.
Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan pendakwah itu atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, daripada tuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, jam 1.35 malam pada 11 September 2019.
Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen terdahulu melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Selain kes ini, dia yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnye.
Sekadar info, Hana dan Dai Syed yang berbeza usia sembilan tahun mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos lalu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang