Rai 50 tahun hubungan diplomatik China-Malaysia, nantikan jelajah konsert HKETO Jakarta di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
PEJABAT Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Jakarta (HKETO Jakarta) mengambil inisiatif dalam menyemarakkan lagi sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara China-Malaysia.
Sejajar dengan itu, satu festival seni dan kebudayaan Hong Kong bersama tiga kumpulan okestra terkemuka republik itu bakal menemui penonton lokal!
Mereka ialah Orkestra Cina Hong Kong (HKCO), Syarikat Tarian Hong Kong dan Asian Youth Orchestra.
Ketua Pengarah HKETO Jakarta, Libera Cheng berkata, Hong Kong yang kian membangun kini menjadi pusat pertemuan Timur-Barat untuk pertukaran budaya antarabangsa.
“Dengan peningkatan peruntukan tahunan kepada $70 juta (RM40 juta) untuk pertukaran budaya seperti yang diumumkan pada tahun lepas, lebih banyak kumpulan seni akan disokong untuk membuat persembahan di luar Hong Kong.
“Ia bertujuan untuk mempromosikan pembangunan industri budaya dan kreatif sekali gus mengeratkan lagi hubungan dengan negara anggota ASEAN seperti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Resepsi Jelajah Malaysia: Orkestra China Hong Kong di Dewan Filharmonik Petronas Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao bersama wakil kanan sektor perniagaan dan akademik tempatan.
Pada masa sama, HKETO Jakarta juga bekerjasama rapat dengan Agensi Pembangunan Industri Budaya dan Kreatif demi menggalakkan pemain industri tempatan supaya memanfaatkan pelbagai acara mega untuk beraksi ke peringkat global.
HKCO yang sudah mempersembahkan sebuah konsert di Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu itu membuat penampilan kedua di Pulau Pinang.
Tahun ini, turut menyaksikan penyertaan pertama Syarikat Tarian Hong Kong dalam Festival George Town (GTF) yang menyampaikan dua persembahan di Pulau Pinang.
Terdahulu, HKETO Jakarta turut menghadiri majlis perasmian GTF bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai dan delegasi diplomatik pelbagai negara ke Malaysia.
Sementara itu, Asian Youth Orchestra dijangka akan menganjurkan konsert di Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini sebagai sebahagian daripada jelajah Asia seterusnya menampilkan comeback ke Malaysia selepas 13 tahun.
HKETO Jakarta akan terus menganjurkan satu siri acara di Malaysia dan negara lain merangkumi pelbagai elemen seni dan budaya untuk memupuk hubungan yang lebih erat antara Hong Kong serta negara anggota ASEAN.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang