Rita Rudaini berjanji dengan anak-anak tidak akan kahwin lagi. 'Saya korbankan diri untuk tengok Ryan & Arjuna membesar depan mata'
RITA Rudaini sering menjadi lambang ibu tunggal yang tabah. 15 tahun bersendirian membesar dua permata hati, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, selebriti berusia 48 tahun itu menyatakan pendirian untuk tidak berkahwin lagi demi anak-anak.
Berkongsi menerusi audio siar portal berita tempatan, Rita mengakui berasa pelik apabila warga maya merasakan anak-anaknya kurang mendapat kasih sayang susulan ketiadaaan figura seorang bapa.
“Kalau Tuhan suatu hari nanti hantar hadiah (jodoh), saya terima cuma buat masa sekarang hidup saya sudah cukup lengkap ada dua orang anak.
“Saya tidak faham kenapa orang nak kasihan hidup anak saya tak lengkap walhal anak saya tidak berbunyi pun.
"Hendak kata kurang kasih sayang, buat perangai tidak pula. Orang sahaja yang melebih,” katanya
Kata finalis Dewi Remaja 98/99 itu juga beliau pernah berjanji dengan Rayyan dan Arjuna untuk tidak berkahwin demi memberi fokus sepenuhnya untuk membesarkan mereka.
“Bagi saya Alhamdulilah, anak OK dan faham. Saya pernah cakap dengan anak yang saya korbankan diri yang mana saya tak akan berkahwin sebab nak tengok Ryan dan Arjuna membesar depan mata dengan elok.
"Hendak bagi 100 peratus hidup saya kepada mereka. Kalau orang tanya tak sunyi ke? Tak sunyi pun sebab kat rumah pun ada tujuh ekor kucing. Saya lebih bahagia dapat besarkan anak-anak sendiri tanpa ada gangguan mental,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Rita juga berkongsi tip mendidik anak yang diambil daripada ibu bapa dahulu kala.
"Walaupun hidup pada tahun 2024, jiwa saya zaman dahulu kala. Saya jenis ibu yang jegil mata dan cubit kalau (anak salah) duduk sebelah. Setiap hari akan pesan perkara yang sama sebagai peringatan.
"Kita sudah melalui pelbagai zaman dan melakukan kesilapan. Sudah tentu saya tidak mahu anak mengulangi perkara yang sama.
"Saya bukan tidak sporting tetapi ada tempatnya. Bab adab dan pelajaran saya akan sedikit 'menyinga' demi kebaikan mereka juga. Saya juga berpesan jaga air muka mommy," katanya yang pernah dinobatkan Anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
Membesarkan dua anak lelaki tanpa sosok seorang bapa membuatkan pelakon Mami Jarum The Movie ini banyak menggali ilmu sendiri.
"Saya banyak membaca dan mendengar daripada ustaz-ustaz tentang cara didikan, cara menegur.
"Misalnya untuk mengejutkan mereka daripada tidur, sentuh pada bahagian kaki dan usap.
"Memang menjadi kerana anak-anak lembut hati dan mudah mendengar cakap," kongsi Rita.
Sekadar info Rayyan dan Arjuna adalah anak daripada perkongsian hidup Rita dengan bintang bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak .
Mereka berkahwin pada 2008, namun bercerai talak satu pada September 2013.
Sumber: YouTube Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang