Adriana Ghafar sokong anak muda kejar kekayaan dengan menjadi influencer. 'Duit penting, ilmu kena diutamakan untuk kekal lama'
TINGGI lampai orangnya dan tidak lokek dengan senyuman. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya, Adriana Ghafar yang kini sedang mengikuti latihan guaman selama sembilan bulan dan bakal tamat Ogos ini dipilih sebagai penghias muka hadapan SinarPlus kali ini.
Bagi yang mengenali empunya diri, pasti tahu penglibatan awal beliau dalam program realiti Dewi Remaja tahun 2019 dan bergelar naib juara, seangkatan dengan pelakon, Shaza Bae yang bergelar juara ketika itu.
Usai tamat program tersebut, beliau memilih untuk ‘hilang seketika' bagi memberi fokus dalam menamatkan pengajian biarpun banyak tawaran yang diterima dalam dunia seni.
“Saya anggap pendidikan lebih penting waktu itu dan mahu bila keluar dari universiti, saya boleh ada impian yang lebih besar. Bukan sekadar menjadi anak seni biasa semata-mata, sebaliknya mahu jadi change maker dalam masyarakat.
“Kalau diimbas kembali, memang sejak kecil sudah menjadi impian saya untuk mencuba bidang yang memerlukan saya berada di depan kamera, tidak kira lah sama ada menjadi model, pengacara dan sebagainya,” ungkap beliau tatkala ditemu bual penulis menerusi alam maya.
Tatkala berkongsi perkembangan terbaharunya, gadis manis berusia 26 tahun itu mendedahkan sisi peribadinya yang ramai tidak tahu.
Rupa-rupanya anak sulung daripada empat beradik itu meminati bidang yang jarang dipilih anak muda iaitu penulisan puisi.
Kata pemilik nama sebenar, Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, minat mendalam terhadap penghasilan buku berbentuk puisi yang dianggapnya sebagai karya yang cukup luas dan punya maksud yang mendalam.
Mewarisi darah atuknya yang turut aktif dalam bidang sama, membuatkan dirinya semakin berkobar-kobar untuk meluaskan lagi bidang tersebut kepada masyarakat.
“Sejak di bangku sekolah lagi, sudah timbul minat tersebut, biasanya saya akan menulis apa sahaja yang dilihat disekeliling. Segala-galanya diluahkan dalam bentuk puisi. Kebetulan, saya berkongsi minat yang sama dengan atuk yang suka menulis tidak kira di mana dia berada. Baik di hospital, tepi jalan, warung dan sebagainya.
“Waktu itu, saya berimpian mungkin satu hari nanti boleh hasilkan kompilasi puisi tersebut dalam bentuk buku. Alhamdulillah, impian itu sudah menjadi kenyataan kini,”ujar Adriana yang baharu melancarkan koleksi puisi sulung Everything In Between, yang diadakan di The Grey Box, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kesaksamaan jantina
Visi Adriana untuk mendemokrasikan puisi menjadi tema utama.
“Pada saya, puisi bukan milik golongan elit atau ahli akademik semata-mata, ia boleh dinikmati oleh semua orang. Karya yang saya hasilkan ini dekat dengan semua lapisan masyarakat, berupaya menyentuh hati, dan mengingatkan bahawa kisah mereka adalah bermakna dan emosi di sebaliknya perlu dikongsi,” jelas beliau.
Bercerita lebih lanjut lagi, beliau memilih menggabungkan puisi bahasa Melayu dan Inggeris yang digarap dalam tempoh 12 tahun itu dengan menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan.
Bahkan, karya yang mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.
“Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi yang saya hasilkan ini juga mengangkat tema kesaksamaan jantina dan pendayaupayaan wanita.
“Sejak dahulu lagi, saya sentiasa yakin dengan kuasa perkataan untuk menyembuh, menginspirasi dan menyatukan kita.
“Koleksi ini mencerminkan perjalanan peribadi hidup saya yang bukannya indah dan bahagia sepanjang masa, tetapi juga dipenuhi liku-liku dan cabaran,” kata Adriana yang menganggap buku kompilasi tersebut ibarat diari kehidupannya.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan kolaboratif bersama Women Of Will (WOW), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan inisiatif pemerkasaan usahawan wanita dalam komuniti berpendapatan rendah.
Dalam kerjasama tersebut, Adriana memberikan sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada WOW sebagai tanda komitmen beliau dalam kerjasama tersebut.
“Saya berharap buku saya menyalakan semangat orang ramai terutamanya dalam kalangan golongan terpinggir, untuk menjadikan puisi sebagai wadah penzahiran diri, mencari suara mereka, memperkasakan diri dan berkongsi pengalaman,” tambah Adriana sebelum menutup cerita mengenai buku terbaharunya itu.
Menjawab satu soalan berkenaan isu anak muda sekarang yang memilih untuk menjadi kaya dan glamor berbanding meneruskan pengajian, kata Adriana, itu pilihan masing-masing dan tidak salah andai mahu berbuat demikian.
“Pada saya, tidak salah andai punya matlamat untuk hidup selesa dengan bergelar pempengaruh atau influencer supaya boleh buat duit banyak-banyak berbanding kerja profesional lain. Namun kena tahu, jika tiada ilmu, maka cara tersebut takkan kekal lama.
“Sebab itu kena ikut cara yang betul, walaupun duit penting tetapi ilmu kena utamakan. Dalam hidup ini, bukan semata-mata untuk buat duit, kena seimbangkan antara pendidikan jika mahu jadi infleuncer yang berwawasan. Pada saya, semua orang boleh jadi kaya, namun untuk mengekalkan kekayaan tersebut bukan sesuatu yang mudah jika tiada ilmu,” tegas si gadis berketinggian 170 sentimeter itu lagi.
Meminati lakonan pelakon terkenal, Angelina Jolie, beliau yang sebelum itu pernah berlakon dalam drama bersiri Kisah Cinta Kita tidak menolak andai ada tawaran dalam bidang tersebut.
“Walaupun saya suka mencuba semua bidang, bukan bermakna mahu glamor atau mengejar populariti. Asalkan ada orang sedar dan tahu kewujudan saya dalam industri ini sudah memadai.
“Justeru, jika rakan artis lain memilih untuk menghasilkan konten yang ke arah kontroversi demi dikenali, saya sebaliknya. Biarlah orang kenal daripada sudut positif yang memberi impak baik pada masyarakat.
“Pada saya, nak jadi anak seni perlukan kesabaran yang tinggi dan memakan masa, yang penting untuk dikenali biarlah ia slowly but surely,” ujar Adriana yang teringin memegang watak berat yang berkisar kepada kuasa wanita jika diberikan peluang kelak.
Amal salad tip fitPenulis turut mengorek rahsia beliau tetap kekal maintain berat 48 kilogram, akui tuan punya badan, sejak dahulu lagi dirinya suka mengamalkan makan salad.
“Memang tiada sebarang rahsia dalam menjaga penampilan. Selain suka makan salad, saya juga mengamalkan senaman, hiking dan berenang,” ujarnya lagi.
Ditebak persoalan mengenai segelintir selebriti yang lebih suka bersandarkan rupa paras untuk dikenali, jujur Adriana bersetuju tentang itu.
“Siapa yang tak suka cantik, kan? Saya pun suka lihat benda-benda yang cantik. Cuma untuk kekal lama bukan rupa paras saja penting, sebaliknya kena seiring dengan bakat, usaha dan konsistensi.
“Pengikut yang ramai di media sosial juga tidak menjamin kedudukan kita lama di persada seni. Sebab itu, apa jua yang kita lakukan kena bijak dan punya perancangan yang baik,” ungkap Adriana yang merupakan bekas pembaca berita di Berita 757 yang disiarkan oleh saluran Awesome TV.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang