Alhamdulillah! Anak Sharifah Shahirah cemerlang Bahasa Inggeris, lulus SPM. 'Zaman dulu, toleh kepala sikit...'

No Image Caption
A
A
A

REZEKI awal pagi bagi pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah apabila anak perempuannya, Airra Zulkifly berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Menerusi hantaran di Instagram, penyampai radio Sinar FM itu berkongsi bahawa puterinya berjaya melepasi semua subjek wajib lulus dengan baik tanpa sebarang kegagalan.

Lebih membanggakan, Airra yang mengikuti aliran sains ketika di Tingkatan Lima turut lulus dalam mata pelajaran Kimia walaupun sering dianggap mencabar oleh kebanyakan pelajar. Manakala, bagi Matematik pula adalah kredit.

"Tahniah kerana tiada subjek yang gagal, cikgunya pula bersyukur subjek Kimia lepas," katanya.

Pemilik nama Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar itu turut berkongsi pandangannya mengenai perbezaan zaman dengan menyatakan bahawa anak keduanya itu cukup bertuah kerana menerima layanan yang baik daripada para guru.

Situasinya jauh berbeza ketika zaman persekolahannya dahulu, yang mana guru-guru lebih tegas dalam memberi teguran walaupun hanya melakukan kesilapan kecil.

Artikel Berkaitan:

"Tahu tak, cikgu sekarang perlu bersikap lemah lembut ketika menyuruh pelajar belajar, tetapi zaman dulu, baru pusing kepala sedikit saja, sudah kena marah," kongsinya.

Lebih mencuit hati, Sharifah Shahirah yang mesra dipanggil Shiera hadir ke SMK Taman Melawati tanpa ditemani anak perempuannya, kerana Airra dikatakan dalam perjalanan ke Langkawi.

Mengakui bahawa anak perempuannya sudah menyemak keputusan lebih awal, ibu kepada empat cahaya mata itu tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah sebagai tanda sokongan kepada pelajar lain.

"Saya datang ke sekolah anak saya untuk ambil keputusan SPM, tapi anak saya tak ada kerana dia kena naik kapal terbang ke Langkawi hari ini.

"Saya tetap datang sebab saya nak tengok dengan mata sendiri. Sekarang ini, yang dapat 9A sedang naik pentas. Kami semua seronok, dan sebak melihat pencapaian mereka," katanya.

Untuk makluman, Airra merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik hasil perkahwinan Sharifah Shahirah bersama pelakon Ijoy Azhari.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang