Bekas editor hiburan Rosli Manah meninggal dunia
BEKAS editor dan wartawan majalah hiburan, Rosli Manah, 56, meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat komplikasi diabetes pada jam 12.59 tengah hari tadi.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut menitipkan ucapan duka atas pemergian Allahyarham.
"Takziah kepada keluarga bekas editor hiburan, Rosli Manah yang meninggal dunia tengah hari tadi.
"Allahyarham banyak berjasa dalam usaha memartabatkan industri hiburan tanah air selama hampir 30 tahun.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," kongsinya di Facebook.
Memetik Awani, Rosli yang mesra disapa Che Li dimasukkan ke Hospital Kajang beberapa hari sebelum sambutan Aidiladha untuk mendapatkan rawatan kencing manis sebelum keadaannya merosot akibat penyakit tuberkulosis.
Susulan itu, Allahyarham dimasukkan ke wad pengasingan untuk menjalani pemantauan rapi dan rawatan lanjut bagi penyakit tibi dan kencing manis.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Asmah Ghani, 58 dan tiga orang cahaya mata lelaki berusia 20 hingga 29 tahun.
Asmah berkata, dia dan anak-anak reda menerima pemergian Rosli memandangkan arwah telah lama sakit.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia kewartawanan, Allahyarham pernah ditugaskan di meja mahkamah dan hiburan sebelum mengetuai majalah hiburan tersohor, URTV selaku editor pada era 2000-an.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

