Bersalin czer anak kelima, isteri Jamal Abdillah dedah ikat peranakan. 'Kami berdua tidak rela tapi...'
SERONOK betul tengok famili penyanyi veteran Datuk Jamal Abdillah dan isteri, Datin Zai Izzati Khairuddin yang meriah dengan cahaya mata.
Baharu sahaja menyambut kelahiran anak kelima pada 7 Januari lalu, Zai Izzati menerusi Insta Story memaklumkan sudah menjalani prosedur mengikat salur peranakan atau bilateral tubal ligation (BTL) selepas bersalin di Hospital Tuanku Azizah (Wanita Dan Kanak-Kanak), Kuala Lumpur.
"Bercerita tentang pembedahan Caesarean (czer) kali kelima ini, saya dan suami sudah merancang akan 'tutup kilang.'
"Ia terjadi selepas doktor menjelaskan risiko jika hamil awal dan kembali czer awal. Selalunya wanita yang melahirkan menerusi czer digalakkan hamil semula selepas tiga tahun.
"Berbeza dengan saya, setiap tahun ada anak selepas czer. Kenapa boleh banyak kali dalam kes saya? Ini ceritanya.
"Yang pertama, anak itu rezeki. Kami memang tidak menolak. Ada sahaja, syukur Alhamdulillah," kongsinya.
Biarpun keadaan rahim masih elok, beliau dan suami mengambil keputusan melakukan BTL bagi mengelakkan risiko tinggi jika hamil lagi dalam masa singkat.
"Setiap kali czer doktor akan beritahu bahagian dalaman saya tiada masalah. Rahim tidak berparut, organ dalaman tidak melekat dengan luka lama. Rahim nasih cantik dan masih boleh beranak lagi. Beginilah kata doktor sejak kali pertama saya czer hingga keempat.
"Kali kelima ini doktor terangkan risikonya. Selalu dengar czer hanya empat atau tiga kali sahaja boleh dan kebanyakan doktor akan menemui keadaan parut lama yang melekat pada pundi kencing, usus dan lain-lain.
"Sampai berlaku pendarahan semasa pembedahan. Ada yang sampai doktor terpaksa membuang rahim disebabkan pendarahan yang agak teruk.
"Jadi apabila kami mendapat nasihat begini, kami memang ambil tindakan berjaga-jaga dan buat keputusan tutup kilang.
"Doktor kata boleh lagi seorang tetapi kalau boleh biarlah jaraknya jauh. Jadi saya dan suami ambil keputusan awal tutup kilang. Syukur sudah ramai anak lelaki dan perempuan," titipnya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga puteri dan dua putera itu turut berkongsi prosedur BTL memakan masa hanya sejam.
Usai bersalin dan prosedur berkenaan, Zai Izzati mendedahkan kesakitan yang dialami berbeza daripada bersalin sebelum ini.
"Kalau sebelum ini empat kali czer sudah sakit. Ini ditambah dengan BTL sakitnya ekstra," katanya.
Sekadar info, BTL adalah prosedur memotong, mengikat atau memutuskan tiub Fallopian daripada bersambung dengan rahim agar tidak berlaku persenyawaan antara sperma dengan ovum yang boleh menyebabkan kehamilan secara kekal.
Fatwa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan BTL adalah haram kecuali kehamilan akan memudaratkan kesihatan dan keselamatan nyawa ibu.
Namun, wanita yang melakukan BTL dan ingin hamil lagi boleh menjalani rawatan reversal tube iaitu menyambung kembali tiub yang dipotong atau menjalani prosedur in-vitro fertilization (IVF).
Sekadar info, Zai Izzati, 29, dan Jamal, 66, mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.
Mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2, dan Magdalena Yamani yang baharu dilahirkan 7 Januari lalu.
Penyanyi itu juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 23, dan Ahmad Zaki Yamani, 19.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang