Buah pinggang rosak, jantung lemah, Ebby Yus perlu RM5,000 sewa mesin dialisis air. 'Sebak orang ambil berat, risau menyusahkan'
DULU dialah yang menggeletek hati penonton, malah ketangkasannya bersilat membuatkan setiap drama menjadi hidup.
Sudah lama rasanya tak nampak pelakon Ebby Yus di kaca televisyen. Khabar terbaru pelakon Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, rupanya tidak begitu baik.
Kedua-dua buah pinggang pelakon sitkom televisyen 'Simpang Tiga' itu sudah pun rosak dan perlu menjalani rawatan dialisis air (peritoneal dialisis) kerana keadaan jantungnya yang agak lemah.
"Buah pinggang saya dah rosak dan sekarang ini perlu jalani rawatan dialisis darah.
"Tapi saya tak boleh jalani rawatan dialisis darah disebabkan oleh kekuatan jantung saya yang kurang. Jadi, terpaksalah doktor tukar kepada rawatan dialisis air melalui perut.
"Dan sekarang ini saya latih diri untuk buat rawatan dialisis sendiri. Satu hari, tiga atau empat kali," katanya.
Artikel berkaitan:
- Rumah idaman hanyut dibawa banjir, Ebby Yus tetap syukur diberi nafas untuk hidup
- Tahniah! Ebby Yus terima Ijazah Kehormat Doktor Persilatan. 'Tak harapkan anugerah, tanda penghargaan kerja keras'
- Semakin pulih, Ebby Yus bersyukur paru-paru tidak ditebuk
Jelas Ebby, tiada cara lain untuknya merawat penyakitnya itu kecuali transplan buah pinggang daripada penderma yang sudi menderma organ tersebut.
"Sebenarnya dialisis ini dah tak ada jalan lain melainkan ada penderma buah pinggang.
"Tetapi saya bersyukur saja dengan apa yang datang sebab buruk dan baik itu datangnya daripada ALLAH SWT dan kita terima dengan reda.
"Kita mohon saja doa dari DIA dan doa dari peminat serta kawan-kawan, beginilah keadaan saya," katanya.
Bagaikan sudah kalis dengan dugaan, Ebby mengakui tidak lagi berasa sedih dengan penyakit yang dihidapi.
Beliau yang terharu dengan sokongan orang sekeliling juga risau jika keadaannya itu menyusahkan orang sekeliling.
"Sejak saya keluar hospital, ramai orang yang saya tak kenal tetapi datang melawat dan ziarah saya.
"Saya tak pernah kesal dengan penyakit yang saya terima ini tetapi saya sangat sebak bila mana ALLAH hadirkan saya sahabat dan peminat yang sangat mengambil berat tentang saya.
"Cuma apa yang saya risau ialah kalau saya ini menyusahkan kawan-kawan saya.
Hatinya tersentuh apabila ada rakan artis yang bertungkus-lumus mahu membantu mendapatkan mesin rawatan dialisis yang perlu disewa dengan kos RM5,000 sebulan.
"Dan yang lebih terharu lagi adalah apabila kawan-kawan sentiasa memberikan semangat, mereka datang tanya khabar dan cuba sedaya upaya nak membantu saya.
"Contohnya, ada rakan seperjuangan saya yang mencuba bersungguh-sungguh untuk dapatkan mesin bagi rawatan dialisis air.
"Mesin itu agak mahal bahkan saya sendiri tak mampu. Sewa dia sebulan dalam RM5,000.
"Saya berasa sangat terharu dan bersyukur kerana dikurniakan keluarga, adik-beradik dan rakan-rakan yang betul-betul memahami saya," katanya.
Baru-baru ini, Ebby dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) 17 hari termasuk menjalani pembedahan kecil pada bahagian perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah.
Sekadar info, anak jati Batu Kikir, Negeri Sembilan itu menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk penyakit jantung dan masalah buah pinggang.
41 tahun di dalam industri, baru-baru ini beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Persilatan Sedunia iaitu Ijazah Doktor Persilatan (Honorary Doctorate of Martial Art) daripada Akademi Persilatan Sedunia atas jasa bakti mengangkat silat dalam industri hiburan TV dan filem termasuk sebagai koreografer drama dan filem.
Sumber: Melodi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang