Fizo, isteri & adik-beradik kongsi rezeki, hadiahkan buggy 3 seater buat ibu. 'Boleh muat cucu-cucu dia ramai…'

No Image Caption
A
A
A

AIR mata syukur dan bahagia.

Begitulah yang dapat digambarkan pada raut wajah ibu kepada pelakon dan usahawan terkenal, Fizo Omar apabila menerima kejutan istimewa daripada anak tersayang.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Fizo berkongsi momen penuh bahagia saat membuat kejutan pada ibunya dengan menghadiahkan buggy elektrik yang lebih praktikal untuk kegunaan harian.

"Hadiah kecil dari kami untuk Mama tersayang," tulisnya.

Fizo atau nama penuhnya Wan Hafizol Wan Omar berkongsi bahawa ibunya sebelum ini menggunakan skuter elektrik lama yang telah dibeli sejak enam tahun lalu sebagai kenderaan utama untuk berulang-alik menunaikan solat fardu di surau berhampiran.

"Dah hampir enam tahun dah Tok Ma guna skuter elektrik ride lepak surau," katanya.

Namun, skuter tersebut hanya mampu memuatkan dua penumpang dewasa yang kebiasaannya dipandu oleh isterinya, Fazeera Nazri Azrai, manakala Fizo dan anak perempuannya pula akan berjalan kaki menyusul di belakang.

Artikel Berkaitan:

Kini, buggy elektrik yang baru dibeli tampil dengan saiz lebih besar dengan tiga tempat duduk dan lengkap berbumbung yang dapat mengelak daripada basah serta terik matahari.

"Yang ni okay sikit, ada bumbung dan boleh muat cucu-cucu dia ramai sikit," tambah Fizo lagi.

Lebih menyentuh hati, pemberian tersebut merupakan hasil inisiatif Fizo bersama isteri serta adik-beradik lain sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan tulus kepada ibu tercinta.

"Terima kasih banyak kepada semua ahli keluarga yang sentiasa menyokong dan membuat Mama gembira. Jaga Mama sama-sama, ya," luahnya.

Fizo turut menegaskan bahawa nilai hadiah itu bukan diukur pada harga, tetapi keikhlasan dan niat murni untuk menggembirakan ibunya yang banyak berkorban.

Untuk rekod, skuter elektrik lama yang digunakan oleh Hasnah sebelum ini merupakan pemberian daripada Fizo yang dihadiahkan sekitar tahun 2020.

Pada ketika itu, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu rela mengutamakan kebahagiaan ibunya dengan menangguhkan hasrat untuk memiliki gajet seperti iPhone 12 dan PlayStation 5, walaupun ramai yang mengidamkan gajet berkenaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang