Fizo Omar & isteri bakal timang cahaya mata ketiga, gembira rumah kembali riuh! ‘Rezeki bukan dalam bentuk kekayaan sahaja….’

PELAKON Fizo Omar berkongsi berita penuh kesyukuran apabila dia dan isteri tersayang, Fazeera Nazri Azrai, bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi!
Momen bermakna itu dikongsikan Fizo di Instagram dengan menggambarkan betapa kehadiran anak-anak menjadi pelengkap kebahagiaannya.
Pemilik nama Wan Hafizol bin Wan Omar itu turut menyifatkan kehadiran bidadari kecil mereka itu sebagai penyeri dalam memecah kesunyian yang dirasai ketika ini.
"Kami bersyukur kerana munculnya cahaya mata yang kami ada, sepi tak lagi terasa kerana tawa kecilnya pemecah kesunyian,” tulisnya.
Biarpun membesarkan anak kecil satu cabaran, bintang filem Romeo Kota ini menganggap setiap anak adalah anugerah tidak ternilai.
“Walau ada rintangan, di waktu kesempitan, kami kekal percaya akan ada sinar rezeki di setiap cahaya mata bagi meneruskan kehidupan di dunia ini." ujarnya.
Pengumuman istimewa itu menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat dan rakan selebriti yang sama-sama teruja dan mendoakan kesejahteraan buat keluarga kecilnya.
Lebih mencuit hati, ramai yang terhibur melihat gelagat Fazeera tersasul di awal video, yang secara tidak langsung menjadi punca pengumuman tersebut.
Fizo turut menitipkan rasa syukur kerana rezeki bukan sekadar dalam bentuk harta, tetapi juga kesihatan, kebahagiaan, dan zuriat yang menjadi penyeri kehidupan.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada-MU kerana kami tahu rezeki bukan dilimpah dalam bentuk kekayaan sahaja.
“Namun, lanya disimbah dalam bentuk kesihatan, cahaya mata dan ketenangan,"katanya lagi.
Untuk rekod, Fizo dan Fazeera mendirikan rumah tangga pada Oktober 2021 dan telah dikurniakan dua cahaya mata, Wan Khaleeda, 3, dan Wan Umaira, 2.
Sebelum ini, Fizo pernah berkahwin dengan usahawan Mawar Karim pada November 2013 sebelum bercerai pada Julai 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Mariam, yang kini berusia 8 tahun.
Tahniah buat Fizo dan Fazeera! Semoga urusan menyambut cahaya mata ketiga ini dipermudahkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang