Isu lagu berunsur lucah: Haiza nasihat Baby Shima pilih lirik dengan elemen mendidik bukan merosakkan- 'Mungkin dia seorang begitu...'
DUNIA hiburan sentiasa bergerak pantas, garis antara kreativiti dan sensitiviti sering kali diuji.
Terbaharu, penyanyi dangdut Baby Shima kembali menjadi bualan apabila lirik lagu terkininya, Masuk Lagi, didakwa mengandungi unsur berbaur lucah sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Isu tersebut bukan sahaja mengundang reaksi orang ramai di media sosial, malah turut mendapat perhatian penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza.
Bagi Haiza, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nilai budaya serta tanggungjawab seorang artis terhadap masyarakat, khususnya pendengar daripada pelbagai peringkat usia.
Ditemui SinarPlus ketika majlis Kenduri Rakyat: Haiza Menang ABPBH 37 yang diadakan bersempena kejayaannya sebagai Penyampai Radio Popular, Haiza meluahkan kebimbangan terhadap trend menormalisasikan lagu berunsur lucah dalam industri muzik tempatan.

Menurutnya, dia tidak mahu tindakan seorang artis mencetuskan persepsi negatif terhadap penyanyi lain, khususnya dalam genre dangdut yang selama ini sinonim dengan hiburan rakyat. Katanya, tempias kecaman sering kali tidak terhenti pada individu, sebaliknya meleret kepada keseluruhan kelompok artis.
“Bukan semua penyanyi dangdut bawa lirik macam itu. Tapi bila satu orang buat, yang lain pun terkena,” katanya secara terbuka namun berhemah.
Sebagai seorang yang sudah lama berada dalam industri, Haiza menasihatkan Baby Shima agar lebih matang dalam membuat pilihan, terutama apabila menghasilkan karya baharu.
Baginya, kontroversi mungkin mampu menarik perhatian, namun kesannya terhadap pendengar jangka panjang perlu difikirkan secara mendalam.
“Saya rasa selepas ini dia kena fikir betul-betul. Mungkin ada sesetengah orang setiap kali nak keluarkan lagu, dia mahu lagunya diperkatakan. Tapi sebagai senior, saya nasihatkan carilah lirik yang mendidik,” ujarnya.
Tambah Haiza, walaupun lirik lagu tersebut tidak sepenuhnya lucah, unsur yang diselitkan tetap tidak sesuai untuk dijadikan kebiasaan dalam konteks budaya Malaysia yang kaya dengan adab dan nilai timur.
“Lagu ini didengar oleh semua peringkat umur. Saya tak mahu dia dikecam, tapi lirik seperti itu memang tak patut, terutama di Malaysia. Mungkin di negara lain perkara ini biasa, tetapi budaya kita berbeza,” jelasnya lagi.
Haiza turut menekankan kepentingan memikirkan kesan jangka panjang terhadap generasi muda. Apa yang didengar hari ini, katanya, boleh membentuk pemikiran dan tingkah laku pada masa depan.

“Jangan normalisasikan unsur lucah dalam lagu. Kita kena fikir generasi akan datang. Lebih baik kita tonjolkan lirik yang elok, membina dan memberi contoh yang baik,” katanya menambah.
Dalam landskap hiburan masa kini, teguran seperti ini membuka ruang perbincangan yang lebih matang tentang peranan artis bukan sekadar sebagai penghibur, tetapi juga sebagai individu berpengaruh dalam membentuk citarasa dan nilai masyarakat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
