'Kalau ada jodoh, Alhamdulillah.' Bella Astillah serah soal teman hidup kepada ALLAH, puji Syed Saddiq jujur, ikhlas & berani
HUBUNGAN pelakon dan penyanyi, Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan lagi rahsia.
Kehadirannya ke Istana Kehakiman, Putrajaya memberikan sokongan kepada Syed Saddiq menunjukkan keakraban antara mereka.
Dalam temu ramah bersama Sinar Harian, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu memberikan jawapan matang dalam mengulas ura-ura hubungan dan hala tuju masa depan dengan Syed Saddiq.
Memohon semua peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya, Bella memaklumkan tiada sebarang perancangan masa depan dapat dikongsikan ketika ini.

“Bella ini perempuan, tak manis jika kongsi sebarang perancangan masa hadapan, apatah lagi membicarakan hal itu secara terbuka.
“Saya serahkan soal jodoh kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Kalau ada jodoh, Alhamdulillah.
“Bagi Bella, Syed Saddiq seorang yang jujur, ikhlas dan berani. Mungkin ini balasan atas kebaikan yang dilakukan selama ini,” katanya di Mahkamah Rayuan, pada Rabu.
Dalam masa sama, Syed Saddiq pula memaklumkan bahawa beliau belum merancang sebarang fasa seterusnya bersama pemilik nama Dayang Nabellah Awang Astillah itu.
“Fokus utama ialah meraikan kemenangan ini bersama keluarga. Buat masa ini, saya hanya mahu bawa mereka keluar makan,” ujarnya.

Ditanya sama ada Bella akan turut serta dalam sesi makan berkenaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu hanya tersenyum dan enggan memberikan sebarang komen.
Menerusi video tular, dilihat menikmati hidangan bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz manakala di sebelah kehadiran Bella turut setia menemani.
Sebentar tadi, Bella menitiskan air mata dan berpelukan dengan ahli keluarga Syed Saddiq selepas Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana ARMADA yang berlaku tujuh tahun lalu.
Pertuduhan tersebut melibatkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.
Ahli politik berusia 32 tahun itu tersebut terlepas daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
