Kemelut rumah tangga belum berakhir. Zahnita nekad cerai, tak layan pujuk rayu suami. 'Jangan cakap kosong, sila tunjuk bukti...'

No Image Caption
A
A
A

'SAYA akan terus tertekan jika tinggal di rumah yang tidak selamat...'

Itu antara luahan penuh emosi pelakon dan bekas peragawati, Zahnita Wilson yang nekad untuk tidak menarik semula permohonan cerai terhadap suaminya selepas bertahun-tahun menanggung derita dalam rumah tangga.

Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson, menjelaskan keputusan itu dibuat bukan dalam keadaan marah atau terburu-buru, sebaliknya demi menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan anak-anak.

"Saya hendak teruskan penceraian juga sebab demi anak-anak.. duduk bawah satu bumbung yang tidak selamat ini tidak baik, bukan sahaja untuk mereka (anak-anak), tapi untuk saya juga.

“Saya sudah tahan lama (untuk) duduk bawah bumbung yang sedang ‘runtuh’. Apa yang jadi dengan saya, saya kena berjuang sebab ini dan ia memang tidak selamat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Syariah Kuantan pada Jumaat.

Dalam prosiding tersebut, tiga kes utama disebut melibatkan permohonan perceraian, tuntutan perintah injunksi bagi menghalang gangguan serta permohonan hadanah meliputi hak lawatan dan bermalam terhadap anak pasangan berkenaan.

Bintang filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu turut mendedahkan suaminya pernah menyuarakan hasrat agar anak-anak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang lengkap.

Namun bagi Zahnita, impian suaminya itu sukar untuk direalisasikan jika terus terperangkap dalam persekitaran yang dipenuhi aura negatif.

Artikel Berkaitan:

"Suami saya kata kalau boleh nak anak-anak bersama ibu dan bapa, tapi kalau duduk bersama dalam keadaan yang penuh tekanan dari segi emosi dan mental itu tidak selamat untuk mereka.

“Kegembiraan seorang ibu adalah kegembiraan keluarga. Kalau ibu murung, tertekan dan tidak bahagia, anak-anak juga akan turut rasa benda yang sama,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Zahnita turut memberi reaksi terhadap dakwaan bekas rakan kongsi perniagaannya dengan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan hanya bersifat ‘cakap kosong’ yang tidak disokong dengan bukti kukuh.

“Kalau dia buat tuduhan, tunjukkan bukti. Saya tidak pernah menyerang sesiapa, dan saya juga tidak berniat membalas. Apa yang saya mahukan hanyalah kebebasan untuk diri saya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor turut menyuarakan harapan supaya segala kemelut yang melanda rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara damai demi masa depan anak-anak.

“Segala yang saya perjuangkan adalah demi anak-anak. Mereka menjadi kekuatan saya ketika ini,” kata Abdul Zackery ringkas.

Terdahulu, konflik rumah tangga model jelita itu dilihat masih belum menemui titik noktah.

Ia susulan sebutan tiga kes membabitkan permohonan cerai, hak hadanah serta perintah injunksi yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke tarikh baharu.

Hakim Syarie, Borhan Hussin memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen hujahan berhubung permohonan perintah injunksi selewat-lewatnya pada 25 April ini.

Sementara itu, pengurusan kes bagi hak hadanah pula ditetapkan berlangsung pada 24 Julai depan.

Untuk rekod, Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada tahun 2005.

Hasil perkongsian hidup selama hampir dua dekad itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zahrafeena,18, Zasharayna Ghouse,13, Zahlia Syawwal,8,dan Abd Zayden Ghouse yang kini berusia 4 tahun.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang