Kenangan manis di usia 46 tahun, Siti Nurhaliza anggap Anugerah Sri Wirama hadiah buat penjaga perjalanan seninya

No Image Caption
A
A
A

ANUGERAH Industri Muzik ke-24 (AIM24)  yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu lalu menyaksikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menerima pengiktirafan khas menerusi Anugerah Sri Wirama.

Penganugerahan itu memberi makna besar buat penyanyi tersohor berusia 46 tahun tersebut yang turut menyifatkan anugerah itu memberi kenangan manis buatnya.

"Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur kerana Anugerah Sri Wirama ini adalah penghargaan terbesar sepanjang perjalanan muzik saya. Saya sangat terharu kerana mereka menghargai ketika saya masih lagi berkarya.

"Anugerah ini saya hadiahkan kepada mereka yang banyak berkorban titik peluh menjaga, menaikkan nama dan mengatur perjalanan seni saya.

"Saya turut menghargai teman-teman media cetak dan elektronik yang tanpa jemu mempromosikan saya, selain penulis lirik, pencipta lagu dan peminat tersayang. Alhamdulillah, rezeki pada usia 46 tahun ini menjadi kenangan manis sepanjang penglibatan saya dalam AIM," ungkapnya.

Siti Nurhaliza turut membuat persembahan pada malam kemuncak AIM24 Sabtu lalu.
Siti Nurhaliza turut membuat persembahan pada malam kemuncak AIM24 Sabtu lalu.

Ditanya makna penganjuran AIM dalam kerjaya seninya, pelantun Menamakanmu Cinta itu melihat acara berprestij tersebut adalah tonggak penting dalam ekosistem muzik tempatan.

"AIM saya anggap sebagai nadi industri muzik kita. Inilah pentas menilai prestasi muzik tanah air, mengenal pasti penyanyi baharu berbakat serta pencipta lagu berkualiti.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu AIM terus wujud sampai bila-bila. Di sinilah kita menghargai bukan sahaja artis di hadapan, tetapi juga insan di belakang tabir yang sering terlepas pandang.

"Mereka ini tidak popular, tetapi merekalah yang bekerja keras. Pencipta lagu, penggubah muzik, jururakam, semua yang tidak tidur malam demi melahirkan karya. Kalau tiada mereka, tiadalah sesebuah lagu atau album yang lengkap. Jadi, penghargaan harus diberikan juga kepada pasukan kreatif di belakang tabir," jelasnya.

Siti menyifatkan Anugerah Sri Wirama yang diterimanya sebagai penghargaan buat mereka yang tidak pernah jemu menyokong karier seninya.
Siti menyifatkan Anugerah Sri Wirama yang diterimanya sebagai penghargaan buat mereka yang tidak pernah jemu menyokong karier seninya.

Dalam masa sama, penyanyi nombor satu negara itu tidak lokek mengakui kehebatan generasi baharu yang menyerlah pada malam berprestij itu, termasuk pemenang utama AIM24.

"Mereka memang layak menerima anugerah itu. Seperti saya nyatakan sebelum ini, bukan saya tidak yakin dengan karya sendiri, saya yakin sudah berikan yang terbaik dalam setiap album yang dihasilkan.

"Tetapi saya melihat mereka juga mempunyai peluang besar. Masa depan mereka lebih jauh dan saya tumpang gembira serta bangga dengan kejayaan pemenang malam ini," katanya.

Lebih menyentuh hati, penyanyi berbakat besar Aina Abdul yang membawa pulang empat trofi utama turut menyifatkan Siti sebagai sumber inspirasi perjalanan seninya.

Menjawab perkara itu, Siti melahirkan rasa terharu kerana namanya masih menjadi rujukan oleh artis muda.

"Terima kasih kepada Aina kerana sudi mengiktiraf saya dalam anugerah yang dimenanginya. Saya juga melalui proses yang sama. Kalau tiada artis terdahulu yang menjadi inspirasi, mungkin saya tidak sampai ke tahap ini.

"Dalam dunia seni, setiap insan saling memberi inspirasi. Saya sendiri menjadikan Ziana Zain, Datuk Aishah dan ramai lagi penyanyi hebat sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

"Saya berharap semua anak seni dalam industri terus bersatu. Muzik kita sangat luas dan kaya, jadi kalau kita saling menyokong, martabat muzik tempatan pasti dapat diangkat lebih tinggi," katanya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang