'Mama bangga, terima kasih Hakim' – Anak kedua tamat pengajian, tangisan Raja Azura undang sebak
PELAKON dan pengacara popular, Raja Azura meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anak keduanya, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, selamat menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Hadir meraikan Megat Luqman Hakim yang mesra disapa Hakim, ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu dan sebak ketika ditemu ramah pihak universiti.
Bagi Raja Azura yang juga dikenali sebagai Kak Engku, kejayaan Hakim bukan hanya miliknya sendiri, tetapi dianggap sebagai kejayaan ibu dan adik-beradiknya.
"Terima kasih UiTM. Ketiga-tiga anak saya belajar di UiTM.
"(Kepada) anak saya yang kedua, Megat Luqman Hakim, terima kasih kerana buat mama bangga. Terima kasih atas kejayaan Hakim.

"Hakim adalah kejayaan mama, Raziq dan Mia. Kejayaan kita sekeluarga," kongsinya.
Dalam pada itu, pelakon Mat Despatch itu juga berharap kejayaan yang dikecapi oleh anaknya itu bukanlah titik akhir sebaliknya terus berusaha, berfikiran matang dan bijak merancang masa depan.
Artikel berkaitan:
"Mama harap kejayaan ini tidak terhenti di sini. Harus bijak dan pandai menjalani dan mengatur kehidupan kita di hadapan.
"Semoga Hakim juga menjadi satu inspirasi buat keluarga termasuk sepupu dan kawan-kawan.
"Moga menjadi anak yang hebat, soleh, menghormati kedua ibu bapa. Jangan lupa taat kepada ALLAH SWT. Reda ibu, reda ALLAH.
"Mama sentiasa mendoakan Hakim berjaya dunia dan akhirat," luahnya.

Raja Azura terdahulu berkongsi Insta Story perjalanan konvokesyen puteranya itu yang turut diraikan bersama bonda dan sanak saudara.
Bekas penyampai radio Sinar FM itu terdahulu berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Bin Haji Aroff namun berpisah pada 2010.
Selain Hakim, Raja Azura memiliki dua lagi permata hati iaitu Megat Muhammad Raziq, 25, dan Puteri Mia Maizura, 20.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
