Mazuin Hamzah lebih tenang lihat anak membesar, akui rindu peminat. 'Adakala menyanyi pada majlis keluarga...'
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/14/thumbs/900x900/3007038.jpg)
NAMA Mazuin Hamzah sememangnya tidak asing lagi bagi peminat industri hiburan tanah air pada era 80-an dan 90-an.
Namun, sejak dinikahi oleh adinda Sultan Brunei, Pengiran Muda Sufri Bolkiah, figura seni itu seolah-olah ‘menghilang’ dari keriuhan industri hiburan.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro Awani baru-baru ini, pemilik nama Datuk Laila Utama Mazuin Hamzah itu mendedahkan bahawa dirinya sebenarnya masih ada, namun memilih untuk menjauhkan diri daripada keriuhan dunia hiburan.
Pelantun lagu Anggerik Merah itu mengakui, meskipun tidak lagi aktif dalam dunia seni, beliau hanya melepaskan kerinduannya dengan menyanyi dalam acara-acara tertutup, terutamanya majlis-majlis keramaian yang melibatkan keluarga.
Ibu kepada tiga cahaya mata berkenaan juga lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan menjalani aktiviti peribadi yang memberikan ketenangan dalam dirinya.
“Saya masih ada, cuma tidak muncul. Di Brunei, ada kalanya saya bernyanyi untuk keluarga,” ujarnya.
Mazuin yang pernah popular menerusi lagu Janji Palsu itu juga mengakui bahawa cintanya terhadap bidang seni tidak pernah luntur.
Lebih-lebih lagi apabila mengimbau kenangan lebih tiga dekad lalu, zaman kegemilangannya yang sibuk memenuhi undangan persembahan dan meluangkan masa bersama rakan-rakan artis seangkatan.
“Masih teringat, rindu kepada peminat yang masih mengingati saya.
"Kadang-kadang ada rasa untuk kembali ke dunia seni dan menyanyi, tapi Insya- ALLAH,” katanya.
Kelibat bekas anggota kumpulan Quinary M itu kembali menjadi bualan apabila muncul memberi sokongan kepada sahabat baiknya, Liza, yang bertanding dalam program realiti Gegar Vaganza musim ke-11.
Sebagai info, Mazuin pernah mendirikan rumah tangga dengan adinda Sultan Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien pada tahun 1987.
Pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah, Pengiran Anak Raafiah Amalul Bolkiah dan Pengiran Muda Abdul Khaaliq.
Namun, jodoh pasangan berkenaan tidak panjang apabila mereka mengambil keputusan berpisah pada 2003.
Kini, Mazuin lebih memilih untuk hidup tenang, jauh dari sorotan media, namun tetap dikenang sebagai salah satu ikon industri hiburan tanah air yang pernah gah namanya suatu ketika dahulu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang