'Orang boleh tiru tapi tak sama’ – Seni Noraniza Idris tak pernah pudar, rahsia 30 tahun bertahan
TRADISI dan inovasi bukanlah dua dunia berbeza, sebaliknya mampu saling melengkapi. Itu pegangan hidup Noraniza Idris yang sudah lebih tiga dekad kekal utuh di persada seni. Bagi ratu irama Malaysia itu, seni tradisi bukan sekadar hiburan, tetapi nadi yang menyatukan bangsa serta menjadikan siapa kita di mata dunia.
“Jiwa saya tak sama dengan orang lain. Sebab itu saya masih bertahan 30 tahun lebih, kerana ilham Malaysia yang saya bawa. Orang boleh meniru, tapi jiwa itu tak akan pernah sama,” katanya penuh yakin.
Noraniza tidak pernah menafikan cabaran dalam industri muzik yang semakin laju dengan arus moden. Malah beliau akui generasi baharu lebih cepat terdedah dengan teknologi, sesuatu yang boleh melunturkan minat terhadap seni tradisi jika tidak ditangani bijak.

“Sekarang ni teknologi laju sangat, budak-budak cepat terdedah dengan benda baharu. Kita ni old school, jadi kena cari cara bagaimana nak tarik mereka kembali pada akar budaya. Kita tak boleh paksa, tapi kena didik dengan pendekatan psikologi. Kalau tidak, seni tradisi boleh hilang ditelan masa,” ujar Noraniza.
Baginya, kekuatan seni budaya Melayu masih teguh. Apa yang penting, ia perlu diberi ruang dan wajah baharu agar kekal relevan.

“Ilham Malaysia ni besar. Kalau kita buat bersungguh-sungguh, seni kita boleh pergi jauh. Bukan sekadar hiburan, tapi jadi medium untuk kenalkan siapa kita pada dunia,” tambahnya.
Baru-baru ini, Galeria SA Sentral, Shah Alam menjadi saksi kepada satu lagi usaha besar Noraniza. Majlis penuh berprestij itu melancarkan Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027, sekali gus mengorak langkah baharu dalam perjalanan seninya. Dirasmikan oleh YB Datuk Borhan Aman Shah dan turut dihadiri kerabat diraja serta tokoh seni, pelancaran itu mengangkat kembali nama Malaysia sebagai pusat budaya serantau.

PEWARIS SENI
Antara pengisian menarik ialah pertandingan persahabatan tarian rakyat yang menghimpunkan Malaysia, Indonesia, China, Thailand, Sri Lanka dan India. Walaupun berformat pertandingan, suasana lebih terasa seperti pesta budaya. Malaysia dan Indonesia meraih emas, sementara negara lain membawa pulang pingat masing-masing, namun yang lebih penting ialah semangat persaudaraan yang diraikan.
Dalam acara sama, Noraniza turut memperkenalkan projek Roots of Zafana, sebuah Zapin Living Lab digital dan fizikal hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan TH Travel & Services. Inisiatif ini bertujuan mendokumentasi, mengkaji serta melestarikan zapin untuk dijadikan rujukan generasi akan datang.

“Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” katanya penuh semangat, menekankan kepentingan meninggalkan legasi kepada pewaris seni.
Tidak hanya berhenti pada tarian, acara itu turut meraikan dunia muzik dengan pelancaran single terbaharu berjudul Bintang Terang ciptaan Aidit Alfian dengan lirik Ahmad Fedtri Yahya, dinyanyikan oleh Ihab Ismail bersama Azmir Arif. Persembahan Noraniza bersama 39 penari cilik dari Akademi NIDA TARI pula menjadi simbol bahawa warisan tidak pernah mati, malah terus berdenyut dalam jiwa generasi baharu.

Lebih daripada sekadar festival, TERMA yang bakal mencapai kemuncaknya pada Oktober 2025 di Shah Alam dijangka menjadi wadah besar merapatkan pelbagai budaya Asia. Bagi Noraniza, inilah caranya membuktikan bahawa tradisi dan inovasi mampu bergandingan tanpa pernah bercanggah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
