Pernah 'disaran' kahwin dua, lelaki ini nekad zuriat bukan alasan untuk berpaling. 'Isteri saya tetap nombor satu...'

No Image Caption
A
A
A

PERKAHWINAN sering dilihat sebagai jawapan kepada desakan soal jodoh. Namun, belum sempat hela nafas lega, hadir pula persoalan baharu tentang cahaya mata.

Ketika lambat menimang cahaya mata, ada sahaja suara sumbang yang mula bersuara yang mencadangkan sang suami berpoligami, kononnya kebahagiaan itu hanya sempurna dengan kehadiran zuriat dan waris penyambung keturunan.

Tidak terkecuali diuji dengan situasi sebegitu, Mohd Rahmat seorang suami yang setia di sisi isteri tercinta tampil dengan pandangan luar biasa.

Pendiriannya bukan sahaja meredakan spekulasi, malah meraih rasa hormat dan kagum banyak pihak.

Segalanya bermula apabila Mohd Rahmat didatangi individu yang tidak begitu dikenali, namun berani menyuarakan sesuatu yang menyentak hatinya.

Dengan nada sinis, individu tersebut menyarankan agar dia berpoligami demi mendapatkan zuriat atas alasan dirinya sudah cukup mampu dari segala segi.

Walaupun Mohd Rahmat dikenali sebagai lelaki yang 'easygoing' dan suka bergurau, soalan itu benar-benar mengganggu emosinya.

Artikel Berkaitan:

Baginya, tidak semua perkara wajar dijadikan bahan gurauan apatah lagi jika ia menyentuh soal hati dan rumah tangga.

“Tak salah kahwin satu lagi, mana tahu isteri kedua tu dapat anak. Aku nampak kau tu mampu...Itulah ayat yang keluar daripada seseorang yang saya tak begitu kenal.

"Saya ini jenis yang mudah mesra, suka bergurau, tapi bukan semua benda sesuai dijadikan bahan gurauan. Tambahan pula bila sentuh soal perasaan, rumah tangga, dan isteri," tulisnya.

Menurutnya, isterinya sekarang bukan sekadar teman hidup, malah adalah insan yang sentiasa berada di sisi saat dia melalui fasa paling sukar dalam hidupnya.

“Isteri saya, dialah yang setia berdiri di sisi saat saya tidak punya apa-apa. Saat hidup saya diuji dan jiwa saya hampir tumbang, dialah penenang paling setia.

"Waktu saya lemah dan hampir tersungkur, dialah yang menguatkan semangat tanpa jemu.Apa yang saya miliki hari ini, sebahagiannya lahir daripada doa dan sokongan ikhlas seorang isteri yang tidak pernah berhenti percaya," luahnya.

Mohd Rahmat dengan jujur mengakui, meskipun rezeki cahaya mata belum berpihak kepada mereka, kasih sayang yang terjalin tidak pernah luntur malah semakin utuh dari hari ke hari.

Baginya, cinta sejati bukan terletak pada kehadiran zuriat semata-mata, tetapi pada kesetiaan yang tidak pernah goyah dan doa yang terus mengalir tanpa henti.

"Kalau saya diberi pilihan anak atau isteri? Saya tetap akan pilih isteri saya sekarang.

"Kerana cinta sebenar tak diukur pada zuriat semata-mata, tapi pada setia dan doa yang tak pernah putus.

"Dan kalau anak itu belum rezeki kami, biarlah ia terus jadi rahsia antara kami dan Tuhan," katanya.

Mengulas isu poligami, Mohd Rahmat tidak pernah menolak hukum berkongsi hidup namun menegaskan bahawa cinta dan tanggungjawab bukanlah tentang kemampuan material semata-mata.

"Saya tak menentang siapa yang nak tambah isteri. Jika mampu dipersilakan, tapi saya belum mampu." kongsinya ringkas.

Luahan ikhlas itu ternyata menerima ribuan reaksi daripada warganet yang rata-rata menyokong pendiriannya di ruangan komen. Tidak kurang juga yang menitipkan doa dan kata-kata semangat buat pasangan ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang