Pilu! Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia pada usia 68 tahun, anak pulang ke rumah temui bapa tidak bernyawa
DUNIA hiburan tempatan terus berduka dengan berita pemergian aktor terkenal 1980-an hingga 2010-an, Dharma Harun Al Rashid.
Pemergian pelakon berusia 68 tahun itu dikongsikan anak keduanya, Muhammad Al Syafiq menerusi Instagram.
Muhammad Al Syafiq menerusi Insta Story memaklumkan bapanya meninggal dunia sendirian di rumah mereka.
Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu tiba di rumah kira-kira jam 9.10 malam dan dan mendapati bapanya sudah tidak bernyawa.
"Saya baru balik kelas. Dia jatuh. Tubuh badannya dah keras dan sejuk. Saya pusing mana pun dia keras. Saya sudah panggil ambulans," katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Syafiq turut memaklumkan bahawa jenazah pelakon filem Adik Manja itu akan diuruskan di Masjid Abu Ubaidah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Sekadar info, Allahyarham yang dilahirkan pada 25 Mac 1957 di Ipoh, Perak muncul kali pertama menerusi fiem Adik Manja pada tahun 1980 ketika berusia 23 tahun.
Allahyarham kemudiannya membintangi pelbagai filem seperti Mama Oh Mama (1981), Sikit Punya Gila (1982), Langit Petang (1982), Ke Medan Jaya (1983), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Perawan Malam (1988) dan Lukisan Berlumur Darah (1988).
Beliau juga sempat merakam suara dalam sebuah album berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Di Sisimu sekitar tahun 1980. Pada tahun 2012, Dharma aktif menulis skrip, menerbit, mengarah dan muncul dalam filem Adik Manja Returns.
Sebelum ini iaitu sekitar 2019 Dharma pernah mengalami serangan angin ahmar yang mengakibatkan pertuturannya terjejas.
Berikutan kesan strok dan beberapa masalah kesihatan lain, daya ingatannya turut terjejas sekali gus menyebabkannya tidak lagi mampu bekerja.
Selain Syafiq, Dharma juga memiliki seorang anak perempuan iaitu Siti Qurratu Aini.
Sumber: Harian Metro, Siar
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

