'Sampai bila nak nasihat? Sampai mati...' PU Riz mengaku tegur ahli keluarga dalam diam, tak heboh kepada umum
DAKWAHNYA yang santai dan penuh hikmah membuatkan beliau disenangi orang terdekat. Cara penyampaian mudah difahami dan menggunakan bahasa yang lembut membuatkan orang mudah untuk mengikut.
Pendakwah Haris Ismail atau PU Riz baru-baru ini mengaku beliau lebih memilih untuk menegur ahli keluarga secara peribadi atau diam-diam, tanpa perlu menghebahkan kepada umum.
Suami kepada selebriti Neelofa itu yang baru-baru ini muncul menerusi audio siar (podcast) Amin Idris dipuji kerana menegur dengan penuh hikmah.
"Baru-baru ini PU Riz menegur Ameera ketika mempromosikan baju dan memintanya agar tidak menyelak tudung, bagi saya ia adalah satu kaedah penyampaian yang cantik sebagai seorang abang kepada adik.
"Memang begitukah interaksi di rumah? Sebagai 'Pak Ustaz' dalam keluarga, tentu ada tanggungjawabnya yang perlu dilakukan penuh hikmah, apa pendapat PU Riz?
PU Riz atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 30, menegaskan sebagai orang yang menyebarkan Islam, beliau keluar berdakwah dahulu.
"Adakala kita akan bertemu orang Islam dan bukan Islam. Jadi, saya berpendapat dakwah bil hal atau dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik menjadi keutamaan berbanding menekankan apa yang patut ditekankan.
"Bukan kata tak boleh, ada waktunya kita tekankan yang sesuai," ujarnya.
Rupanya, peserta program realiti Pencetus Ummah Musim 4 itu mendedahkan sering ditanya soalan 'panas' berkaitan keluarga terutama penampilan mereka yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna.
PU Riz mengaku, lebih memilih untuk menegur ahli keluarga secara peribadi, tanpa perlu menghebahkan kepada seluruh umum.
"Saya tidak buat content.
"Diri saya ini dari dulu sampai sekarang, tidak sentuh hal peribadi orang lain secara berlebihan.
"Hati-hati dalam bercakap. Jangan melampau seolah-olah dialah seorang pendosa yang ALLAH tidak maafkan,” katanya.
Pun begitu, menurut PU Riz apa sahaja yang salah di sisi agama tidak akan didiamkan.
"Kita tidak akan diam pada sesuatu yang salah.
"Memang ada dalam keluarga saya dan keluarga mentua yang salah tetapi adakah kita hendak menjadi orang yang garang serta pemarah?
"Sampai bila nak nasihat? Sampai mati," kongsinya.
Bapa kepada dua cahaya mata lelaki itu meraih pujian daripada warganet. Ramai yang berpendapat PU Riz hanya sebagai suami Neelofa namun orang berhak menegur ialah bapa dalam keluarga.
"Haris ini suami Neelofa. Adik-beradik Neelofa masih memiliki ayah dan hukum wajib bukan jatuh kepada Haris tetapi ayah mereka."
"Pelik ramai yang salahkan PU Riz sedangkan adik- beradik Neelofa masih ada ibu bapa. Abang ipar orang luar dan tidak boleh terlalu masuk campur hal ipar."
"Itulah sebaik-baiknya, menegur dalam diam dan yang salah tetap salah. Terbaik PU Riz."
PU Riz dan Neelofa berkahwin pada 27 Mac 2021 dan asangan itu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3 dan Abdullah Abbas, 1.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang