'Saya makan dalam tandas sebab takut' – Ayda Jebat kongsi detik gelap zaman sekolah, simpati nasib Zara
ISU buli bukan perkara baharu. Namun, tragedi pemergian adik Zara yang dipercayai menjadi mangsa buli, menyentak banyak pihak termasuk pelakon Ayda Jebat yang tersentuh hingga terpanggil untuk membuka kembali kisah lama yang selama ini dipendam.
Semuanya bermula ketika dia berjaya memasuki sebuah sekolah perempuan berasrama penuh yang cukup terkenal dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Ayda ketika itu masih di Tingkatan 1.
Meskipun sudah bertahun berlalu, pengalaman itu kekal dalam ingatan Ayda. Bukan disebabkan tekanan belajar atau guru yang garang, tetapi kerana gangguan daripada pelajar senior yang dirasakannya sangat mengganggu emosi dan keselamatan diri.
Kisah tersebut dikongsikan pelakon berkenaan menerusi thread miliknya.

Menurut Ayda, pada awalnya dia berasa teruja apabila diterima masuk ke sekolah berprestij itu. Namun, keterujaan itu hanya bertahan seketika.
“Mula-mula teruja dapat masuk sekolah ni… antara sekolah perempuan yang terbaik dan ‘hot’, sebab akademik dan kokurikulum.
"Tapi saya cuma sekolah kat situ kurang daripada setahun je. Sebab tak tahan,” ujarnya.
Ayda menceritakan bahawa seorang pengawas, senior yang hanya tua setahun daripadanya, mula menunjukkan perhatian luar biasa. Pada awalnya disangka prihatin, tetapi lama-kelamaan Ayda mula berasa tidak selesa.
“Dia mula bagi surat bawah meja, hadiah seperti coklat, sepit rambut, patung, cincin... Nak kahwin ke dengan aku ni?.
"Saya juga didatangi seorang lagi senior di tandas sekolah yang bertanya secara terus terang sama ada dia ‘bercouple’ dengan pengawas tersebut kerana khabar angin sudah tersebar luas di sekolah.
“Kakak tu pesan, hati-hati… Kalau dia suka, bahaya. Saya dah mula rasa takut,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu.

MAKAN DALAM TANDAS
Bermula saat itu, Ayda sedaya upaya cuba menjauhkan diri daripada senior terbabit. Namun, tekanan semakin menjadi-jadi. Senior tersebut dikatakan menunggu Ayda di luar kelas setiap waktu rehat dan cemburu jika Ayda bercakap dengan pelajar lain.
“Sampai satu tahap saya sanggup bersembunyi di tandas sekolah semata-mata untuk elak bertembung dengan dia semasa rehat.
“Saya makan dalam tandas. Tunggu kawan belikan makanan sebab takut sangat,” dedahnya.
Akhirnya, Ayda memberanikan diri menceritakan hal sebenar kepada ibunya walaupun pada awalnya dia teragak-agak kerana tidak mahu menyusahkan. Tambahan pula, ibunya merupakan ibu tunggal dan jarak rumah ke sekolah agak jauh.
“Tapi dah tak tahan... satu malam saya bual dengan mama. ‘Ma, nak cakap sikit. Boleh ke kalau saya nak pindah sekolah?’
"Saya turut menunjukkan semua surat dan hadiah yang diterima. Pada awalnya ibu anggap ia sekadar peminat biasa, namun selepas mengetahui kisah lanjut termasuk kawan sekelas yang tiba-tiba menunjukkan minat terhadap Ayda, ibu bersetuju.
“My BFF pun tiba-tiba minat kat saya. Dia siap nak masuk asrama sebab nak jumpa saya hari-hari! Lagi la saya rasa tak selamat,” cerita pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu.
Sewaktu berjumpa pengetua bagi tujuan pertukaran sekolah, Ayda tampil berani menjelaskan punca sebenar.
“Maaf cakap cikgu. Kat sekolah ni banyak lesbian. Nah benda-benda dorang bagi dan saya takut nak datang sekolah. Tolong keluarkan saya dari sekolah ni,” ungkapnya tegas.

KESAN TRAUMA
Permintaannya diterima dan Ayda berpindah ke sekolah biasa yang walaupun tidak setanding dari segi reputasi, namun lebih aman dan selamat untuk dirinya.
Perkongsian Ayda bukan berniat membuka aib sesiapa, sebaliknya sebagai kesedaran dan peringatan kepada semua. Beliau mengakui pengalaman itu masih meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan.
Lebih penting, Ayda menyeru agar pelajar hari ini berani bersuara dan melaporkan sebarang gangguan, sekecil mana pun.
Katanya lagi, peristiwa tragis yang menimpa adik Zara perlu dijadikan peringatan bahawa sekolah harus kekal sebagai tempat selamat untuk semua, bukan medan tekanan emosi mahupun fizikal.
“Kalau ada kejadian walaupun kecil, tolong beritahu ahli keluarga cepat. Sebab budak zaman sekarang makin berani.
“Semoga nasib arwah Zara terbela. Amin ya rabb,” titip Ayda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
