‘Saya memilih untuk bersyukur walaupun ada sebab bersedih…,’ Hazama AF9 gembira dapat luangkan lebih masa bersama isteri
MEMILIKI cahaya mata adalah impian setiap pasangan, terutama bagi mereka yang telah lama mendirikan rumah tangga.
Semasa bujang, sering diasak dengan soalan "bila nak kahwin”? Tetapi selepas berkahwin, timbul pula soalan "bila nak ada anak”?
Mungkin niatnya sekadar bertanya atau prihatin, tetapi soalan sedemikian boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada yang ditanya.
Namun, bagi penyanyi Hazama Azmi, soalan bertalu-talu mengenai cahaya mata tidak menjadi isu besar.
Beliau tetap tenang, yakin bahawa anak adalah rezeki dan ketentuan dari Tuhan.
Selain itu, Hazama mengamalkan konsep bersyukur dan reda dengan keadaan yang dihadapi mereka ketika ini.
“Bagi saya anak adalah rezeki, dan bukan kuasa kita tentukan untuk ada anak tetapi atas ketentuan tuhan.
“Apa yang kita boleh buat kita reda, terima hakikat dan bersyukur,”katanya.
Menurut pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi, setiap pasangan, sama ada yang telah dikurniakan zuriat atau masih menanti, mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri.
Meskipun pelantun Penglipur Lara boleh memilih untuk bersedih atau berfikiran negatif kerana belum bergelar bapa, Hazama dan isterinya lebih memilih untuk kekal positif dan mensyukuri kehidupan mereka sekarang.
“Mempunyai anak ada kelebihan dan kekurangan sendiri, sama juga kepada pasangan yang tidak memiliki anak.
“Macam saya dan isteri tiada rezeki anak lagi, memilih untuk bersyukur walaupun ada sebab (tiada zuriat) untuk berasa tertekan dan bersedih,”ujarnya ketika ditemui pada sidang media konsert Hitam Manis di Saloma Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi anak kelahiran Perak itu, masa yang ada kini lebih banyak dihabiskan bersama isteri.
Tegasnya, waktu yang diluangkan sekarang bukan lagi untuk memikirkan tentang anak, tetapi untuk mencipta kenangan indah bersama.
“Pada usia sekarang ini, saya lebih banyak meluangkan masa bersama isteri untuk menikmati kehidupan berdua tanpa memikir serius untuk mendapatkan anak tetapi menciptakan kenangan,”titipnya.
Sebelum ini, Hazama dan isterinya pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun usaha tersebut tidak berhasil.
Malah, isterinya pernah mengalami kehamilan luar rahim yang berisiko tinggi bagi kesihatannya.
Untuk rekod, Hazama mendirikan rumah tangga bersama pengarah muzik, Genervie Kam, pada 14 Januari 2017.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang