“Saya sentiasa berterima kasih dalam titik terendah hidup…” – Aina Abdul jadikan Siti Nurhaliza inspirasi
MALAM kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) pada Sabtu lalu meninggalkan momen bermakna buat penyanyi bersuara lunak, Aina Abdul apabila merangkul empat trofi utama termasuk Lagu Terbaik menerusi karya hit, Jangan Mati Rasa Itu.
Lebih manis, kejayaan besar itu disifatkan antara pencapaian paling dinantikan sepanjang kariernya memandangkan AIM dianggap salah satu anugerah ikonik selepas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Ini antara anugerah yang saya tunggu dalam hidup kerana AIM sememangnya ikonik di Malaysia selain AJL. Saya anggap kemenangan ini sebagai mikrofon dan penguat baharu untuk terus berkarya,” katanya penuh terharu.

Pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu turut mengakui lagu tersebut mempunyai makna tersendiri dalam hidupnya.
Apatah lagi sebagai seorang komposer dan penulis lirik, ada kalanya wanita berusia 32 tahun itu berdepan dengan kesukaran dalam menghasilkan karya, namun percaya pada ilham yang diberikan ALLAH SWT.
“Saya sentiasa berterima kasih dalam titik terendah hidup saya kerana ALLAH sentiasa hadirkan karya terbaik.
"Kadangkala saya fikir lagu yang ditulis hanya untuk menyembuhkan hati sendiri, tetapi saya tidak sangka ia juga menyembuhkan hati peminat dan mereka di luar sana,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sumpah tersebut tidak menafikan menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai inspirasi utama sejak zaman remajanya hingga ke hari ini.
“Saya memang obses dengan beliau. Sampai mak pernah tanya, ‘awak nak jadi penyanyi ke?’ sehingga dihantar ke kelas vokal ketika usia 15 tahun.
"Saya sangat meminati kerjaya beliau dan menganggapnya titik tertinggi dalam hidup saya.
“Cuma saya tidak fikir berada dalam posisi untuk memberi inspirasi kepada orang lain, tetapi harap apa sahaja yang saya lakukan menjadi asbab kebaikan serta semangat buat yang melihat perjalanan saya,” jelas Aina yang mula bergerak dengan label sendiri.

Tambahnya lagi, perjalanan tanpa sokongan syarikat rakaman besar bukanlah sesuatu yang mudah, namun kesukaran itulah yang menjadi resepi kejayaannya hari ini.
Berkongsi mengenai kritikan yang diterima sepanjang bergelar anak seni, Aina menyatakan meskipun pahit untuk ditelan, ia tetap memberi kekuatan dari sudut lain.
“Kritikan itu walaupun perit untuk didengar, sebenarnya turut menguatkan saya. Saya tahu saya tidak mampu menutup mulut orang. Walau ada anugerah setinggi mana sekalipun, pembenci akan terus membenci.
“Tetapi saya tidak memberi fokus pada itu. Saya fokus pada mereka yang menyokong dan menyayangi saya. Terima kasih kepada Ainanation yang sentiasa berada di sisi,” katanya.
Menyedari kejayaan di AIM24 bakal menjadi penanda aras baharu, Aina bagaimanapun mengakui dirinya belum bersedia sepenuhnya berdepan jangkaan lebih tinggi daripada peminat dan industri.
“Saya tidak bersedia lagi, tetapi akan mempersiapkan diri supaya lebih kuat selepas ini. Insya-ALLAH, saya akan terus berikan lebih banyak lagu buat peminat. Doakan saya,” tuturnya penuh rendah hati.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

