‘Saya tak jadi sebab jumpa orang mengarut’ – Zul Ariffin tolak ke tepi rancang pindah ke Makkah

No Image Caption
A
A
A

PELAKON Zul Ariffin mendedahkan keputusan untuk menangguhkan perancangannya menetap di Makkah bukan kerana hilang niat, tetapi disebabkan pengalaman berurusan dengan individu yang dianggap tidak meyakinkan.

Menurut bintang filem Sheriff: Narko Integritiitu, hasrat tersebut pernah menjadi satu perancangan serius selepas dia berpeluang menetap di Tanah Suci dalam tempoh yang panjang.

“Kadang-kadang kita bersembang, kita plan, kita happy, kita kongsi. Kalau tak jadi, tak jadi.

“Masa itu saya memang gembira. Saya pernah duduk lama juga di sana, lebih tiga bulan. Jadi memang itu satu hajat yang ramai juga impikan,” katanya.

Namun, dia berkata perancangan tersebut berubah selepas melalui pengalaman bekerja dengan pihak yang tidak dipercayai.

“Terus terang, saya tak jadi sebab saya jumpa orang mengarut. Sekarang ini dekat luar memang macam-macam.

“Jadi bila kita nak collaborate atau nak buat sesuatu yang besar, kita kena tengok siapa orangnya.

“Saya bukan nak buka cerita, tak elok sebut siapa. Tapi saya anggap itu sebagai satu fasa dalam hidup iaitu fasa jumpa orang mengarut,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Malam Terlarang baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Zul menjelaskan, keputusan untuk menangguhkan niat tersebut juga selari dengan keutamaan kerjaya yang ketika ini sedang berkembang.

“Sekarang fokus saya adalah karier. Saya suka kerja ini sejak umur saya 21, 22. Saya bukan datang daripada keluarga yang meniaga.

“Jadi kalau saya tinggalkan kerjaya semata-mata nak ambil risiko dengan sesuatu yang saya tak pasti, itu buang masa,” katanya.

Malam Terlarang menyaksikan Zul bergandingan bersama Sofia Jane, Shasha Abedul dan Aila Azizul.
Malam Terlarang menyaksikan Zul bergandingan bersama Sofia Jane, Shasha Abedul dan Aila Azizul.

Tambahnya, komitmen terhadap pekerjaan yang semakin stabil membuatkan dia memilih untuk kekal dengan laluan yang sedang dibina.

“Kalau saya nak lepaskan apa yang saya bina selama ini, sesuatu yang menggantikan itu mesti betul-betul berbaloi. Kalau tidak, tidak berharga untuk saya buat keputusan sebesar itu,” ujarnya.

Zul menegaskan, keinginan untuk menetap di Makkah masih ada, namun ia hanya akan diteruskan apabila situasi lebih jelas dan orang yang terlibat benar-benar boleh dipercayai.

Dalam perkembangan lain, Zul muncul selaku teraju utama filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw bersama Infinitus Gold berjudul Malam Terlarang yang sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 30 Oktober 2025.

Filem ini diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad, menampilkan barisan pelakon seperti Shasha Abedul, Sofea Jane, Aila Azizul, Sabri Yunus dan ramai lagi.

Malam Terlarang mengisahkan Mawar, gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impiannya sebagai wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, dengan bantuan kakak tirinya, Safar. Namun segalanya berubah selepas kematian mengejut dalam keluarga mereka membawa kepada gangguan makhluk misteri yang memaksa Mawar menyiasat rahsia di sebalik tragedi itu.

Dalam masa sama, bapanya Omar sibuk dengan kempen politik bagi menggulingkan ketua partinya, Haji Wahid. Ketika penyiasatan semakin dalam, Mawar berdepan kejadian paranormal mengerikan yang dipandang remeh oleh ahli keluarganya. Akhirnya, dia dan bapanya perlu berhadapan musuh sebenar untuk membebaskan diri daripada kuasa gelap yang menghantui hidup mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang