'Saya masih tamak dengan jawatan itu…' - Sharnaaz Ahmad selesa bergelar duda

No Image Caption
A
A
A

PELAKON versatil, Sharnaaz Ahmad mengakui dirinya masih belum terburu-buru untuk menamatkan zaman duda dan selesa dengan kehidupannya sekarang biarpun sudah lebih lima tahun melalui fasa tersebut.

Bintang filem Jebat itu menyifatkan kehidupannya kini sudah cukup baik kerana diberikan rezeki, kesihatan serta peluang untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya, Jebat Jayden, hasil perkahwinan terdahulu bersama Noor Nabila.

“Kalau ada jodoh, saya boleh sahaja berkahwin. Tidak ada masalah. Tetapi saya rasa, ALLAH sudah beri macam-macam. Rezeki ada, kesihatan pun baik walaupun ada sedikit dugaan. Kalau ALLAH mahu beri jodoh, pasti DIA akan beri. 

“Cuma mungkin sekarang saya belum bertemu dengan yang betul-betul sesuai,” ungkapnya lagi.

Sharnaaz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakan artis, Fattah Amin, yang mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon, Amira Othman, setelah hampir setahun bergelar duda.

Pelakon berusia 40 tahun itu yang sering digelar warganet sebagai Presiden Duda Hot Malaysia berseloroh, dirinya masih ‘tamak’ mahu memegang jawatan berkenaan untuk tempoh yang lebih lama.

“Saya masih tamak dengan jawatan itu dan mahu pegang dalam sepenggal atau 10 penggal lagi,” katanya sambil tertawa kecil.

Artikel Berkaitan:

Sharnaaz dan Nabila masih mengekalkan hubungan baik dan memilih membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden secara co-parenting.
Sharnaaz dan Nabila masih mengekalkan hubungan baik dan memilih membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden secara co-parenting.

Dalam masa sama, Sharnaaz menegaskan, dia tidak mencari pasangan yang sempurna, sebaliknya percaya cinta sejati akan hadir tanpa perlu dikejar.

“Saya tidak mahu cari. Biarlah jodoh itu datang cari saya. Kalau saya cari, belum tentu dia sayang kita seperti mana kita sayang dia. Tetapi kalau dia yang datang kepada kita, mungkin itu lebih ikhlas,” ujarnya.

Mengakui ada wanita yang cuba mendekati, Sharnaaz bagaimanapun lebih senang mengekalkan hubungan pada tahap persahabatan.

“Ada yang cuba dekati saya, ada juga yang saya cuba dekati. Tetapi buat masa sekarang kawan lebih baik. Kalau ada yang serius, setakat ini belum ada. Kalau ada nanti, saya beritahu,” katanya.

Sebagai duda yang sibuk dengan jadual kerja seni dan masa bersama anak, Sharnaaz sudah terbiasa mengisi kekosongan tanpa pasangan. Baginya, kehidupan solo juga punya keistimewaan tersendiri.

“Dulu memang terasa bila sakit, raya atau berbuka puasa tiada teman di sisi. Tetapi sekarang, saya sudah terbiasa. Bila tiada teman pada waktu tertentu pun, saya tetap gembira. Malah saya lebih bebas kerana tidak perlu meminta kebenaran sesiapa.

“Kehidupan saya sekarang baik, ALLAH sudah beri semua. Cuma belum bab (rumah tangga), itu sahaja. Kalau jodoh tidak datang sekarang pun, tidak mengapa. Saya tidak mahu terburu-buru,” katanya mengakhiri perbualan.

Sharnaaz bakal tampil dengan filem terbaharu, Magik Rompak.
Sharnaaz bakal tampil dengan filem terbaharu, Magik Rompak.

Menyentuh perkembangan terbaharunya, dia berkongsi bakal tampil menerusi filem Magik Rompak, dengan membawakan watak Hadini yang bergandingan dengan barisan pelakon hebat lain termasuk Zul Ariffin, Amelia Henderson, dan Nadhir Nasar.

Filem arahan Adrian Teh tersebut bukan sekadar menampilkan aksi mendebarkan tetapi juga gabungan elemen magis yang jarang diterokai dalam filem tempatan.

Naskhah itu mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 11 September 2025.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang