Suami Zehra akui kemelut rumah tangga bermula dengan masalah kewangan. 'Memuncak bila saya tegur cara pemakaian dan ada orang...'

RUMAH tangga yang dibina atas dasar cinta tidak semestinya menjamin bahagia hingga ke hujung nyawa.
Itulah yang dilalui oleh suami kepada penyanyi, Zehra Zambry iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin,42, yang akhirnya membuka mulut mengenai pergolakan rumah tangga mereka.
Menurut Nur Mohd Iqwan, badai dalam perkahwinan mereka bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah bermula selepas tahun pertama bergelar suami isteri, iaitu sekitar 2023.
“Pergolakan rumah tangga kami berlaku sejak tahun pertama kami menjadi suami isteri iaitu pada tahun 2023. Masa itu saya diuji masalah kewangan.
“Rentetan itu, timbul pula masalah-masalah lain. Pergolakan dalaman itu berpanjangan walaupun selepas masalah kewangan saya selesai.
Keadaan semakin memburuk apabila hubungan pasangan ini dilaporkan semakin keruh ketika penyanyi berusia 37 tahun itu kembali muncul di kaca televisyen dengan menyertai Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Antara perkara yang menimbulkan ketegangan termasuk teguran Nur Mohd Iqwan terhadap cara pemakaian isterinya serta isu-isu yang melibatkan individu luar, namun semuanya seperti mencurah air ke daun keladi.
“Hubungan kami menjadi lebih keruh sekitar tahun lepas ketika dia menyertai Gegar Vaganza 11 (GV11). Banyak teguran dan nasihat saya, antaranya mengenai cara pemakaiannya serta hal membabitkan individu lain, tidak dipedulikannya.
“Hubungan kami juga menjadi semakin keruh bila membabitkan campur tangan orang lain. Kami cuba memperbaikinya, hadiri sesi kaunseling dan sebagainya namun kesan positifnya tidak berkekalan," ujarnya lagi.
Iqwan turut membuka mulut dan mengaku pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Selama ini dia memilih untuk berdiam diri, namun segalanya berubah selepas Zehra memfailkan penceraian dengan mendakwa dirinya didera secara fizikal dan mental.
Katanya, tidak wajar untuk terus membisu apabila pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas dirinya.
“Sepanjang kami berkahwin, saya tak pernah ungkit tentang kekerasan fizikal yang dilakukannya kepada saya. Namun, apabila dia mengemukakan empat tuduhan antaranya dia mengalami penderaan mental dan fizikal, saya tak boleh berdiam diri.
“Itu adalah dakwaannya yang tidak boleh dibuktikan. Ia tidak adil untuk saya. Sebab itu saya dedahkan keganasan yang saya alami di media sosial,” katanya yang ditemui usai prosiding pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) kes cerai pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nur Mohd Iqwan memaklumkan dia hanya mampu membiarkan persepsi negatif yang dilayangkan kepadanya gara-gara dakwaan tidak benar yang dikemukakan Zehra untuk mendapatkan perceraian.
“Ramai yang kecam saya, sifatkan saya lelaki tidak guna, dituduh dayus, culas tanggungjawab dan sebagainya.
“Selagi saya ada bukti, laporan polis dan ikut proses undang-undang, itu sudah cukup menyokong dakwaan saya.
“Orang nak cakap apa, terpulang. Yang menanggung adalah saya. Saya yakin dan percaya, Zehra akan dedah perkara yang sama kalau dia berada di tempat saya,” kongsinya.
Untuk rekod, Zehra memfailkan tuntutan cerai pada 7 Mac lalu dengan mengemukakan lima sebab tuntutan antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian serta perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Zehra mendirikan rumah tangga dengan Nur Mohd Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Nur Mohd Iqwan juga pernah mendirikan rummah tangga dan memiliki dua cahaya mata.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang