Tahniah! Lebih 40 tahun berkarya, M Nasir bakal terima Anugerah Ijazah Doktor Persembahan
TAHNIAH buat selebriti versatil, Datuk M. Nasir yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penganugerahan buat M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed adalah sejajar dengan sumbangan besar beliau dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij.
"Sumbangan M. Nasir juga signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik," kata Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Penganugerahan akan disempurnakan pada Istiadat yang berlangsung sehingga 30 November di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Kata Md Amin lagi, penganugerahan kepada M Nasir adalah berdasarkan pengalaman seninya selama empat dekad bermula 1979.
Menurutnya, penyanyi dan komposer itu turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021, malah Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang.
"Sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik, ianya mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.
"Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk `Senandung Semalam' pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah `Hujan' yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Selain M Nasir, majlis berkenaan akan turut menyaksikan penyanyi, Datuk Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q!
Sekadar makluman, Nash atau nama sebenar, Nashrudin Elias aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 dan pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya 'Pada Syurga Di Wajahmu' (1922) dan 'Zahir Tak Terucap' (1993).
Dua insan seni itu akan mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama konvokesyen.
Perasmian majlis istiadat akan disempurnakan Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Konvokesyen UPSI kali ke-26 menyaksikan seramai 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.
Ia termasuk 154 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan 552 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang