'Terima kasih, Kak Cik adik yang hebat.' Luahan Elfira buat Ezlisa undang sayu, titip pesanan tempuh perjalanan sebagai isteri

PELAKON jelita, Ezlisa Loy selamat melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati, Hafiz Azizi.
Kakaknya, Elfira Loy tidak lupa menitipkan ucapan kebahagiaan buat wanita itu yang dipanggilnya Kak Cik.
Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama Nurul Elfira Loy binti Ahmad Sabri sempat berkongsi luahan kasih sayang buat Ezlisa yang kini sudah menjadi milik orang.

Kata Elfira, adiknya yang berusia 29 tahun itu adalah sumber kekuatan dan sentiasa ada saat dia memerlukan sokongan.
"Kak Cik sayang, kita bukan jenis adik-beradik yang selalu luah perasaan terang-terangan, tapi kita ada satu ikatan yang tak perlu dijelaskan dengan kata-kata.
"Kak Cik sentiasa ada, sabar dengar aku membebel entah apa-apa, teman aku masa aku susah dan senang.

"Kak Cik percaya pada pilihan-pilihan aku dan Kak Cik peluk aku waktu aku paling perlukan sokongan.
"Tolong ingat ya, kamu sebenarnya luar biasa. Jangan biarkan keraguan atau fikiran gelap tahan Kak Cik daripada buat benda-benda hebat.
"Kak Cik ada kekuatan yang kadang-kadang Kak Cik sendiri tak nampak. Kalau Kak Cik rasa perlukan aku, hakikatnya… aku lagi perlukan Kak Cik.
"Kak Cik adik hebat yang tahu semua benda, sentiasa ada menolong, walaupun aku tak cakap secara langsung.
"Terima kasih sebab jadi diri Kak Cik yang begitu," kongsinya.
Dalam pada itu, Elfira turut berkongsi pesanan buat adiknya untuk melayari bahtera perkahwinan.

"Sebelum kahwin, orang selalu cakap "Kalau nak lebih, bagi lebih; kalau bagi sikit, jangan harap dapay lebih."
"Tapi bila sudah kahwin, baru aku faham yang cinta bukan soal kira-kira.
"Cinta sepatutnya faham. Cinta sepatutnya ikhlas memberi kerana ALLAH. Yakin DIA akan balas dengan cara-NYA sendiri.
"Cinta yang sebenar tak mengira, tak membanding. Ia tumbuh bersama dan saling menyokong setiap hari. Nilainya bukan pada angka tetapi pada hati," titipnya.
Berkongsi foto hari bahagia Ezlisa baru-baru ini, pelakon Tentang Bulan The Series dan Qalesya itu mendoakan agar wanita itu terus berbahagia.

"Semoga kalian sentiasa menemui cahaya yang sama dalam tatapan antara satu sama lain.
"Semoga kalian sentiasa menemui dalam renungan mata satu sama lain cahaya yang sama seperti hari ini.
"Biarlah hari ini kekal dalam hati kalian sebagai ingatan tentang bagaimana semuanya bermula," tulisnya.
Sekadar info, Ezlisa dan Hafizi melangsungkan perkahwinan di di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Ahad.
Pelakon Qalesya 2 dan Nenek Bongkok Tiga itu menerima mas kahwin berjumlah RM300 dan diraikan dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan terdekat.
Terdahulu, Ezlisa dan Hafizi telah mengikat tali pertunangan pada 27 April 2024.
Sekadar info, selain Ezlisa, Elfira mempunyai tiga lagi adik-beradik termasuk abang sulungnya Ahmad Ezzraa Loy, Ahmad Ezzrin Loy dan si bongsu Ahmad Evvraa Loy.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang