Tiara Zinnirah bukti masalah pembelajaran bukan alasan, Achey ajar main batu seremban bantu anak pandai mengira
ANAK perempuan kepada pelawak terkenal Achey Bocey, Nur Tiara Zinnirah Nasir telah membuktikan bahawa keterbatasan dalam pembelajaran bukan halangan untuk mencapai kejayaan.
Pada usia enam tahun, Tiara berjaya memperoleh 6A dan 1D dalam subjek Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Jawi, dan Pendidikan Islam meskipun didiagnos sebagai 'slow learner'.
Achey, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 39, berkata perkembangan pendidikan anaknya adalah hasil usaha bersama keluarga dan penerimaan anak perempuannya sendiri.
Ketika dihubungi SinarPlus, juara Bintang Mencari Bintang 2013 itu berkongsi beberapa langkah kecil yang membantu perkembangan puterinya yang membawa kesan mendalam.
Anak kelahiran Johor itu kerap membawa Tiara ke acara perniagaan dan memperkenalkannya kepada anak-anak artis dan peniaga lain yang membantu meningkatkan keyakinan dan kemahiran sosialnya.
Perniagaan ini bukan hanya menjadi sumber pendapatan tetapi juga ruang untuk si kecil itu belajar nilai murni seperti berkongsi dengan rakan-rakan.
"Anak saya mula berkembang dengan pembelajaran semenjak dia banyak kawan dan ada kawan baik berbanding sebelum ini banyak seorang.
"Saya bawa Tiara bersama ketika berniaga di situ mereka berjumpa kawan-kawan dan dia seronok dan cepat mesra.
"Jadi bila di sekolah, bersama dengan kawan kelas dia juga cepat rapat menjadikan anak perempuan saya seronok belajar dengan persekitaran sekolah yang baik
"Sekarang setiap petang saya akan lepaskan dia main dengan budak taman perumahan saya, kadang-kadang dia bawa gula-gula dan bagi kepada orang di taman",katanya.
Untuk merangsang minda, Achey menggalakkan Tiara bermain permainan tradisional seperti batu seremban, yang menurutnya membantu Tiara memahami konsep asas matematik secara interaktif.
"Saya lebih banyak kenalkan dia dengan aktiviti melibatkan fizikal seperti batu seremban supaya ketika bermain Tiara dapat mengira berapa batu berjaya diambil",tambahnya.
Pelawak terkenal itu juga memastikan Tiara mengulang kaji pelajaran di rumah walaupun dalam masa yang singkat iaitu 10 hingga 15 minit.
Sebagai seorang ayah, beliau mengakui kanak-kanak zaman sekarang terpengaruh akan gajet sehingga menyukarkan ibu bapa untuk mengurus anak di rumah.
"Sekarang ini yang membuatkan ibu bapa kalah adalah disebabkan gajet, kerana budak zaman sekarang dah terlalu ke depan dengan teknologi.
"Bukan kita tak boleh bagi, kerana penggunaan gadjet amat penting untuk masa akan datang cuma perlu mempunyai had masa.
"Jadikan gadjet sebagai ganjaran jika anak-anak melakukan tugasan yang diberikan kepada mereka.
"Kita cuba untuk mengubah pemikiran mereka supaya jika anak-anak mahu menggunakan telefon perlu mengulang kaji pelajaran dahulu",ujarnya lagi.
Pelantun lagu Yang Terindah itu turut berkongsi puterinya telah memenangi beberapa anugerah sebelum ini iaitu Anugerah Khas Bacaan, Anugerah Sains Terbaik dan Anugerah Pendidikan Islam Terbaik di sekolahnya.
Achey berharap agar anak perempuannya itu dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya apabila memasuki alam persekolahan tidak lama lagi.
Tiara, yang kini berusia tujuh tahun, merupakan anak angkat Achey dan isteri tercinta, Nor Hasanah Yahaya sejak 2018.
Pada Ogos 2023, Achey mendedahkan bahawa Tiara mengalami masalah pembelajaran, yang mendorongnya untuk mengasah kemahiran dalam bidang perniagaan sebagai persediaan masa depan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang