Uqasha Senrose tetap mahu teruskan perceraian
AKTRES Uqasha Senrose nampaknya tetap mahu meneruskan prosiding perceraian dengan Kamal Adli meskipun suaminya itu masih berharap perkahwinan mereka dapat diselamatkan.
Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian, berkata anak guamnya berhasrat memberi ruang kepada proses mahkamah berjalan seperti sepatutnya sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Alhamdulillah, kes hari ini selesai untuk sebutan dan mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 19 November nanti.
"Kalau ada kebaikan, pihak kami akan teruskan prosiding dan lihat bagaimana perkembangan seterusnya.
"Tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai, jadi kita doakan ada kebaikan yang boleh diperoleh daripada kes ini,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada pelakon berusia 33 tahun itu masih mahu mempertahankan rumah tangga, Uqasha enggan memberi sebarang kenyataan dan menyerahkan sepenuhnya kepada peguamnya.

Muhammad Syazmee turut berharap agar kedua-dua pihak dapat menemui jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga yang berlaku.
“Kita doakan yang terbaik untuk kedua-dua pihak.Semoga ada sinar kebaikan, sama ada ke arah perdamaian atau sebaliknya. Kita tunggu prosiding seterusnya nanti,” ujarnya.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut mengesahkan pelantikan Muhammad Syazmee sebagai peguam baharu yang mewakili Uqasha selepas peguam terdahulu menarik diri daripada kes berkenaan.
Menurutnya, penarikan diri peguam lama adalah perkara biasa dan tidak melibatkan sebarang isu serius.
“Setakat ini tidak ada masalah apa-apa. Ia perkara biasa dalam mana-mana kes apabila peguam menarik diri atau digantikan.
"Tiada isu antara anak guam dan peguam lama, semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kontroversi tarikh perkahwinan pasangan itu yang dibangkitkan Uqasha, Muhammad Syazmee memaklumkan bahawa segala isu berkaitan telah disahkan selesai oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Untuk tarikh perkahwinan, semuanya telah disahkan selesai. Tidak ada isu berkaitan pemalsuan atau kesilapan tarikh,” katanya.
Terdahulu, Kamal yang ditemui di mahkamah menegaskan masih menyayangi isterinya serta mahu mempertahankan rumah tangga mereka.
Pelakon berusia 39 tahun itu juga menolak dakwaan mengasari isteri dan menegaskan tidak pernah berlaku curang terhadap Uqasha.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
