Wanna Ali bakal timang anak sulung, kini hamil enam bulan – ‘Bukan lagi hanya awak dan saya, tapi kami’
SELEPAS melalui detik indah bergelar isteri, kehidupan pelakon Wanna Ali kini diserikan pula dengan kehadiran satu lagi anugerah besar daripada Ilahi.
Tanpa perlu banyak kata, senyuman dan sinar bahagia pada wajahnya sudah cukup menggambarkan betapa hatinya kini dipenuhi rasa syukur.
Pelakon Wanna Ali berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata sulung.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memuat naik berita tersebut menerusi satu hantaran istimewa di laman Instagram miliknya yang sarat dengan emosi dan rasa syukur.

Dalam perkongsian berkenaan, pemilik nama sebenar Nor Syazwana Mohd Ali meluahkan rasa bahagia apabila kehidupannya berubah sepenuhnya selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Khairul Amri Tan Sri Datuk Sri Khalid.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 9 Februari lalu. Dalam majlis tersebut, Wanna yang juga anak kepada penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh menerima mas kahwin berupa 10 dinar emas dan sebentuk cincin.
“Masha-ALLAH Tabarakallah. Dalam tempoh setahun lebih, ALLAH telah menulis semula seluruh perjalanan hidup saya.
"Bermula dengan merisik, bertunang, bernikah, dan kini si kecil kami sedang membesar dalam rahim saya.
“Sudah 25 minggu mengandung hasil cinta kami, dan hanya tinggal tiga bulan lagi sebelum kehidupan ini bukan lagi tentang awak dan saya, tetapi tentang kita,” tulisnya.
Menurut Wanna, masa berlalu begitu pantas namun setiap detik yang dilalui terasa sangat indah dan tersusun rapi oleh Yang Maha Esa.
“Saya tidak akan mengubah walau satu pun perjalanan ini. Buat suami saya, sejujurnya saya tidak tahu siapa diri saya tanpa kehadiran awak di sisi.
“Alhamdulillah atas cinta ini, keluarga ini dan keajaiban ini. Terima kasih ya ALLAH… sesungguhnya Engkau Maha Besar,” luahnya penuh makna.

Hantaran tersebut turut dimuat naik bersama sebuah video pendek yang memaparkan perjalanan cinta mereka bermula daripada fasa merisik, bertunang sehinggalah selamat diijabkabulkan.
Lebih menyentuh perasaan, video sama turut memperlihatkan perubahan fizikal Wanna sepanjang kehamilan serta momen manis apabila dia ditemani suami menghadiri pemeriksaan kandungan, mencerminkan fasa baharu kehidupan yang penuh kasih dan harapan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
